RATA-RATA keluarga besar Universiti Utara Malaysia (UUM) gembira dengan pengumuman Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini untuk melantik Profesor Dr. Mohd. Foad Sakdan sebagai Naib Canselor universiti itu yang ke-10, berkuat kuasa semalam.
Kegembiraan itu sebahagiannya berpunca daripada personaliti Mohd. Foad yang sangat dikenali dalam kalangan warga UUM sebagai seorang yang rajin bekerja untuk kepentingan organisasi, tidak sombong dan suka membantu orang lain.
Walaupun beliau bertugas sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Malaysia Perlis (Unimap) selama 10 tahun, tetapi beliau sebelumnya lebih lama berkhidmat sebagai ahli akademik di UUM melebihi 24 tahun.
Inilah sebab dalam kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi pelantikannya disifatkan seumpama sirih pulang ke gagang, kerana beliau antara warga awal membangunkan UUM dan mengetahui falsafah, misi dan visi penubuhan universiti pengurusan ini.
Beliau yang berasal dari Muar, Johor, berkelulusan ijazah sarjana dan sarjana muda dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Sains Politik, sebelum menjadi ahli akademik sepenuh masa di UUM.
Mohd. Foad juga berkelulusan ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti of Hull, England, dalam bidang Pengurusan Konflik.
Bidang ini menjadi sangat akrab dan sebati dengan dirinya dari segi pengurusan dan pentadbiran.
Beliau diiktiraf ramai sebagai antara pakar yang boleh menyelesaikan konflik organisasi dan kepakaran ini tentu sangat bermanfaat untuk mengharmonikan sesebuah organisasi, khususnya di UUM.
Ini kerana konflik yang wujud, sama ada secara vertikal atau horizontal, wajib diselesaikan supaya tidak akan mengganggu perjalanan sesebuah organisasi.
Buku berjudul Pengurusan Konflik terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditulisnya mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelajar dan orang awam yang ingin memahami bidang terbabit.
Dalam bidang penyelidikan pula, Mohd. Foad berpengalaman luas apabila diberi tanggungjawab sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi UUM selama enam tahun dari 2007 hingga 2013.
Beliau juga berjaya melahirkan berpuluh-puluh pelajar berijazah PhD dan sarjana. Selain itu, Mohd. Foad juga dilantik menjadi pemeriksa calon PhD dari pelbagai institusi pendidikan tinggi seluruh negara.
Selain berjaya menyempurnakan projek penyelidikan, beliau turut menghasilkan berbelas buku ilmiah, penerbitan persidangan selain menulis pelbagai artikel jurnal dan monograf.
Falsafah tadbir urus beliau tentunya berteraskan kerangka madani yang meletakkan sifat ihsan, mendahului pertimbangan lain. Seorang kawan lamanya di UUM menyatakan, kepemimpinan Mohd. Foad tidak berasaskan dendam, sebaliknya profesional untuk bersama-sama meletakkan universiti pada tahap membanggakan generasi kini dan akan datang.
Pemilihan menteri sangat tepat pada masanya dan menepati kehendak akar umbi UUM, baik dalam kalangan pensyarah, pentadbir mahupun di kalangan pelajar,” katanya.
CONTOH
Selepas menemui ahli jawatankuasa pengurusan universiti pada hari pertama memasuki pejabat, beliau menyusun jadualnya untuk bertemu Persatuan Kakitangan Akademik, Persatuan Pegawai Tadbir dan Profesional, selain menetapkan untuk solat berjemaah dan mengadakan pertemuan santai dengan pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM.
Berdasarkan pengalaman dalam membimbing kepemimpinan pelajar UUM secara holistik, beliau dipinjamkan ke Unimap mulai 2013 sebagai Timbalan Naib Canselor (HEPA) sehinggalah ke tarikh pelantikan beliau sebagai Naib Canselor UUM.
Ini bermakna beliau berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor HEPA selama 10 tahun.
Pengalaman luas sebagai Timbalan Naib Canselor dan kemahiran dalam mengurus konflik tentunya akan membantu beliau memimpin UUM sebagai sebuah universiti pengurusan terkemuka bukan sahaja di sebelah utara, malah di peringkat nasional serta antarabangsa.
Ketika berkhidmat sebagai pensyarah di UUM, beliau juga dipertanggungjawabkan sebagai Pengetua Kolej Kediaman selama sembilan tahun sejak 1993.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Dekan dan Dekan Pembangunan Pelajar UUM selama tujuh tahun.
Beliau antara pemimpin universiti yang meletakkan masa depan pelajar sebagai salah satu elemen utama kepemimpinannya.
Apabila ada segelintir pelajar mendesak untuk dihapuskan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) di universiti, beliau dengan cepat membantah kerana Jabatan HEP telah memainkan peranan utama dalam membimbing mahasiswa agar sentiasa rasional, berintelektual dan berprinsip.
Elemen demikian akan membina sahsiah seorang mahasiswa apabila menjadi graduan nanti, bukan semata-mata pembangunan bersifat akademik semata-mata.
Salah satu prinsip penting pembangunan madani adalah sifat ihsan yang perlu diterapkan kepada mahasiswa.
Sifat ihsan itu bermakna meresapkan sifat kasih kepada Pencipta dan kasih sesama manusia, yang apabila digabungkan dengan pembangunan akademik akan menghasilkan warga madani yang diuar-uarkan oleh kerajaan perpaduan kini.
Seperti kata Mohamed Khaled pada 16 Disember 2022 selepas diangkat menjadi Menteri Pendidikan Tinggi kali kedua, seseorang naib canselor yang dilantik tidak dipertikai dari segi kesarjanaan namun dari segi kepimpinan yang sebahagian menepati dan sebahagian tidak menepati.
“Ada sesetengah universiti tidak wujud suasana harmoni antara kakitangan akademik, pelajar dan naib canselor, walaupun kesarjanaan naib canselor tidak boleh dipertikaikan,” katanya.
Sesungguhnya pemilihan Mohd. Foad yang merupakan profesor bidang pengurusan konflik diharapkan boleh menyelesaikan konflik dan suasana kurang harmoni dalam kalangan warga UUM dan pemegang taruh utama.
Suasana yang kondusif demikian akan melonjakkan UUM sebagai sebuah universiti dihormati dan unggul dalam bidang pengurusan serta perniagaan selain mampu menjadi contoh kepada universiti lain. – UTUSAN
PENULIS ialah pegawai tadbir di Universiti Utara Malaysia (UUM).











