Cari kebahagiaan dengan mukjizat al-Quran - Utusan Malaysia

Cari kebahagiaan dengan mukjizat al-Quran

MEMBACA al-Quran merupakan ibadah yang diberikan pahala bukan hanya kepada pembaca bahkan orang yang mendengarnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP tahun apabila dipaparkan statistik jualan buku paling popular di Malaysia atau di dunia, kita dapat perhatikan buku tentang mencari kebahagiaan, ketenangan hidup akan menjadi pilihan dan paling laris. Bahkan di barat, buku atau artikel, video yang membincangkan erti kebahagiaan hidup menjadi tontonan ramai.

Sedangkan manual kebahagiaan hidup telah disediakan oleh Allah SWT 1,400 tahun lalu untuk memandu hidup manusia agar bahagia di dunia dan selepas kematian. Itulah kitab al-Quran.

Allah berfirman dalam surah Taha ayat 1-2 bermaksud: “Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan.”

Al-Quran adalah mukjizat agung Nabi Muhammad SAW yang tidak boleh ditandingi dalam apa jua bidang sekalipun sama ada kualiti sasteranya, keindahan susunan kata, isi kandungan dan apa jua perbandingan yang ingin dipertaruhkan.

Bahkan al-Quran yang mempunyai 30 juzuk, 114 surah, 6,326 ayat dan 77,437 perkataan adalah kitab lengkap dan tiada keraguan sedikit pun serta meliputi semua aspek kehidupan manusia.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 23-24 bermaksud: “Dan jika kamu (kaum musyrik) masih dalam keraguan mengenai al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad), buatlah dan datangkan satu surah sahaja yang seumpama dengan al-Quran dan panggillah pembantu kamu selain daripada Allah untuk menolongmu jika kamu orang yang benar. Kamu tidak dapat membuatnya dan pasti kamu tidak akan dapat membuatnya, peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu yang disediakan untuk orang kafir.”

Menurut ulama, Muhammad Ali As-Sabuni dalam kitabnya Al-Tibyan fi Ulum Al-Quran menyatakan bahawa al-Quran ialah kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui malaikat Jibril, bermula dengan surah al-Fatihah diakhiri dengan surah an-Nas dan membacanya adalah ibadah kepada Allah serta digandakan pahala.

Ulama bersepakat berdasarkan nas bahawa membaca al-Quran merupakan ibadah yang diberikan pahala serta melimpah pahalanya bukan hanya kepada pembacanya bahkan orang yang mendengarnya juga diberikan pahala.

Selain mendapat pahala, membaca al-Quran adalah mukjizat agung dalam membaik pulih kegelisahan jiwa dan mengatasi kemurungan hidup. Firman Allah lagi bermaksud: “Wahai manusia, telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhanmu dan penyembuhan bagi penyakit yang ada dalam dadamu (jiwa) dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.” (Surah Yunus: 57)

Membaca al-Quran selain satu ibadat, juga boleh menjadi ubat atau terapi mengubati jiwa yang gelisah, gundah atau ketika fikiran berserabut. Bahkan al-Quran diakui sebagai metodologi sempurna dalam mengubat penyakit jiwa atau psikoterapi.

GANJARAN

Diriwayatkan, ada seorang lelaki datang menemui Abdullah bin Mas’ud untuk meminta nasihatnya kerana lelaki itu sedang berserabut dan jiwanya resah gelisah. Abdullah kemudian menasihatkan lelaki itu, “Pergilah kamu ke tempat orang yang membaca al-Quran dan mendengar baik-baik orang membacanya. Kamu juga boleh membacanya sendiri.”

Selepas itu, lelaki berkenaan pulang dan mengamalkan pembacaan al-Quran seperti dinasihatkan Abdullah. Lelaki itu berasa jiwanya cukup tenang dan amat tenteram. Fikirannya tidak lagi berserabut memikirkan masalah dunia.

Orang yang mula berjinak-jinak dengan al-Quran, membacanya merangkak-rangkak, tidak lancar namun cuba sedaya upaya mempelajarinya juga mendapat gandaan pahala di sisi Allah.

Seseorang yang membaca al-Quran tidak dikira berdosa jika kesilapan berlaku bukan kerana disengajakan. Ia terjadi akibat kelemahan diri dan langsung tidak berniat mempermain-mainkannya dan sentiasa berusaha memperbaiki dan meningkatkan kualiti bacaan.

Begitulah harapan dan motivasi daripada Allah bahkan Allah sentiasa hampir untuk memberi hidayah kepada orang-orang yang berusaha untuk mempelajari, menghafaz dan mentadabbur (memahami) al-Quran. Itulah kehebatan al-Quran yang memberi petunjuk, ketenangan dan kebahagiaan kepada sesiapa yang menghayatinya.

Aisyah berkata, “Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang membaca al-Quran sedang dia mahir dengannya adalah dia bersama para utusan mulia (malaikat) dan orang yang membaca al-Quran sedang dia gagap dan susah maka baginya dua pahala.” (Hadis riwayat Bukhari)

Ganjaran kepada orang yang berdamping dengan al-Quran juga terlalu besar hingga meliputi orang lain yang ada hubungan dengan pencinta al-Quran seperti ibu bapa yang memiliki anak-anak ahli al-Quran atau penghafaz al-Quran.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca al-Quran dan mengamalkan isinya maka Allah akan memberi kepada orang tuanya mahkota pada hari kiamat yang bercahaya lebih terang dari cahaya matahari.” (Hadis riwayat Ahmad)

Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti buah utrujjah yang baunya harum dan rasanya enak. Perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah kurma yang tidak berbau sedang rasanya enak dan manis. Perumpamaan orang munafik yang membaca al-Quran adalah seperti raihanah yang baunya harum sedang rasanya pahit. Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca al-Quran adalah seperti hanzhalah yang tidak berbau dan rasanya pahit.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesimpulannya, sebagai orang Islam tiada sebab untuk kita tidak membaca, memahami dan menghayati kitab al-Quran dan tiada alasan yang boleh diberikan jika tiada kemudahan atau guru untuk mempelajari al-Quran. Oleh itu, marilah kita meningkatkan usaha untuk mendekatkan diri dengan al-Quran. – UTUSAN

DATUK Hakimah Mohd. Yusoff ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×