Nafsu, degil halang perubahan diri - Utusan Malaysia

Nafsu, degil halang perubahan diri

PELAJAR baharu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah diberi penekanan supaya mempunyai sifat mengasihani kepada semua golongan. – GAMBAR HIASAN/FB UIAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TARIKH 3 Mac lalu begitu besar ertinya kepada kami pelajar sesi baharu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sejak awal pagi, saya bersama-sama tiga sahabat karib, Ehsan, Alvin dan Solah tekun mengikuti raptai akhir bagi mengetuai lafaz baiah yang bakal berlangsung.

Inilah acara kemuncak program taaruf (perkenalan) UIAM yang secara rasminya mengisytiharkan kami sebagai pelajar universiti ini. Bagi saya, ia lebih istimewa kerana inilah universiti pilihan saya.

Berkemeja putih dan lengkap bersongkok, kami mengambil tempat di kerusi yang dikhaskan. Lafaz baiah didahului ucapan daripada Rektor UIAM, Profesor Emeritus Tan Sri Dzuklifli Abdul Razak.

Sambil mengucapkan tahniah kepada semua pelajar baharu, beliau menitipkan nasihat penting agar kami benar-benar menjiwai aspirasi dan hala tuju UIAM. Ucapan beliau benar-benar membuka minda saya, khususnya dalam memahami falsafah UIAM.

Menurut beliau, hala tuju utama UIAM selain daripada untuk memberi pendidikan ialah pemerbaikan manusia dan tamadun. Kedua-dua ini saling beriringan kerana manusialah yang membina sesebuah tamadun, dan tamadunlah yang mentakrif seseorang manusia. Maka, pemerbaikan manusia dan sifat kemanusiaan adalah sangat penting, tidak kira siapa dan di mana kita.

Pada masa sama, kita perlu perkasakan ketamadunan demi mencapai satu kemajuan holistik atau menyeluruh. Itulah yang menggariskan siapakah kita dan juga bagaimanakah sikap kita terhadap dunia.

Perkara ini menarik perhatian saya kerana lazimnya, apabila kita mendengar istilah kemanusiaan, pemikiran kita akan lebih cenderung terarah kepada kerja-kerja kebajikan seperti misi-misi kemanusiaan ke kawasan bencana.

Walaupun hal ini benar, namun hakikatnya erti kemanusiaan adalah jauh lebih luas. Bagi memahami hal ini, kita harus kembali kepada kata dasar kemanusiaan iaitu manusia.

Kemanusiaan turut merujuk kepada ciri dan sifat kita sebagai manusia, iaitu perkara yang membuatkan kita menjadi seorang manusia seperti sepatutnya. Ia akan bergerak seiringan dengan ketamadunan, iaitu apa yang dibina oleh manusia secara kolektif dalam melakar gaya hidup ideal bagi manusia lain, terutama generasi akan datang.

Sebuah tamadun ideal bukan sahaja mempunyai adat dan budi yang baik, tetapi juga memastikan bahawa setiap insan mempunyai peranannya dan tiada insan yang ketinggalan.

Inilah yang ditekankan di dalam ajaran Islam, di mana setiap manusia pada dasarnya dikira sama rata tanpa mengira latar belakang dan keupayaan mereka, dan setiap daripada mereka hendaklah diberi hak yang layak mereka terima.

Oleh kerana itulah Islam memperuntukkan sistem sokongan yang kuat kepada golongan kurang bernasib baik, umumnya asnaf seperti anak yatim dan orang kurang upaya, di mana golongan yang lebih mampu wajib membantu mereka.

Dalam sebuah tamadun yang ideal, inilah suasana yang sepatutnya. Semua golongan diberi sokongan dan dibantu sepertimana hak mereka, dan tiada yang ditinggalkan dalam apa jua keadaan sekalipun.

UTOPIA

Dzulkifli turut menegaskan bahawa perkara ini turut cuba dicapai oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam Matlamat Pembangunan Mampan (MPM) yang menggariskan 17 matlamat demi mencapai sebuah dunia mampan lagi lestari.

Namun tambah beliau, dalam hal ini MPM telah meninggalkan sifat belas kasihan, walhal inilah salah satu ciri terpenting dalam kemanusiaan. Sifat mengasihani kepada semua golongan inilah yang dikatakan sebagai ‘rahmah’, satu istilah yang begitu lazim diperkatakan di negara kita pada hari ini.

Ungkapan seperti rahmatan lil alamin (mengasihani kepada sekalian alam) yang dipetik daripada ayat suci al-Quran sepatutnya menjadi prinsip dasar kita semua. Hanya dengan itu kita dapat memastikan dunia benar-benar berada dalam keadaan tenteram, dan bukannya sekadar ungkapan retorik semata-mata.

Sebuah dunia yang hanya mempunyai matlamat material sema-mata tidak dapat menyentuh kalbu setiap insan bagi memastikan usaha ke arah mencapai masa depan yang mereka inginkan akan berterusan untuk selama-lamanya. Tanpa sifat kemanusiaan dan rahmah, kita tidak akan dapat menjamin kelestarian masa depan seperti diidamkan.

Kita harus menunaikan tanggungjawab terhadap generasi yang akan menjejaki langkah kita kelak. Jika kita sekadar mengubah suasana dan persekitaran dunia hanya untuk masa kini, generasi akan datang akan merosakkannya semula kerana mereka tidak memahami mengapa perlu kita berbuat sedemikian. Oleh itu, segala perubahan yang dilakukan mesti diselitkan dengan sifat rahmah.

Begitu juga dengan peraturan, jika kita sekadar membuatnya bagi menghalang sesuatu keburukan, orang ramai hanya akan menurutinya tanpa memahami mengapa peraturan tersebut diwujudkan.

Namun, jika tertanam dalam diri mereka sifat kemanusiaan yang merangkumi segala aspek seperti akhlak, moral dan akal budi, mereka tidak lagi memerlukan undang-undang sebagai penghalang salah laku kerana dengan sendirinya mereka tidak akan teringin untuk melakukan kesalahan.

Benar, situasi ini seolah-olah sekadar utopia bayangan semata-mata. Namun, tidak salah bagi kita untuk menjadikannya sebagai satu panduan demi mencapai sebuah masyarakat madani, terutama dalam konteks global.

Itulah yang harus menjadi hala tuju kita. Setinggi mana pun cita-cita, tidak salah jika kita berusaha untuk mencapainya selagi ia membawa kepada kebaikan, terutama apabila ia bertujuan membentuk masa hadapan sejahtera bagi seluruh umat dunia.

Tatkala melafazkan baiah dengan penuh semangat di hadapan rektor setelah mendengar apa yang telah beliau ucapkan, saya mengingatkan diri ini bahawa halangan paling besar untuk berubah ke arah kebaikan ialah nafsu dan kedegilan diri. Maka, tepuk dada tanya selera. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN