LAWATAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Beijing awal April ini dianggap signifikan kerana ia merupakan lawatan pertama ke negara asing di luar ASEAN dan lebih penting lagi China menyaksikan pelantikan Perdana Menteri dan Menteri Luar yang baharu di samping, Xi Jinping sebagai Presiden buat penggal ketiga.
Lebih kritikal lagi ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, hubungan di antara Kuala Lumpur dan Beijing dianggap agak tegang apabila projek mega berkait China tergendala buat seketika.
Malah, tidak keterlaluan jika diandaikan strategi PH menjadikan hubungan akrab kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan Beijing sebagai kambing hitam adalah antara kejayaan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Menjadi lebih menarik kerana semenjak dilantik, Anwar tidak banyak memberi bayangan warna-warni hubungan dengan Beijing tidak kira sama ada membabitkan ekonomi, geopolitik atau sosial sekalipun.
Wujud andaian dasar luar berkait China di bawah pentadbiran Anwar bakal berubah kerana beliau dianggap lebih cenderung dengan negara Barat terutama sekali Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Tambahan pula pendirian Anwar berkait dengan layanan Beijing terhadap masyarakat Uighur di Xinjiang mungkin boleh merumitkan lagi keadaan hubungan dengan China.
Hakikatnya, hubungan Malaysia dan China selama ini dianggap sebagai pragmatik secara mudahnya ditakrif hubungan yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Sebab itu tidak keterlaluan jika diandai Anwar sebagai Perdana Menteri akan meletakkan Malaysia dalam keadaan lebih baik kerana di peringkat antarabangsa, Anwar dikenali oleh pemimpin global yang lain sebagai pemimpin intelek dan petah berhujah.
Tidak dapat dinafikan isu tuntutan bertindih perairan Laut China Selatan (LCS) adalah pemangkin utama yang menentukan hala tuju hubungan Malaysia dan China.
Ini kerana Beijing mendakwa sebahagian besar perairan tersebut milik mereka dan termasuk Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia juga milik mereka. Apakah dasar luar Malaysia akan kekal seperti sebelum ini dalam era Anwar, amat menarik dibuat analisis.
Petunjuk awal dapat dinilai daripada agenda perbincangan Anwar dengan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. pada awal Mac berkait LCS. Anwar sependapat dengan Marcos bahawa isu ini perlu diselesaikan melalui perbincangan multilateral berbeza dengan kehendak Beijing yang mahu mekanisme bilateral digunakan.
Anwar menyarankan ASEAN bersatu hati dan suara dalam hal ini dan kesemua 10 ahli perlu berdepan dengan Beijing secara multilateral dan bukannya hanya melibatkan empat ahli yang terlibat secara langsung iaitu Malaysia, Vietnam, Filipina dan Brunei.
STRATEGI
Apa yang pasti, strategi Anwar ini agak berbeza dengan dasar luar Malaysia yang kadangkala lebih selesa berbincang secara langsung dengan Beijing dalam hal LCS.
Tidak mengejutkan pendirian Anwar kerana beliau akur kekuatan ASEAN akan bernilai tinggi jika kesemua ahli berunding dengan Beijing sebagai sebuah organisasi dan bukannya sebagai negara individu. Cuma yang menjadi masalah, enam lagi ahli ASEAN yang tidak terlibat secara langsung mempunyai pendirian agak berbeza dengan empat ahli yang terlibat secara langsung.
Menjadi lebih menarik kerana Anwar yang dianggap mempunyai hubungan positif dengan AS dan jika dicampur aduk pertikaian geopolitik dan ekonomi Washington-Beijing ketika ini, sukar juga untuk meramal hala tuju hubungan Kuala Lumpur-Beijing walaupun sudah kelihatan sedikit bibit warnanya.
Ketika diaju soalan mengenai hubungan dengan China dalam temu bual Bloomberg, Februari lepas, Anwar menjelaskan Kuala Lumpur tidak berminat untuk turut terjebak dalam pertikaian dua kuasa besar ini tetapi sebaliknya mahu berbaik-baik dengan AS dan China.
Malah, Anwar berpendapat hubungan dengan China tidak akan dibiarkan dalam mod status quo, tetapi perlu dipertingkatkan lagi ke arah yang lebih tinggi.
Anwar sebenarnya mempunyai beberapa peluang untuk mempertingkatkan lagi hubungan dengan China kerana tahun ini adalah ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif dan tahun hadapan pula ulang tahun ke-50 jalinan hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Tapi apa yang lebih penting adalah sama ada Anwar akan turut hadir dalam Forum Jalur dan Laluan (BRF) 2023 iaitu forum mengenai inisiatif jalur dan laluan (BRI) Jinping yang dilancarkan pada 2013. Pada BRF 2019, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad diberi penghargaan menyampaikan ucaptama.
Antara projek mega BRI di Malaysia ialah Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer yang menghubungkan secara lebih efisien negeri Pantai Timur dengan Pantai Barat.
Hakikatnya, pentadbiran Anwar sepertimana pentadbiran sebelum ini diselubungi masalah domestik yang kadangkala membuatkan Perdana Menteri sebelum ini tidak menumpukan perhatian berat kepada hubungan antarabangsa.
Tetapi satu perkara yang tidak dapat dinafikan, Anwar sebagai seorang pemimpin mengambil berat tentang hal ehwal antarabangsa terutama sekali hubungan dengan kuasa besar.
Malah, tidak keterlaluan diungkapkan bahawa hala tuju dasar luar negara akan ditentukan oleh Anwar sendiri kerana beliau mempunyai strategi dan naratif tersendiri dalam perkara membabitkan isu antarabangsa.
Jika Perdana Menteri sebelum ini jarang menyentuh isu sensitif seperti Xinjiang dan Ukraine, tetapi Anwar sudah pun menyuarakan pendapat beliau selepas dilantik Perdana Menteri yang selari dengan pendirian beliau sebelum menjadi Perdana Menteri. – UTUSAN
PENULIS ialah geostrategis dan Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR).











