Diaspora India dan buah kelapa - Utusan Malaysia

Diaspora India dan buah kelapa

POKOK dan buah kelapa dijadikan metafora untuk menyampaikan mesej dalam filem pendek The Diaspora Story: Kalpavriksha. – IHSAN DEEPAK KUMARAN MENON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAUM India di Malaysia diumpamakan buah kelapa yang gugur ke dalam laut di pantai negara India dan dibawa arus hingga ke Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia.

Metafora ini digunakan Deepak Kumaran Menon dalam projek filem pendek terbaharu berjudul The Diaspora Story: Kalpavriksha yang terdiri daripada 18 segmen dengan setiap satu sepanjang satu minit sahaja.

Deepak bukan orang baharu dalam bidang pembikinan filem seni di Malaysia. Graduan sarjana muda seni media dan sains (2001) serta sarjana perniagaan (2012) dari Universiti Multimedia (MMU) ini pernah menyajikan dua filem Tamil penuh bermakna, iaitu Chemman Chaalai (2005) dan Chalangai (2007).

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Deepak, selepas menyepi selama 13 tahun, beliau memulakan projek filem pendek itu di mana beliau menjadi penulis skrip, pengarah dan penyunting.

Perkataan kalpavriksha merujuk kepada pohon magis dalam mitos Hindu dan terhasil semasa peristiwa Samudra Manthana (lautan bergelora) yang saya turut huraikan dalam buku Khanda Puranam (2022). Dalam siri filem pendek ini, watak utama ialah buah kelapa daripada pokok yang biasanya tumbuh di kawasan berpasir di pesisir pantai.

Buah kelapa yang gugur secara semula jadi dihanyutkan air ke lokasi baharu yang agak jauh dari induk, sebagaimana saya huraikan menerusi tulisan di ruangan ini pada 20 Februari 2021.

Deepak berjaya menggunakan imej kelapa sebagai metafora dan simbol bagi menceritakan pelbagai perkara penuh bermakna mengenai diaspora India di Malaysia. Sayangnya, beliau masih meneruskan naratif orang India dibawa penjajah British sebagai buruh ladang.

Sebenarnya, orang Tamil, Malayali, Telugu, Gujarati, Bengali dan sebagainya sudah ada hubungan perdagangan dan diplomatik dengan Nusantara jauh sebelum kedatangan Portugis, Belanda dan British ke wilayah Asia Selatan dan Asia Tenggara. Hal-hal ini saya huraikan menerusi buku Malaiur Manikam (2015), Mandala Bicara (2016) dan Suvarna Bhumi (2022).

Filem pendek Deepak tetap merupakan suatu dokumentasi penting kerana memperkatakan perihal sejarah, identiti, jati diri, budaya, permasalahan, cabaran dan impian kaum India di negara ini pada masa silam, masa kini dan masa depan.

Setiap segmen 60 saat sebenarnya sarat dengan madah, mesej, persoalan, falsafah, fakta, trivia dan makna yang mendalam untuk direnungkan. Suara latar Saran Narayanan dalam bahasa Tamil disertakan sari kata Inggeris bagi memudahkan pemahaman dan penghayatan.

Saya amat suka dengan metafora pokok dan buah kelapa yang digunakan Deepak dan divisualkan pula oleh Malek Hue dan Rupesh Kumar dengan penuh seni. Muzik oleh Hardesh Singh melengkapkan medium penceritaan secara audio dan visual.

Pohon kelapa amat lasak dan tumbuh menghadap mata angin iaitu tidak seperti pokok-pokok lain yang tunduk kepada arah tiupan ribut. Walaupun tidak ada akar tunjang, ia memiliki akar yang kuat mencengkam tanah serta mampu kembali tumbuh menghadap langit jika tumbang.

RINTANGAN

Semangat dan kegigihan semula jadi pada pohon dan buah kelapa digunakan oleh Deepak secara penuh seni dan kreatif untuk memperkatakan realiti hidup diaspora India di Malaysia tanpa mengguris hati sesiapa.

Setiap segmen umpama serangkap pantun Melayu, sebuah haiku Jepun atau dua baris kural Tamil yang memuatkan mesej amat besar tetapi hanya mampu difahami jika dikaji dan dihayati secara mendalam.

Pelbagai fakta menarik tentang buah kelapa dikongsikan mengikut keperluan cerita. Misalnya, buah kelapa perlu ditanam bersama-sama sabut jika kita mahu ia tumbuh menjadi sebatang pokok yang bakal pula menghasilkan buah.

Namun, saya agak kecewa melihat sebiji kelapa muda (warna hijau) digunakan dalam segmen kedua untuk menggambarkan bagaimana buah kelapa dihanyutkan ke tempat baharu. Secara logik, hanya kelapa tua (warna perang) boleh tumbuh menjadi pokok.

Secara amat bijak, Deepak membandingkan nasib buah kelapa dengan kaum India di Malaysia. Isu dan topik yang dikupas amat perlu dibincangkan secara terbuka sekiranya kita benar-benar ikhlas dalam memastikan kelangsungan hidup diaspora India secara bermaruah dan memiliki jati diri.

“Saya mahu memberi inspirasi kepada individu dalam komuniti India supaya bekerja keras jika mahu mengecap nikmat kejayaan walaupun terpaksa menghadapi pelbagai rintangan.

“Selain menyatukan kaum India di Malaysia, filem berbentuk antologi ini juga diharap boleh memperkasa komuniti agar mampu mencapai mobiliti sosial secara kendiri,” kata Deepak apabila ditanya tentang projek yang diusahakan dengan geran daripada Dana Krishen Jit (2022).

Walaupun keseluruhan filem pendek ini hanya 18 minit, penonton perlu memikirkan pelbagai persoalan lain yang tidak dihurai secara terperinci di skrin. Minda dan jiwa penonton dijentik supaya merenung ke dalam diri, masyarakat dan hal-hal dunia untuk benar-benar memahami hal-hal yang diketengahkan.

Misalnya, dalam segmen kesembilan, disebut tentang anak dalam kandungan disumpah si bapa supaya memiliki lapan jenis kecacatan. Deepak tidak menghurai lanjut tentang watak Ashtavakra yang muncul dalam epik Ramayana dan Mahabharata. Terpulanglah kepada penonton untuk mencari makna kepada unsur interteks itu.

Kita biasa melihat orang Hindu memecahkan kelapa semasa upacara sembahyang dan perayaan seperti Thaipusam. Tempurung kelapa yang keras disimbolkan sebagai ego dan segala sifat negatif dalam diri.

Apabila kelapa dihempas dan tempurungnya pecah, maka kelihatan isi (kopra) putih dan air tulen tanpa sebarang pencemaran. Saya melihat The Diaspora Story: Kalpavriksha umpama TikTok, ringkas padat tetapi memiliki mesej amat mendalam berkaitan budaya dan jati diri kaum India di Malaysia. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×