RAMADAN yang mulia sememangnya akan menjadi bulan bakal dirindui oleh segenap sanubari mereka yang dahagakan keampunan. Bulan Syawal yang sedang menjelma juga sewajarnya diraikan dengan penuh kesyukuran serta keinsafan.
Setelah sebulan berpuasa, amalan-amalan baik digalak diteruskan agar dapat melahirkan masyarakat yang akhlaknya terdidik sekali gus mensejahterakan rakyat.
Namun, amat mengecewakan apabila terdapat sesetengah individu yang tidak memuliakan bulan Ramadan apabila ibadah wajib seperti berpuasa dipandang enteng.
Makan dan minum di khalayak ramai secara sengaja tanpa rasa bersalah meskipun sudah sedia maklum akan peruntukan undang-undang yang menghalangnya.
Syahdu jiwa mengenangkan mereka yang seakan-akan sudah hilang rasa nikmat beriman di dada. Lantas menjentik hati ini untuk mensyukuri setiap nikmat beribadah yang masih dikurniakan.
Berwaspada dan bersederhanalah dalam menyambut Syawal yang mulia kerana tiap sesuatu yang berlebihan itu selalunya akan mendatangkan kemudaratan. Sebagai contoh, sederhanalah dalam berbelanja.
Dalam mendepani keadaan ekonomi semakin mencabar, kita diingatkan untuk sentiasa menjadi pembeli serta pengguna bijak dalam berbelanja.
Sifat kerajaan yang memahami denyut nadi rakyat dengan memberikan insentif-insentif dalam persiapan menyambut perayaan kali ini wajar dimanfaatkan sebaiknya termasuklah tol percuma yang baru diumumkan oleh Perdana Menteri.
Jika kita telusuri maksud Aidilfitri itu sendiri membawa kepada makna kembali kepada fitrah. Bermaksud kembali kepada asal kejadian iaitu kesucian jiwa yang sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah SWT.
Ibadah fardu dan sunat seperti solat tarawih, witir, tadarus al-Quran, qiamullail, bersahur, berzikir serta memperbanyakkan sedekah diharapkan dapat mengembalikan kepada fitrah sebagaimana saat kita dilahirkan bebas daripada dosa.
Dalam masa kita menyambut Syawal, adab-adab berpakaian, ziarah-menziarahi serta bersilaturahim perlu sentiasa patuh kepada syariah. Dalam adab berpakaian sunat untuk kita raikan dengan memakai pakaian baharu.
Jika bukan baharu maka disunatkan untuk memakai pakaian yang hampir dengan baju baharu seperti masih lagi cantik. Namun, berpada-pada dalam membeli-belah pakaian baharu dan diingatkan agar mengikut kemampuan masing-masing kerana nilai pakaian bukan menjadi ukuran di sisi Islam.
Dalam adab berkunjung dan menjadi tetamu pula, perlu kita amalkan masuk rumah orang jadi buta, keluar darinya jadi bisu. Hal ini kerana apabila kita menziarahi rumah sanak saudara semasa raya, hendaklah menjaga penglihatan daripada melihat barangan yang ada di dalam rumah tersebut serta tidak menceritakannya kepada orang lain kelak.
Adab seterusnya semasa bersilaturahim adalah dengan menjaga batas pergaulan meskipun bersama sanak saudara terdekat kerana di situ juga terdapat batas-batas antara sesama bukan mahram. Meskipun sekecil-kecil perbuatan bersalaman sesama sanak saudara yang sudah dibiasakan meskipun bukan mahram.
MENGINTAI
Berdasarkan adab ziarah-menziarahi dan bersilaturahim inilah, suka untuk saya selitkan tentang Rang Undang-undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 mengenai kesalahan mengintip, hendap, mengintai atau stalking.
Seksyen 2(2) yang dicadangkan turut menjelaskan apakah yang dianggap sebagai perbuatan gangguan yakni ‘perbuatan termasuk yang berikut: (a) mengikut seseorang dalam apa-apa perbuatan atau dengan apa-apa cara; (b) berkomunikasi atau cuba berkomunikasi dengan seseorang dalam apa-apa perbuatan atau dengan apa-apa cara; (c) berlegar-legar di tempat kediaman atau perniagaan seorang; (d) memberi atau menghantar apa-apa benda kepada seseorang dalam apa-apa perbuatan atau dengan apa cara sekalipun.’
Cadangan hukuman adalah seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 2(3) RUU itu, “Sesiapa yang melakukan kesalahan mengintai hendaklah dihukum penjara selama tempoh sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.” Saya menyambut baik dalam usaha penggubal undang-undang untuk menaik taraf tamadun masyarakat.
Hal ini kerana perbuatan mengintip bukanlah sesuatu yang baharu malah dalam Islam sendiri telah melarang perbuatan mengintip bagi mencari maksiat peribadi yang bukan bersifat jenayah awam. Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 12 bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang.”
Al-Imam al-Tabari juga menghuraikan dengan jelas maksud ayat ini, antaranya istilah wala tajassasu bermaksud jangan kamu mencari keaiban satu sama lain, jangan kamu mencari rahsia-rahsianya dengan tujuan untuk mengetahui kecacatannya. Namun, berpadalah dengan apa yang nyata daripada dirinya. Nilailah asas tersebut sama ada baik atau buruk. Jangan kamu mencari kesalahannya.
Justeru, saya berharap pindaan RUU tersebut yang telah dibawa di hadapan Parlimen dalam bahasa Inggeris perlu dan sewajarnya diterjemahkan kepada bahasa Melayu dan dijadikan bahasa undang-undang yang utama.
RUU tersebut harus dipuji kerana bukan sahaja dapat menjamin keselamatan individu malah menjaga kehormatan dan dapat bertindak sebagai amaran penguatkuasaan oleh kerajaan bagi menangani pelbagai isu yang sedang kita perangi pada masa kini.
Beringatlah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Hal ini kerana setiap sesuatu yang berlaku itu pasti tidak akan terlepas daripada pengadilan, cuma tinggal masa yang menentukannya, cepat atau lambat. – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Biro Undang-Undang, Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










