DALAM suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri, ada berbangkit perkara-perkara merimaskan mereka yang balik beraya di Kelantan.
Perkara-perkara tersebut adalah air yang perlahan dan kualiti teruk, jalan sempit dan berlubang serta sampah berlonggok di merata tempat dan kotor.
Kefahaman yang diberikan adalah semua ini salah kerajaan negeri yang berada di bawah pimpinan Pas sejak ia kembali menguasai negeri itu pada 1990. Dari satu segi, memang ada betulnya kelambatan pembangunan di Kelantan adalah berpunca daripada pemikiran negatif sesetengah pemimpin Pas sendiri.
Contohnya, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang dilaporkan berkata pada 20 Disember 2017, pembangunan di Kelantan sengaja dilambatkan. Jelas beliau dalam satu ceramah waktu itu, “Kita sengaja melambatkan supaya kita nak pastikan pembangunan ini dapat dinikmati rakyat, berbanding tempat lain yang membangun pesat tetapi rakyatnya terpaksa pindah dan lari.”
Tambah beliau lagi, “Jadi, kalau kita terlalu cepat membangun, akan berlaku kehilangan milik tanah rizab Melayu, kita akan hilang tanah dalam negeri kita sendiri.”
Pendekatan sebegini memang tidak sepatutnya dipunyai oleh seorang pemimpin kerajaan yang bertanggungjawab kerana pembangunan yang betul tidak akan meminggirkan rakyat. Begitupun, pada masa sama, peranan kerajaan Pusat sendiri dalam membangunkan atau membantutkan pembangunan di sesebuah negeri adalah jauh lebih penting selaras konsep federalisme.
Ini kerana mengikut Perlembagaan Persekutuan, hampir semua kuasa penting dan strategik adalah di bawah kawalan kerajaan Pusat dan negeri diberi kuasa kurang penting dan tidak signifikan. Banyak kajian ilmiah dibuat mengenai betapa kerajaan Pusat menganaktirikan negeri yang berada di bawah penguasaan parti-parti politik tidak selari dengan parti-parti politik di Pusat.
Dalam tesis PhD (doktor falsafah) bertajuk Federalism in Malaysia: A Study of the Politics of Centre-State Relations (1998), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff umpamanya menyebut:
(1) “This centralisation of constitutional powers has been used by the federal government in a discriminatory manner to gain leverage against state governments under opposition control.”
(2) “The federal government refused to cooperate with the (Kelantan) Pas-led state government in administering the state and also limited its assistance to the state’s economic development programmes in order to undermine the credibility of Pas claims to be a legitimate alternative to UMNO rule.”
Malah pemimpin UMNO baik di Pusat atau di Kelantan khususnya di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, juga berulang kali mengakui perkara ini. Antaranya, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang pernah menjadi Menteri Ekonomi di zaman itu, yang berucap selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Lanas dalam sidang DUN Kelantan pada 21 November 2007.
Beliau dipetik sebagai berkata, “Saya nak mengaku hari ini, bahawa suatu masa dulu, suatu masa puak-puak kita ini adalah sedikit sebanyak duk sekat sana sekat sini, itu hakikatnya, maka salah kita royat salah.”
DOMINAN
Dr. Mahathir dalam sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 30 Januari 2008 malah mengakui dengan lebih terbuka lagi bahawa sekatan pembangunan ke Kelantan adalah pemikiran dominan dalam UMNO waktu itu.
Beliau berkata, “Kesemua ahli UMNO merasakan tidak perlu memajukan Kelantan kerana jika Kelantan dimajukan, Pas akan beritahu kepada orang ramai, walau kita tidak undi BN (Barisan Nasional), kita tetap akan dapat pembangunan. Jadi, kenapa perlu undi BN? Oleh sebab itu pembangunan terpaksa dibekukan.”
Antara diskriminasi yang pernah disebut oleh Datuk Husam Musa pada 2012 adalah penafian pembayaran royalti petroleum, pembinaan lebuh raya, lapangan terbang yang masih tidak diberikan status antarabangsa, pelabuhan yang belum benar-benar dimajukan oleh kerajaan Pusat dan wujudnya pelbagai diskriminasi lain.
Antara diskriminasi lain yang biasa disebut-sebut ialah penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang mengganggu sistem pentadbiran negeri, pemberian amat lewat Geran Persekutuan dalam bentuk capitation grant, federal road grant, growth grant, dalam bentuk geran keseimbangan dan lain-lain.
Apakah yang UMNO peroleh daripada tindakan mendiskriminasi Kelantan ini? Apa yang semua dapat lihat ialah pendekatan mendera begini menyebabkan Pas terus kukuh berkuasa di negeri itu dengan rakyat Kelantan semakin membenci pihak yang mendera mereka.
Sejak 24 November 2022, Malaysia mempunyai kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dengan gagasan Malaysia Madani. Visi Malaysia Madani adalah untuk membangun tanah air yang lebih mampan dan makmur berteraskan roh daya cipta, nilai hormat, keyakinan dan ihsan, di mana keterangkuman dan kesaksamaan menjadi teras utamanya – yakni sebuah masyarakat Malaysia yang adil.
Dalam buku Membangun Malaysia Madani tulisan Perdana Menteri pada halaman 113 ada tertulis mengenai perlu berjalannya agenda reformasi untuk memulihkan keyakinan antara kerajaan dengan rakyat serta memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan. Pada halaman 187 pula ada tertulis mengenai kerangka madani akan merangkul kekuatan baharu, justeru memerlukan penglibatan seluruh rakyat untuk bersama-sama mencorak masa hadapan negara dan bekerjasama sebagai sebuah masyarakat bagi mencapai hasrat yang kita semua dambakan.
Mengambil semangat Hari Raya Aidilfitri dengan semangat madani, marilah kita sama-sama membuang budaya lama yang mengguna kuasa untuk mendera sebaliknya memula budaya baharu yang mengguna kuasa untuk bekerjasama membangunkan semua negeri dengan meletak ke tepi perbezaan politik.
Bila semua negeri membangun dengan baik, pada akhirnya semua rakyat dan negara sendiri akan mendapat manfaat. Malah, keikhlasan yang ditunjukkan Kerajaan Persekutuan akan lebih memungkinkan untuk parti-parti Kerajaan Persekutuan lebih diterima. – UTUSAN
DR. Syed Agil Alsagoff ialah Pensyarah Kanan Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM).










