Tumpu kesaksamaan sekolah daif

Tumpu kesaksamaan sekolah daif

MENTERI PENDIDIKAN, Fadhlina Sidek melihat keadaan bangunan lama Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tinggi, Johor Bahru yang daif ketika mengadakan lawatan di sekolah berkenaan pada Januari lalu. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM Majlis Amanat Awal Tahun pada 19 Januari lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menekankan tentang keperluan menaik taraf sekolah daif yang terdapat di seluruh negara. Menurutnya, perkara ini berkaitan dengan cabaran mengemudi dimensi baharu pendidikan dan mengurus jangkaan umum dalam usaha mewujudkan kesaksamaan dalam pendidikan.

Saranannya itu menjadi kenyataan dan terjawab apabila Perdana Menteri mengumumkan dalam Belanjawan 2023 bahawa sebanyak RM920 juta diperuntukan bagi menaik taraf bangunan dan infrastruktur di 380 buah sekolah daif. Semua pihak mengalu-alukan dan menyambut baik peruntukan tersebut. Ini merupakan visi baharu buat negara, iaitu bagi mewujudkan sebuah masyarakat madani yang maju, terampil dan terangkum.

Mungkin ada yang bertanya, apakah takrif sekolah daif itu? Sekolah daif bermaksud sekolah yang memerlukan penyelenggaraan dan naik taraf. Antara ciri sekolah tersebut ialah bangunan yang lama, tidak sempurna, uzur, tidak selamat dan mempunyai masalah fizikal termasuk kerosakan sistem pendawaian elektrik dan struktur bangunan tidak kukuh. Kebanyakan sekolah daif terletak di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Isu sekolah daif bukan perkara baharu. Ini disebabkan kedudukan atau lokaliti kawasan sekolah yang agak terpisah dan sukar dihubungi. Ada sekolah yang hanya boleh dihubungi melalui jalan sungai atau menggunakan kenderaan pacuan empat roda. Jumlah muridnya agak kecil kerana bilangan penduduk tidak ramai. Kebanyakannya dikategorikan sebagai sekolah kurang murid, iaitu kurang daripada 150 orang.

Tahap ekonomi ibu bapa pula agak rendah menyebabkan tidak banyak yang dapat dilakukan untuk membantu memajukan sekolah itu.

Apa yang dibimbangkan ialah aspek keselamatan murid dan guru ketika berada di premis sekolah. Struktur bangunan yang tidak kukuh boleh menyebabkan berlaku kemalangan pada bila-bila masa. Sudah tentu kita tidak ingin melihat terjadinya tragedi atau kemalangan yang boleh membawa kecederaan kepada mereka.

Sebagai institusi pendidikan, sudah tentu memerlukan infrastruktur yang lengkap. Kemudahan asas seperti kelengkapan kerusi meja dan bilik darjah adalah wajib bagi membolehkan proses pembelajaran berlaku secara berkesan. Kemudahan lain seperti perpustakaan, makmal sains, makmal komputer, bilik guru, pejabat, tandas, kantin dan tempat permainan diperlukan supaya pembelajaran lebih menarik dan menimbulkan perasaan gembira dalam kalangan murid ketika berada di kawasan sekolah.

Di samping itu, dari segi kebajikan para guru, maka perlu juga difikirkan tentang kemudahan penginapan atau tempat tinggal di sekolah berkenaan. Di kawasan pedalaman sudah tentu sukar untuk menyewa rumah. Kebiasaannya kediaman guru bergantung kepada kemudahan disediakan oleh pihak sekolah. Dengan adanya tempat penginapan yang baik, mereka akan berasa dihargai walaupun tinggal di kawasan yang jauh dari kampung halaman. Bagi guru wanita pula, faktor keselamatan dan keselesaan perlu diberi keutamaan.

GLOBALISASI
Sesungguhnya masyarakat hari ini semakin menyedari bahawa keperluan pendidikan yang baik dan berkualiti sangat berkait rapat dalam menentukan nasib masa depan generasi akan datang. Kini dunia pendidikan semakin mencabar dan sangat kompetitif akibat perubahan globalisasi, keterbukaan sosial, ledakan teknologi maklumat, pendidikan digital dan ekspektasi pihak berkepentingan yang semakin meningkat. Seharusnya tiada murid yang terpinggir disebabkan kekurangan kemudahan infrastruktur sekolah. Oleh itu, isu sekolah daif perlu ditangani dengan kadar segera.

Dengan mengatasi isu tersebut sebenarnya secara tidak langsung kita memberi tumpuan kepada kesaksamaan dalam pendidikan. Anak-anak sekolah seharusnya mendapat kemudahan pendidikan yang asas tidak kira mereka berada di kawasan bandar, luar bandar atau pedalaman. Mengatasi isu sekolah daif merupakan suatu yang signifikan dalam usaha melonjakkan kemajuan dan kecemerlangan pendidikan negara.

Saya menaruh keyakinan usaha mengatasi masalah sekolah daif akan dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur. Penubuhan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) baru-baru ini yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali sangat kena pada masa dan ketikanya. Salah satu matlamatnya ialah untuk menangani isu sekolah daif. Badan yang diketuai oleh KSN ini ditubuhkan untuk menambah baik pelbagai perkhidmatan kerajaan yang bermasalah dan menangani kerenah birokrasi.

STAR dianggotai oleh semua ketua setiausaha dan ketua pengarah agensi kerajaan. Ia juga dibantu oleh sepasukan pemikir dan pasukan teknikal terdiri daripada pegawai yang dipilih untuk menjana idea dan meneliti isu serta permasalahan berkaitan. Untuk menjadikan badan ini lebih berkesan, ia diletakkan bertanggungjawab terus kepada Perdana Menteri.

Justeru, apa yang diucapkan oleh Menteri Pendidikan dalam amanatnya pada awal tahun iaitu untuk memberi tumpuan mengatasi isu sekolah daif akan beroleh kejayaan. Peruntukan sebanyak RM920 juta dalam Belanjawan 2023 diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memperbaiki dan ubah suai 380 buah sekolah daif. Moga-moga inisiatif dan niat murni ini akan memberi faedah dan kebaikan kepada ribuan murid yang berada di sekolah itu.-UTUSAN

Penulis ialah bekas Ketua Pengarah Pendidikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN