TEATER Master Kobit yang dipentaskan baru-baru ini oleh Persatuan Badan Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dibuka dengan pencerahan dan penegasan, tidak ada kena mengena dengan wabak Covid-19. Penegasan ini penting supaya yang diangkat di pentas berkenaan adalah suatu lebih besar berbanding wabak.
Bukan bermakna wabak yang membunuh itu perkara kecil, sebaliknya teater ditulis Tan Sri Johan Jaaffar dan diarahkan oleh Aris Othman membawa persoalan lain lebih besar, misalnya masalah sikap dalam kalangan masyarakat. Teater itu berkisar tentang gelagat manusia yang bercempera apabila berdepan masalah.
Pada babak pembukaan sudah ditegaskan oleh watak Master Kobit (lakonan Dr. Rosdeen Subuh) bahawa dia tidak ada kena mengena dengan Covid-19. Hal demikian adalah penting kerana namanya, Master Kobit boleh membawa tanggapan khalayak pada Covid-19.
Sekalipun memerikan tentang satu keadaan seakan-akan atau menjurus pada era wabak Covid-19, hal itu tidak lebih sebagai latar sahaja. Sebaliknya lebih tertera adalah sikap dalam kalangan masyarakat yang mengutamakan kepentingan diri.
Watak Master Kobit bercakap dengan penonton dan dicabarnya supaya mencari nama ‘Kobit’ dalam enjin carian Google atau ensiklopedia bebas Wikipedia. Adakah nama Kobit sama dengan Covid-19? Sebenarnya ini adalah sindiran kepada sesetengah pihak yang menjadikan Google dan Wikipedia sebagai paksi kebenaran.
Lalu apabila Google tidak mengaitkan Kobit dengan Covid-19, maknanya jangan pandai-pandai hendak kaitkan dengan wabak itu. Kalau tidak percaya Google dan Wikipedia, hendak percaya kepada siapa lagi?
Mungkin ditujukan kepada ‘sang serba tahu’ yang menjadikan Google kitab rujukannya.
Kehadiran watak Wak Sin (lakonan Aloeng Silalahi) seakan-akan vaksin. Akan tetapi Wak Sin juga menegaskan yang dia bukan vaksin. Watak itu sebenarnya bukan manusia tetapi unsur-unsur yang membawa harapan dalam keadaan penuh huru-hara.
Pelakon-pelakon lain yang menjayakan teater itu adalah Takiyuddin Bakar, Eliza Mustafa, Amirul Hakim Lokman, Roydi Rokidi, Badrul Hisham, Rosli Rahman Adam dan Kyra Sabri.
Wak Sin dianggap vaksin kerana sebahagian besar dalam kalangan kita sangat percaya bahawa vaksin adalah penyelamat dalam semua keadaan. Akan tetapi yang datang menyelamatkan sang pencerah seperti Master Kobit. Dia menyelamatkan masyarakat yang kegelapan dengan pencerahan dibawanya.
Teater berkenaan lebih pada sebuah parodi yang mengejek dan menyindir sikap sesetengah dalam kalangan masyarakat. Memang kuat juga ejekannya dan ternyata melampaui hal-hal wabak Covid-19. Misalnya, Wak Sin tidak dapat menyelamatkan keruntuhan disebabkan oleh sikap manusia sendiri.
Masing-masing mementingkan diri malah menganggap lebih penting berbanding individu lain. Dalam kalangan ahli dalam sesuatu bidang pula terpaksa tunduk pada kuasa politik yang ternyata sangat oportunis.
Maka banyaklah keluar dari mulut orang yang ahli atau pakar itu tidak tulen. Itu dibayangi kepentingan politik.
Hal ini berlaku sepanjang masa dan sudah dianggap satu kebiasaan. Orang politik sangat cekap mengambil peluang dengan bertenggek di atas tengkuk golongan profesional yang ahli, tetapi tiada amanah.
Bayangkan kemusnahan menunggu apabila masyarakat yang percaya dengan kata-kata mereka yang ahli tetapi sudah dibeli oleh kuasa politik.
GELAP
Di sebalik gelak ketawa, isyarat-isyarat tentang keruntuhan dan kemusnahan disebabkan oleh sikap itu menjadi suatu yang besar. Dibahaskan secara mudah dan santai terutama oleh watak Master Kobit. Di atas pentas adalah pantulan daripada satu keadaan di mana semua dalam kalangan kita dikotak-kotak atau diasing-asing antara satu dengan lain.
Hal sedemikian boleh berlaku pada bila-bila masa, tidak menunggu ketika wabak. Tidak kira dalam keadaan tenang atau penuh huru-hara. Perkara penting diapungkan dalam teater ini adalah tidak ada kebersatuan dalam berdepan dengan masalah.
Watak Master Kobit adalah sang pencerah kepada manusia yang dibelenggu kegelapan. Gelap disebabkan sikap tidak endah untuk mencari pencerahan. Dia merungkai misteri dan manipulasi yang menjadikan manusia di planet ini berada dalam kotak-kotak, terputus antara satu dengan lain.
Maka naskhah Master Kobit yang meminjam milieu era yang amat asing itu supaya semua dalam kalangan kita kembali memeriksa diri. Watak-watak yang diangkat ke pentas adalah mewakili masyarakat kecuali Master Kobit dan Wak Sin.
Kedua-dua watak itu merupakan keadaan dan bukan manusia. Sifat keadaan itu diangkat kerana ada kelompok dalam kalangan masyarakat yang tertewas dengan keadaan. Maka keadaan jugalah yang boleh memberikan kebenaran.
Naskhah Johan kali itu membawa masyarakat melihat bahawa masalah yang sebenar lagi besar adalah dicetuskan oleh individu bermasalah. Lihatlah bagaimana watak pemain politik, doktor, wartawan, seniman, sasterawan malah rakyat biasa yang diwakili oleh peniaga kecil di atas pentas.
Semuanya bermasalah. Tidak ada satu pun yang tiada masalah. Masalah itulah yang dibawa kepada masyarakat.
Wartawan dilihat bermasalah apabila merendahkan darjat menjadi tukang lapor, bukannya pembentuk pemikiran masyarakat. Wartawan hanya menadah segala keladak yang dimuntahkan pemain politik, kemudian menghidangkan kepada masyarakat.
Ini adalah kritikan sangat tajam kepada golongan wartawan yang bersikap sedemikian. Bukan semua, segelintir sahaja. Akan tetapi memberikan kesan besar apa lagi diterajui oleh ketua-ketua yang berkepentingan.
Golongan seniman dan sasterawan juga diperlihatkan tidak berperanan selayaknya. Keberadaan golongan itu lebih rendah berbanding Master Kobit, lelaki misteri yang compang-camping.
Dalam kalangan seniman dan sasterawan juga perlu memeriksa diri, “Kenapa aku memilih bidang ini?” Maka lelaki misteri bernama Master Kobit itu dilihat membawa gagasan pemikiran yang besar berbanding seniman dan sasterawan.
Kritikan juga tidak terkecuali kepada pemain politik. Golongan itu sentiasa mengintai peluang dan membeli individu yang tidak amanah utuk kepentingan dan hayat politiknya. Digambarkan golongan profesional yang ahli bercakap untuk kepentingan golongan politik.
Kesimpulannya, di negara mundur, politik sentiasa berada di atas dan juga di depan dalam semua hal. Pemimpin politik didewakan hingga seolah-olah penentu ajal dan maut sekelian rakyatnya. Warna politik seperti itu adalah tanda aras sempitnya relung fikir dalam kalangan rakyat. – UTUSAN
PENULIS ialah Editor Kuseman.com.










