Saf: Jangan ‘bocorkan’ pahala solat jemaah

Saf: Jangan ‘bocorkan’ pahala solat jemaah

SOLAT hajat itu dicadangkan selepas solat Isyak esok yang akan dilaksanakan di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“TUAN-TUAN semua sudah bergerak jauh dari rumah ke surau, masjid untuk solat tarawih. Saya mohon bergerak sedikit beberapa langkah lagi untuk sempurnakan saf solat kita. Kesempurnaan pahala solat jemaah kita berkait rapat dengan kesempurnaan saf.”

Itu ‘skrip asas’ yang saya selalu ucapkan kepada jemaah surau kami sebelum memulakan solat Isyak dan tarawih. Semangat menghidupkan malam Ramadan wajar dipuji, cuma kadangkala maklumat dan pengetahuan kita tentang adab solat berjemaah serta teknik memaksimumkan pahalanya masih kurang.

Biasanya kita tahu pahala solat berjemaah dalam gandaan 27 pahala, namun kita jarang menjiwai pakej solat berjemaah yang berkait rapat dengan kesempurnaan saf. Ia ditegaskan dalam sabda Nabi SAW bermaksud: “Luruskanlah saf kamu kerana meluruskan saf itu termasuk di dalam kesempurnaan solat.” (Sahih Muslim, 433)

Memuatkan artikel berkaitan…

Terang lagi bersuluh, Nabi SAW mempakejkan saf yang sempurna bersama kesempurnaan solat. Dalam bahasa lebih mudah, saf yang sempurna akan melengkapkan 27 pahala, manakala saf cacamarba boleh mengurangkan pahala berjemaah.

Bukan hanya gandaan pahala, orang yang menyempurnakan saf turut mendapat limpahan rahmat Allah dan doa para malaikat. Ia sebagaimana sabda Nabi SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah memberikan rahmat dan para malaikat mendoakan kesejahteraan kepada orang yang solat dalam saf pertama.” (Sunan Ibn Majah, 987, Musnad Ahmad, 17878)

Saf solat umat Islam sepatutnya mencontohi saf malaikat sebagaimana yang diajar Nabi SAW dalam hadis baginda bermaksud: “Mengapa kalian tidak menyusun barisan (saf) seperti para malaikat menyusun saf di sisi Tuhannya? Kami (para sahabat) bertanya: Wahai Rasulullah,bagaimana caranya para malaikat menyusun saf di sisi Tuhannya? Nabi menyambung: Mereka sentiasa menyempurnakan saf paling hadapan dan merapatkan saf.” (Sahih Muslim, 651)

Alangkah ruginya jika kita sudah sampai ke ‘lubuk pahala Ramadan’, namun gagal memperolehnya kerana rasa malas atau tidak mahu renyah bergerak menyempurnakan saf. Ia umpama semut yang pengsan kebuluran dalam bekas gula.

Ada segelintir jemaah yang ‘membocorkan’ pahala solat berjemaah dengan memisahkan diri daripada saf utama kerana mencari kipas atau sudut tertentu di dalam surau masjid. Sudahnya, tujuan solat berjemaah yang mahu memupuk semangat perpaduan tidak mencapai matlamatnya.

Tambah malang, ada yang langsung tidak mahu berganjak merapatkan saf setelah sejadah peribadi bersaiz besar dihampar. Lantas ruang antara dirinya dengan orang sebelah terbuka luas sehingga bukan lagi anak kambing, bahkan lembu atau unta pun boleh mencelah masuk antaranya.

Sesetengah orang kita sangat risaukan kemunculan jin syaitan dalam rupa fiksyen hantu menggerunkan, namun tidak sedar membiarkan syaitan bermain di celah saf mereka yang renggang.

ENTENG

Oleh itu, bagi menyelesaikan masalah saf sering dipandang enteng ini, orang pertama yang perlu memainkan peranan mendidik dan menegur jemaah adalah para imam. Imam bukan hanya jawatan bergaji oleh pihak berkuasa agama, tetapi seorang pemimpin yang bertanggungjawab menyelia tingkah laku saf anak makmumnya.

Jangan hanya ‘membaca skrip’ agar saf dirapatkan tanpa menoleh atau menunggu saf disempurnakan. Tunaikan tanggungjawab anda, bahkan gunakan hak kepimpinan anda untuk tidak memulakan solat selagi jemaah belum menyempurnakan saf mereka. Ikuti tindakan para sahabat Nabi ini yang bermaksud: “Diriwayatkan bahawa Umar bin al-Khattab mewakilkan beberapa orang lelaki untuk meluruskan saf. Beliau tidak akan bertakbir (takbirat al-ihram) sehingga dikhabarkan bahawa semua saf telah lurus.”

Tidak boleh dinafikan, kurangnya ilmu dan penghayatan berkaitan saf solat menjadi antara punca utama fenomena saf senget ini berleluasa dalam kalangan umat Islam. Oleh itu, saat paling tepat mendidik jemaah adalah ketika solat bakal didirikan.

Siapa guru dan jeneralnya? Tidak lain, para imam. Rasulullah SAW sendiri sangat mengambil berat perkara ini. Lihat aksi praktikal baginda SAW sebelum solat didirikan sebagaimana sabda baginda bermaksud: “Luruskan saf, rapatkan bahu, tutup ruang kosong (antara kalian), lembutkan tangan untuk saudara kamu (memberi peluang saf dirapat) dan janganlah kamu tinggalkan ruang bagi syaitan. Sesiapa yang menyambung saf maka Allah akan menyambungnya dan barang siapa yang memotong saf, maka Allah akan memotongnya.” (Sunan Abu Daud, 666)

Jika imam sudah memainkan peranan, makmum sepatutnya mematuhi tanpa soal dan malas. Segera bergerak dan tidak perlu menyuruh orang lain bergerak. Ini kerana biasa kita lihat sesetengah individu malas mengisi saf hadapan yang kosong dan lebih rela memberi ruang kepada orang. Sikap ini kelihatan sopan, namun tanpa sedar ia ada kerugian besar kerana saf hadapan jauh lebih besar pahalanya berbanding saf belakang.

Makmum juga perlu memainkan peranan mengajak teman yang masih renggang agar merapatkan saf. Tindakan bersama menyempurnakan saf solat termasuk dalam akhlak mulia Islam yang disaran Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong bantu membuat kebajikan dan bertakwa.” (al-Ma’idah: 2)

Ramadan baru berusia seminggu lebih. Jika solat tarawih kita pada malam yang sudah berlalu berlaku tanpa saf sempurna, kita belum terlambat memperbaikinya pada hari Ramadan yang berbaki. Ayuh! Rapatkan saf dan gapai sebanyak mungkin rahmat Allah pada Ramadan ini. – UTUSAN

Penulis ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini