PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan siasatan menyeluruh isu operasi Network School di Forest City, Johor, susulan kebimbangan orang ramai mengenai dakwaan penglibatan individu yang menggunakan pasport negara kedua untuk memasuki Malaysia.
KDN dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius sebarang perkara yang menyentuh aspek keselamatan negara, pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta penyalahgunaan kemudahan imigresen negara ini.
Menurutnya, siasatan sedang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan.
“Siasatan merangkumi semakan identiti dan kewarganegaraan individu yang terlibat, status serta kesahihan dokumen perjalanan yang digunakan, jenis pas atau kemudahan imigresen yang diberikan serta tujuan kemasukan ke Malaysia.
“Turut disemak ialah pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang imigresen dan undang-undang lain yang berkaitan,” katanya hari ini.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Johor menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi Network School di Forest City susulan kebimbangan orang ramai, termasuk dakwaan terdapat warga Israel menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.
Menurut KDN, pihaknya turut bekerjasama rapat dengan semua kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap aspek di bawah bidang kuasa masing-masing disemak secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Katanya, sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas imigresen, pemberian maklumat palsu atau kesalahan lain yang menjejaskan keselamatan serta kepentingan negara, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi.
“KDN ingin menegaskan Kerajaan Madani tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau organisasi yang menyalahgunakan kemudahan imigresen negara atau menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang serta boleh menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang. – UTUSAN










