Kalaulah Krismas, Cocos milik kita…

Kalaulah Krismas, Cocos milik kita…

KEPULAUAN ini kini memiliki populasi seramai 600 orang dengan majoriti penduduknya berketurunan Melayu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU Krismas adalah sebuah pulau di Lautan Hindi yang terletak 350 kilometer jauhnya dari Pulau Jawa. Bandar Australia terdekat dengan pulau ini adalah Karratha di Australia Barat, berjarak 1,600 kilometer nun di tanah besar. Walaupun Pulau Krismas secara geografinya terletak lebih dekat dengan Indonesia, ia adalah sebahagian daripada wilayah luar (external territory of) Australia atau wilayah luar Australia.

Pulau terpencil ini mula diterokai pelayar Eropah pada 1615. Ia dinamakan Pulau Krismas oleh Kapten William Mynors apabila melayarinya pada Hari Krismas pada 1643. Pulau ini kekal tidak berpenghuni sehinggalah penempatan dibina di Flying Fish Cove pada kurun ke-19.

Pulau ini dijajah sebagai sebahagian daripada Empayar British pada 6 Jun 1888. Menyedari ia kaya dengan fosfat, pekerja dari British Malaya, Singapura dan China dibawa masuk untuk bekerja di lombong-lombong yang terdapat di situ.

Migrasi ini membentuk demografi pelbagai bangsa dan budaya di pulau ini, merangkumi penduduk berketurunan Cina dengan populasi 21 peratus, Melayu (17 peratus) dan lain-lain. Pulau ini memiliki sejarah hitam diskriminasi terhadap kaum bukan kulit putih, tetapi keadaan sudah menjadi bertambah baik kini. Terdapat 1,700 orang yang menjadikan pulau ini kampung halaman mereka.

Seperti Pulau Krismas, Kepulauan Cocos (Keeling) adalah wilayah di bawah kedaulatan Australia yang pernah dijajah oleh British pada 1857. Kepulauan ini terletak 1,000 kilometer jauhnya dari Pulau Krismas. Kepulauan Cocos (Keeling) ditemukan oleh Kapten William Keeling pada 1609, lantas dinamakan sedemikian.

Penghijrahan ke kepulauan ini bermula pada kurun ke-19 apabila pekerja berketurunan Melayu dari Malaya dibawa masuk untuk bekerja di ladang kopra. Wilayah ini kini memiliki populasi seramai 600 orang. Majoriti penduduknya berketurunan Melayu dengan pemimpin utamanya (Shire President) adalah Aindil Minkom, seorang warga berketurunan Melayu.

PEMINDAHAN KEDAULATAN
Malaya merupakan wilayah yang ditadbir British di Asia Tenggara. Pulau Pinang diambil daripada Sultan Kedah pada 1786 dan Singapura diserahkan kepada British oleh Sultan Johor pada 1819. Melaka ditukarkan dengan Bengkulu di Sumatra pada 1824.

Ketiga-tiga koloni ini disatukan sebagai Negeri-negeri Selat pada 1826 dengan Singapura sebagai ibu negerinya pada 1886. Pulau Krismas dan Kepulauan Cocos (Keeling) dijadikan sebahagian daripada Negeri-negeri Selat pada tahun yang sama.

Kependudukan Jepun di antara 1941 sehingga 1945 menyaksikan perubahan senario politik yang besar di Malaya. British gagal menubuhkan Malayan Union pada 1946 akibat penentangan hebat orang-orang Melayu. Malayan Union digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948. Apabila Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada 1957, Singapura masih lagi wilayah jajahan British.

Kedaulatan ke atas Pulau Krismas dan Kepulauan Cocos (Keeling) telah dipindahkan dari Singapura ke Australia masing-masing pada 1958 dan 1955. Tidak seperti Malaya, British tidak memberikan kemerdekaan kepada Singapura. Akan tetapi, Singapura disatukan membentuk Malaysia pada 1963.

Sekiranya perpindahan kedaulatan ke Australia tidak berlaku beberapa tahun sebelum itu, Pulau Krismas dan Kepulauan Cocos (Keeling) mungkin akan menjadi sebahagian daripada Malaysia dengan penyertaan Singapura pada 1963.

Sekiranya wilayah-wilayah ini menjadi milik Malaysia, bayangkan betapa luasnya wilayah maritim yang boleh dituntut oleh negara, dalam bentuk wilayah laut, zon ekonomi eksklusif dan pelantar benua. Dengan lokasi pulau-pulau ini yang terpencil, tuntutan maritim tidak akan bertindih dengan negara lain sepertimana tuntutan maritim di Laut China Selatan.

Akan tetapi, memandangkan Singapura hanya menjadi sebahagian daripada Persekutuan selama dua tahun, kedaulatan ke atas wilayah-wilayah ini mungkin akan tetap ikut bersama Singapura, bukannya Malaysia.
Walaupun Pulau Krismas dan Kepulauan Cocos (Keeling) terletak beribu kilometer jauhnya dari Malaysia dan Singapura, wilayah-wilayah ini berkongsi sejarah dan kebudayaan sama sebagai bekas jajahan British memiliki penduduk berketurunan Melayu yang ramai.

Ia adalah sesuatu yang istimewa apabila menyedari bahawa bahasa dan budaya Melayu kekal mekar dan segar di kepulauan yang terletak nun jauh di tengah-tengah Lautan Hindi.

Jika tidak kerana Australia mengambil alih wilayah-wilayah ini, pulau-pulau ini mungkin sahaja menjadi milik negara. Ternyata, apa yang terjadi menggambarkan kedaulatan yang tidak kesampaian.-UTUSAN

DR. Mohd. Hazmi Mohd Rusli ialah Professor Madya di Fakulti Syariah & Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan Felow Penyelidik di Institut Hal Ehwal Antarabangsa & Diplomasi Asia (AIIAD), Universiti Utara Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN