Formula gandakan pahala Ramadan

Formula gandakan pahala Ramadan

MASJID dan surau diminta memberi keutamaan kepada imam tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALHAMDULILLAH, hari ini kita berada pada hari kedua Ramadan. Bersyukur kepada Allah kerana dapat menyambutnya sebagaimana tahun-tahun sebelum dilanda pandemik Covid-19 pada 2020. Pada 1 April 2022, Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik susulan kejayaan program vaksinasi Covid-19 dan sistem perkhidmatan kesihatan yang berada pada tahap terkawal.

Bulan Ramadan amat ditunggu-tunggu oleh orang beriman. Sebabnya, ia bulan yang penuh dengan keberkatan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Telah datang kepadamu bulan Ramadan, bulan keberkatan, AIlah SWT mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah SWT melihat berlumba-lumbanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah SWT hal-hal yang baik dari dirimu, kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapatkan rahmat Allah SWT di bulan ini. (Riwayat At-Tabrani)

Selain berpuasa di siang hari dan menunaikan solat tarawih pada malamnya, ada beberapa formula untuk kita menggandakan pahala. Antaranya:

BERSEDEKAH

Menjadi kebiasaan umat Islam di mana-mana pun, apabila tiba Ramadan, makin bersemangat bersedekah. Tabung-tabung masjid dan pusat-pusat tahfiz biasanya akan penuh berbanding bulan-bulan lain. Ini juga adalah sunnah Rasulullah SAW. Sebabnya, Nabi Muhammad SAW merupakan seorang insan yang amat pemurah, malah baginda menjadi lebih pemurah dalam Ramadan.

Diriwayatkan Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang memberikan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu. (Riwayat Tirmidzi)

Untuk itu, marilah kita melatih diri dan anak-anak untuk menderma. Mulakan dengan nilai paling minimum RM1 setiap malam. Bekalkan anak-anak dengan wang ini, mudah-mudahan selepas Ramadan, mereka akan lekat hatinya di masjid dan juga istiqamah bersedekah pada bulan-bulan selainnya.

BERAZAM SOLAT FARDU LIMA WAKTU BERJEMAAH

Solat adalah perkara pertama akan dihisab oleh Allah di akhirat kelak.

Disebabkan dalam bulan-bulan lain kita sering lalai dengan urusan dunia hingga tertinggal solat berjemaah, inilah masanya untuk memperbaiki prestasi masing-masing.

Bangun sahur jangan kita sia-siakan semata-mata untuk bersahur. Peruntukkan sedikit masa untuk sekurang-kurangnya solat tahajud dua rakaat. Antara kelebihan bersahur selain keberkatan dan bertujuan memberi tenaga semasa berpuasa, ia adalah peluang untuk kita solat subuh berjemaah di masjid dan surau.

Setiap amal anak Adam akan digandakan pahalanya sebanyak 10 sehingga 700 kali. Allah berkata: Kecuali puasa, sesungguhnya ia milik Aku, dan Aku yang akan membalasnya. Orang yang berpuasa meninggalkan nafsu syahwat, dan makannya kerana Aku. Orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih wangi di sisi Allah berbanding kasturi. (Riwayat Muslim)

Dalam masa sama, jangan lepaskan peluang menunaikan solat tarawih yang hanya datang setahun sekali. Sibuk sekali mana pun, usahakan untuk solat tarawih jika tak sempat di masjid atau surau, dirikan di rumah bersama anak dan isteri.

BANYAKKAN MEMBACA AL-QURAN, BERZIKIR

Bulan Ramadan juga dikenali sebagai bulan al-Quran diturunkan. Ia sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: Bulan Ramadan yang Kami turunkan dalamnya al-Quran yang menjadi petunjuk untuk manusia… (al-Baqarah: 185)

Isilah masa kita yang terluang dengan membaca al-Quran kerana ganjaran membaca satu huruf al-Quran juga akan diberikan 10 kebaikan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi 10 kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim (di permulaan surah) itu satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf. (Riwayat Tirmidzi)

Untuk memudahkan kita khatam al-Quran dalam Ramadan, bolehlah diamalkan petua ini. Bacalah dua muka surat al-Quran setiap kali selepas solat fardu. Dengan kata lain, setiap kali solat fardu, baca dua muka surat. Jadi, dengan solat lima waktu, kita boleh menghabiskan 10 muka surat iaitu bersamaan satu juzuk. Dengan cara ini, insya-Allah kita boleh khatam 30 juzuk al-Quran sepanjang sebulan Ramadan.

Lagipun, bukan lama sangat untuk menghabiskan dua muka surat itu, Jika bacaan sederhana laju, ia cuma mengambil masa paling lama 12 minit. Jadi, dalam tempoh satu jam sehari, kita boleh habiskan membaca satu juzuk al-Quran iaitu suatu yang mustahil untuk dilakukan pada bulan-bulan selain Ramadan.

KURANGKAN MELAYAN MEDIA SOSIAL

Kita tidak mahu menjadi orang puasa yang akhirnya tidak beroleh apa-apa pahala, iaitu hanya dapat lapar dan dahaga. Puasa khusus ialah puasa orang soleh iaitu menahan anggota badan daripada melakukan dosa.

Ini dapat dicapai antaranya menundukkan pandangan, menahannya daripada meluaskannya kepada setiap perkara yang dicela dan dibenci. Juga mengelak daripada setiap perkara yang menyibukkan hati seseorang dan melalaikannya daripada mengingati Allah SWT.

Seterusnya, memelihara lisan daripada berdusta, mengumpat, mengadu domba, bercakap dusta, menimbulkan persengketaan dan seumpamanya. Ini adalah cabaran paling hebat dalam dunia tanpa sempadan dan segalanya boleh dilakukan dengan sebatang jari terutama melalui media sosial.

Jangan sampai kita puasa tapi tidak dapat pahala kecuali lapar dan dahaga. Sebab itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam. (Riwayat Ibnu Majah)

Malah, Allah turut memberi amaran kepada golongan berkenaan melalui hadis Nabi SAW yang bermaksud: Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya. (Riwayat Bukhari) – UTUSAN

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×