‘Banyak lagi perlu dipertingkat’

‘Banyak lagi perlu dipertingkat’

TLDM perlu memastikan kesiagaan aset-asetnya mampu mencapai tahap terbaik untuk memenuhi keperluan operasi dan eksesais. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

LAKSAMANA DATUK ABDUL RAHMAN AYOB menjadi pegawai berkepakaran kapal selam pertama menjawat jawatan Panglima Tentera Laut.

Dengan berpengalaman luas, segala misi dan visi bakal dicorak dalam memastikan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kembali menjadi kuasa armada digeruni dan disegani di rantau ini.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI, Abdul Rahman menyatakan pandangannya berhubung isu-isu membabitkan perkhidmatan itu.

UTUSAN: Dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini, bagaimana TLDM mahu memastikan penggunaan sumber secara optimum dapat dilaksanakan dalam mengawal perairan negara?
ABDUL RAHMAN: Kalau dilihat secara purata, kesiagaan aset TLDM masih berada pada tahap yang memuaskan sahaja dan belum mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, masih terdapat banyak ruang dan usaha yang perlu dipertingkat bagi memastikan kesiagaan aset TLDM mampu mencapai ke tahap yang terbaik untuk memenuhi keperluan operasi dan eksesais.

Setakat ini, TLDM telah melaksanakan beberapa inisiatif dalam menyokong usaha penggunaan sumber secara optimum tanpa mengganggu gugat keselamatan perairan negara. Sebagai contoh, obsolescence programme (OP) dan repowering (memperkasakan semula) untuk menangani isu aset usang milik TLDM.

Secara tidak langsung, hasil program ini bukan sahaja meningkatkan kesiagaan dan keupayaan operasi armada, malah menjadi inisiatif berkesan dalam menyokong langkah penjimatan sumber kewangan negara.

Adakah pembelian kapal misi pesisir (LMS) kumpulan kedua mencukupi untuk melengkapkan armada TLDM? Bagaimana Datuk melihat kaedah perolehan kerajaan dengan kerajaan (G-to-G) bagi perolehan tersebut? Adakah Datuk berharap perolehan aset TLDM yang lain pada masa akan datang dilakukan dengan cara sedemikian?
Saya melihat perolehan LMS kumpulan kedua masih belum mencukupi untuk melengkapkan armada TLDM. Ini kerana 60 peratus kapal TLDM telah berusia lebih 30 tahun dan mengalami masalah usang.

Melalui program transformasi ‘15 to 5’, TLDM telah merancang perolehan aset secara berperingkat pada setiap Rancangan Malaysia (RMK) untuk melengkapkan armada TLDM.
Keutamaan kita memastikan persediaan aset untuk melaksanakan operasi dan menjaga kedaulatan perairan Zon Maritim Malaysia. Berhubung perolehan aset menerusi kaedah G to G, TLDM mengambil pendirian terbuka.

Adakah TLDM melihat kelengkapan kapal sokongan pelbagai peranan (MRSS) juga sebagai satu keperluan mendesak ketika ini?
Sudah semestinya. Ini keranan kelengkapan MRSS dilihat sebagai keperluan yang sangat penting dan perolehannya wajar disegerakan.

Dengan kedudukan geografi negara yang terbahagi kepada dua wilayah dan dipisahkan oleh Laut China Selatan dengan jarak terdekat sejauh 568.42 kilometer, kita memerlukan platform sebegini bagi bantuan logistik dan mengukuhkan keperluan.

Bagaimanapun, setakat ini perolehan MRSS terpaksa ditangguhkan dahulu bagi memberikan laluan kepada perolehan LMS dan juga penyelesaian perolehan kapal tempur pesisir (LCS) serta program peningkatan keupayaan kombatan untuk aset sedia ada. Perolehan MRSS akan dirancang dalam RMK-13.

Apakah status terkini pesawat Super Lyx Mk100?
TLDM kini mengendalikan empat daripada enam pesawat untuk operasi peranan maritim bagi menyokong keperluan operasi dan latihan armada.

Dua lagi diletakkan di bawah Penyimpanan Jangka Panjang (LTS) disebabkan tiada sokongan keperluan logistik pesawat.

Adakah reka bentuk dan jenis perolehan siri kedua helikopter operasi maritim telah disenarai pendek?
Kita akan menggantikan armada semasa helikopter Super Lynx Mk100. Ia semestinya akan meningkatkan keupayaan unit udara TLDM bagi operasi tertentu.

Dari segi perolehan pula, terdapat kemungkinan untuk mendapatkan helikopter tersebut menerusi kaedah sewa apabila perkhidmatan Super Lynx Mk100 yang kini menjangkau usia 20 tahun dihentikan secara berperingkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN