TARIKH 14 April tahun ini agak istimewa bagi kaum India berketurunan Tamil, Malayali dan Punjabi. Kita mungkin sedia maklum tentang sambutan tahun baharu Chittirai Puttandu oleh orang Tamil tetapi kurang sedar bahawa orang Malayali menyambut tahun baharu Vishu pada tarikh sama. Orang Punjabi pula menyambut tahun baharu Vaisakhi.
Satu lagi diaspora India yang menyambut tahun baharu pada tarikh sama ialah orang Bengali yang nenek moyang mereka berasal dari Bengal iaitu wilayah yang kini terbahagi antara negara India dan Bangladesh.
Saya menggunakan ejaan Bengali dengan satu ‘g’ dan bukannya Benggali seperti ditetapkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana itulah ejaan rasmi dalam dokumen Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Perihal kekeliruan yang sering berlaku untuk membezakan orang Bengali dan Punjabi sudah diterangkan menerusi rencana di ruangan ini pada 25 Mac lalu.
Komuniti Bengali menyambut tahun baharu yang dinamakan Pohela Boishakh atau Paila Baisakh. Saya berbual dengan bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Lalita Sinha tentang identiti, budaya dan dilema masyarakat Bengali di Malaysia.
Katanya, tarikh sambutan tahun baharu ditentukan menerusi kalendar Bengali yang berasaskan agama Hindu tetapi ada pengaruh Islam akibat pemerintahan Empayar Mughal dari 1576 hingga 1717.
“Orang Bengali beragama Hindu dan mengikut mazhab Shakta iaitu kami mengutamakan Durga, Shakti, Parvathi, Kali, Lakshmi dan Saraswati yang dikenali sebagai dewi dalam Hinduisme,” wanita berusia 73 tahun itu menceritakan.
Setiap tahun, semasa sambutan Deepavali yang cukup meriah di Malaysia, komuniti Bengali pula meraikan Kali Puja yang dianggap amat penting. Sambutan besar-besaran biasanya diadakan di Bengal House, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Selain daripada itu, sambutan Durga Puja, Lakshmi Puja dan Saraswati Puja juga menjadi semacam kemestian dalam kalangan orang Bengali beragama Hindu. Kita sering melihat kemeriahan sambutan perayaan Holi dalam filem Hindi. Sebenarnya, komuniti Bengali turut menyambut Holi pada bulan Mac.
Menurut maklumat di laman sesawang rasmi Persatuan Bengali Malaysia (MBA), sejak 1928, komuniti ini menyambut Durga Puja sebagai sambutan utama. Bagaimanapun, mulai 1939, Kali Puja lebih diutamakan kerana jatuh pada hari sambutan Deepavali.
“Memandangkan ada cuti umum, maka mudahlah untuk kaum keluarga dan komuniti kami berkumpul untuk terlibat dalam upacara sambil mengeratkan silaturahim.
“Misalnya, saya tinggal di Pulau Pinang dan tidak ramai orang Bengali di sini. Selain Negeri Sembilan, sejak 1990-an, ramai komuniti Bengali terdapat di Lembah Klang,” Lalita menceritakan.
Walaupun Bengal House di Port Dickson masih menjadi lokasi utama pertemuan dan upacara keagamaan, memandangkan Kuala Lumpur dan Selangor juga ada ramai orang Bengali, maka pejabat cawangan MBA sudah dibuka di Petaling Jaya.
Hasil perbualan dengan Lalita membantu saya menimba pelbagai maklumat berguna dan wajar juga diketahui masyarakat majmuk di Malaysia tentang masyarakat Bengali yang merupakan minoriti kecil di negara ini.
IKAN
Tambahan pula, semasa perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan pada 4 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kumpulan majoriti supaya tidak berasa terlalu selesa dan angkuh sehingga menganggap budaya dan keunikan komuniti minoriti lain tidak boleh diraikan untuk hidup bersama dalam sebuah negara.
Saya segera teringat bagaimana para peminat sastera tempatan mengagumi penyair, Rabindranath Tagore yang menerima Hadiah Nobel Sastera pada 1913.
Dalam buku sejarah di sekolah, kita belajar tentang pejuang kemerdekaan India bernama Subhas Chandra Bose. Malah, ramai kaum India di Malaya pernah menyertai Tentera Kebangsaan India (INA) pimpinan Bose.
Satyajit Ray merupakan pengarah dan tokoh perfileman India yang menang pelbagai anugerah antarabangsa. Filem Pather Panchali (1955), Aparajito (1956), Apur Sansar (1959) dan Charulata (1964) antara filem wajib dikaji peminat dan pembikin filem seluruh dunia.
Kita ada sekolah, dewan dan pertubuhan yang dinamakan sempena Vivekananda. Akan tetapi mungkin rata-rata penduduk Malaysia, termasuk pengikut Tagore, Satyajit, Bose dan Vivekananda, tidak tahu bahawa keempat-empat tokoh ini merupakan orang Bengali.
Berbalik kepada perbincangan tentang Pohela Boishakh, Lalita menceritakan bahawa ikan merupakan makanan yang amat penting dalam komuniti Bengali. Sehingga kini, upacara pemujaan, perayaan dan majlis perkahwinan tidak lengkap tanpa sajian berasaskan ikan.
Dahulu, di Bengal, ikan empirit (Hilsa kelee) dijadikan sajian. Ia merupakan ikan rasmi bagi negara Bangladesh dan negeri Bengal, India. Walau bagaimanapun, bagi melindungi ikan itu yang semakin berkurangan, orang Bengali beralih kepada ikan-ikan lain.
Ikan empirit dan rohu sering dipersembahkan kepada dewi semasa upacara pemujaan. Sepasang ikan yang dihias pakaian menyerupai pengantin pula dijadikan hadiah majlis perkahwinan. Ikan menjadi simbol kekayaan dan kemakmuran dalam budaya komuniti Bengali. Perkara ini sama seperti amalan dalam kalangan orang Cina semasa sambutan tahun baharu.
Bagi komuniti Bengali yang merupakan kumpulan ‘minoriti dalam minoriti’ di Malaysia, memang ada banyak cabaran. Sari bagi wanita dan kurta bagi lelaki merupakan pakaian tradisional yang masih diamalkan.
Saya masih ingat bagaimana Lalita amat gemar memakai sari sepanjang menjadi pensyarah di USM dahulu. Beliau juga sentiasa bersari apabila pergi ke kuil. “Ramai orang Tamil mengandaikan saya orang Tamil lalu mula bercakap bahasa Tamil dengan saya. Apabila saya meminta maaf dan menyuruh mereka bercakap bahasa kebangsaan atau Inggeris dengan saya, mereka marah-marah.
“Mereka memperli kononnya saya memakai sari tapi tidak tahu bercakap Tamil. Saya rasa sedih dan kecewa kerana kaum India sendiri tidak tahu bahawa pakaian tradisional wanita Bengali memang sari tetapi bahasa ibunda kami bukannya Tamil. Kami ada bahasa sendiri sebagaimana orang Telugu, Malayali dan Punjabi,” beliau meluahkan isi hati.
Sambil berbual dengan Lalita, saya berharap situasi akan berubah di bawah kerajaan perpaduan yang tidak lupa meraikan golongan minoriti. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










