‘Cubalah bawa semangat Persekutuan ke Sabah’

‘Cubalah bawa semangat Persekutuan ke Sabah’

NORAZLINAH Arif (kanan) mengambil keputusan keluar dari Warisan kerana pendirian parti itu di Sabah dan Persekutuan tidak selari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

TEMU bual antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, NORAZLINAH ARIF dengan wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN menerusi telefon pada peringkat awal sedikit tegang apabila soalan agak provokatif ditanyakan.

Sehinggakan Norazlinah ragu-ragu sama ada wartawan yang sedang menghubunginya atau anggota polis mahu keterangan lanjut berkenaan ‘tawaran’ supaya keluar dari Parti Warisan (Warisan) dan menyokong kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Ini kerana kurang sebulan bergelar wakil rakyat Bebas selepas keluar dari Warisan, 6 Februari lalu, Norazlinah kini bernaung di bawah Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang merupakan parti komponen GRS.

Namun, beliau menjawab soalan penuh tertib dan sopan sambil menggelarkan dirinya sebagai kakak. Bekas Ketua Wanita Warisan ini menjelaskan mengapa keluar parti dan menyokong kerajaan negeri.

UTUSAN: Yang Berhormat (YB) pernah bertegas tidak akan keluar dari Warisan walaupun ditawar imbuhan daripada pihak tertentu, tetapi akhirnya bertindak sedemikian dan menyokong kerajaan negeri Sabah. Boleh jelaskan?
NORAZLINAH: Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, kita (Warisan) berjanji kepada rakyat bahawa parti yang menang akan disokong. Apabila selesai PRU, Warisan memutuskan untuk bersama-sama membentuk Kerajaan Persekutuan.

Tetapi Warisan tidak melakukan perkara sama di peringkat negeri. Apabila ada ketidakselarian antara urus tadbir Persekutuan dan negeri, saya tidak rasa ia adalah perkara yang sihat untuk rakyat dan kami sebagai ADUN. Cubalah bawa semangat sama ke Sabah. Negeri kita sudah jauh ketinggalan dan semakin ketinggalan berbanding negeri lain.

Di peringkat Persekutuan keadaannya lain, di peringkat negeri pula kita (Warisan) kutuk GRS pimpinan Hajiji. Warisan tahu apa kelemahan GRS, mengapa tidak duduk bersama dan membaiki kekurangan supaya menjadi lebih baik? Mengapa tidak saling bantu-membantu? Apa sebenarnya yang mahu ditunjukkan Warisan kepada rakyat?

Apabila tindakan Warisan menyokong Barisan Nasional (BN) untuk menjatuhkan kerajaan negeri sebelum ini, saya sebagai salah seorang pemimpin berfikir ini sudah tidak sihat lagi untuk Sabah disebabkan kemelut politik negeri yang berlaku. Jadi, ia mesti dihentikan. Sebab itu saya buat keputusan keluar dari Warisan dan terus berkhidmat untuk rakyat serta pengundi saya di Kunak.

Jika Warisan bersama-sama menyokong kerajaan negeri, apakah tiada lagi pembangkang dan di manakah semak dan imbangnya?
Saya tetap yakin dan percaya untuk menjalankan semak dan imbang, Warisan akan terus mencurahkan idea dan saranan walaupun berada di dalam kerajaan negeri. Lagipun, tiada syarat mengatakan jika sesebuah parti politik menyokong kerajaan, maka semua dasar akan disokong sepenuhnya. Warisan (katakan bersama dalam kerajaan negeri) masih boleh bertindak sebagai semak dan imbangnya, beri pandangan jika dirasakan perlu. Tiada masalah.

Saya merujuk kepada dakwaan Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman dengan niat ditujukan kepada YB mengenai ‘banyak hutang’ dan ‘tawaran’ menyebabkan YB keluar parti dan menyokong kerajaan negeri. Respons?
Saya tidak mahu ulas lebih mengenai perkara ini kerana ia hanya mengeruhkan lagi keadaan. Rakyat sendiri boleh menilainya melalui cara percakapan dan bahasa yang digunakan. Cuma bagi saya ini adalah penghinaan.

Jadi YB memang tidak ditawarkan sebarang imbuhan untuk menyokong kerajaan negeri?
Ini bukanlah masa yang genting untuk Ketua Menteri Sabah mahu ‘membeli’ ADUN ke sana sini termasuklah ‘membeli’ saya. Beliau sudah mempunyai lebih 40 akuan bersumpah (SD) daripada ADUN. Jadi, beliau tidak perlu sangat tambahan sokongan daripada saya.

Saya keluar parti kerana masanya sudah tiba, perkara ini (Warisan sebagai pembangkang di negeri tapi kerajaan di Persekutuan) harus dihentikan. Semua parti politik mesti berhenti berpolitik. Pilihan raya sudah selesai dan cukuplah dengan tindakan rampasan kuasa, usaha jatuh-menjatuhi antara satu lain.

Kalaulah kita (Warisan) bermuhasabah diri, cuba fikir mengapa ramai ADUN Warisan keluar parti? Di manakah silapnya Warisan sehingga kalah teruk dalam PRU15?

Sabah masih belum melaksanakan undang-undang yang menghalang wakil rakyat melompat parti. Adakah ini memberi kelebihan kepada YB untuk kekal pendirian keluar dari Warisan?
Selagi undang-undang ini belum dilaksanakan, saya yakin tidak melakukan kesalahan besar, walaupun undang-undang itu sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tetapi sehingga kini tiada undang-undang yang menghalang saya.

Adakah YB tertekan dengan pelbagai isu yang melanda?
Tidak sama sekali, sebaliknya tekanan-tekanan yang datang itu lebih membuatkan saya mahu menyelaraskan semula fokus saya. Dalam parti terdahulu, saya sering difitnah termasuklah apa yang berlaku sekarang.

Keputusan saya hanya berubah apabila Warisan enggan menyokong kerajaan negeri sedia ada. Banyak lagi hal yang saya tidak setuju dengan Warisan, tetapi saya tidak mahu cerita lanjut mengenainya. Tidak memberi impak positif kepada rakyat.

Apa YB tawarkan kepada rakyat Kunak?
Saya minta maaf kepada rakyat Kunak, selama menjadi pembangkang tidak banyak bantuan boleh dihulur. Keputusan saya keluar parti juga sangat berat, tetapi inilah masanya untuk memberi semula kepada rakyat yang sudah lama dahagakan pembelaan.

Sekarang saya mahu fokus menjalankan tugas dan tanggungjawab mewakili suara orang Kunak dan membawa pembangunan sesuai dengan peruntukan diberi kepada wakil rakyat.

Semasa menjadi kerajaan dahulu selepas PRU14, banyak projek kecil kita bawa, khususnya fokus kepada membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk. Kami rancakkan ekonomi Kunak antaranya membuka lebih banyak perniagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN