Bertuahnya hal ehwal Islam ditadbir dari dalam istana

Bertuahnya hal ehwal Islam ditadbir dari dalam istana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini merupakan tarikh keramat bagi Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) kerana melakar sejarah 25 tahun penubuhannya.

Sungguhpun kewujudannya masih baharu jika dibandingkan dengan keberadaan institusi kehakiman syariah yang telah menapak di tanah air seawal abad ke-15 Masihi, namun tidak salah jika dikatakan JKSM berjaya menyelaras sistem pentadbiran kehakiman dengan inovatif dan berkesan.

JKSM ditubuhkan menerusi persetujuan jemaah menteri selepas meneliti laporan daripada Jawatankuasa Mengkaji Kedudukan Mahkamah-Mahkamah Syariah dan Taraf Kadi-Kadi Seluruh Malaysia pada 1972 yang dipengerusikan oleh Tun Syed Nasir Ismail serta Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil dipengerusikan oleh Profesor Ahmad Mohamed Ibrahim.

Penubuhan JKSM merupakan inisiatif Perdana Menteri keempat dengan matlamat utamanya untuk mengendalikan kes-kes rayuan syariah seluruh negara dan menggubal dasar untuk mempertingkatkan prestasi mahkamah syariah di negeri-negeri.

Sepanjang suku abad pengoperasiannya, JKSM berada di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan dikendalikan oleh Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie yang mengetuai badan kehakiman dan pentadbiran perundangan syariah. Sebagai badan penyelaras sistem kehakiman dan perundangan syariah di peringkat Persekutuan, JKSM mempunyai hubungan erat dengan mahkamah syariah di seluruh negara terutama bagi memantau dan menyelaras aspek perundangan, pentadbiran, pelaksanaan Arahan Amalan peningkatan kompetensi dan pengurusan sumber manusia.

Sehingga kini terdapat tujuh negeri berada di bawah penyelarasan dan pentadbiran JKSM iaitu Wilayah Persekutuan, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perlis dan Sabah. Sungguhpun JKSM bertindak selaku penyelaras, jabatan ini memahami bahawa kuasa tertinggi bagi hal ehwal agama Islam di negeri-negeri adalah tertakluk kepada kuasa raja-raja di negeri masing-masing.

Bagi ketujuh-tujuh negeri di bawah penyelarasan JKSM atau dikenali sebagai Negeri-Negeri Bukan Perkhidmatan Gunasama, pelbagai manfaat besar dinikmati dalam pengurusan pentadbiran kehakiman dan perundangan seperti pembayaran emolumen bulanan dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan tanpa melibatkan sumber kewangan negeri, peluang kenaikan pangkat dalam tempoh lebih singkat serta ruang menghadiri kursus di luar negara.

Dari aspek kompetensi, para pegawai terdedah kepada pengalaman kerjaya lebih luas dan mempunyai pilihan pegawai berkredibiliti lebih ramai bagi pelantikan jawatan-jawatan strategik dan utama untuk diisi di negeri-negeri berkenaan. Paling penting, penyelarasan dari sudut pentadbiran bagi maksud penyeragaman lebih mudah dicapai kerana wujudnya persefahaman dalam pelaksanaan sistem kehakiman di negeri masing-masing.

Sungguhpun begitu, perhatian JKSM terhadap tujuh Negeri Bukan Gunasama tidak pernah diabaikan. Ia terbukti melalui penyaluran peruntukan kewangan bagi pembangunan fasiliti mahkamah seperti pembinaan kompleks ibu pejabat mahkamah syariah di Kedah, Kelantan dan Pahang serta kelengkapan teknologi maklumatnya. Begitu juga dengan kesediaan panel hakim rayuan syariah JKSM untuk dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di negeri-negeri.

Bagi aspek pentadbiran, perkembangan penyelarasan dibentangkan menerusi platform Persidangan Ketua Hakim Syarie dan Mesyuarat Ketua Pendaftar seluruh Malaysia, pengendorsan Arahan Amalan serta prosedur operasi standard (SOP).

MINDA

Dari aspek peningkatan kompetensi pula, JKSM tidak pernah mengecualikan keterlibatan para pegawai di negeri-negeri berkenaan. Malah para pegawai sentiasa dijemput bagi percambahan minda menerusi siri kursus/latihan/webinar/seminar dan persidangan pegawai syariah. Tidak hanya terhenti di situ, peruntukan besar turut disediakan bagi meningkatkan keberkesanan pentadbiran menerusi pengaplikasian sistem e-syariah dan kemudahan bahan rujukan lainnya.

Sebenarnya, pelbagai kejayaan telah dicapai oleh JKSM menerusi inovasi yang dilaksanakan. Selain sistem e-syariah, beberapa inovasi lain termasuklah penyediaan kaedah rayuan, pengenalan kepada konsep sulh, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) bagi penguatkuasaan perintah nafkah, e-Faraid, kaedah perceraian secara fast-track di Selangor, Program Sifar Kes Tertunggak (SiKeT) di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, eDate di JKSN Negeri Sembilan, E-Syariah instant access procedure (e-Siap) di JKSN Pulau Pinang dan EZ Trace di Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

Sehubungan itu, tidak hairan apabila kajian yang saya lakukan terhadap kes pembubaran perkahwinan di seluruh negara mendapati 95 peratus daripada 306,454 kes berjaya diselesaikan dalam tempoh 365 hari bagi 2015 hingga 2019, berbanding hanya 90 peratus daripada 239,286 kes yang berjaya diselesaikan sepanjang 2010 hingga 2014. Malah, penyelesaian kes dalam tempoh 180 hari juga meningkat daripada 80 kepada 87 peratus.

Begitu juga tohmahan bahawa keputusan hakim yang bias terhadap wanita hampir tidak kedengaran. Malah bilangan kakitangan, pegawai dan hakim wanita dipertingkatkan bagi memudahcara pelanggan. Terkini, pegawai wanita turut dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di JKSM.

Menurut Rule of Law Index (RLI) yang dikeluarkan oleh The World Justice Project pada 2022, sistem keadilan di Malaysia menduduki tempat ke-41 daripada 140 negara dengan Malaysia merupakan negara Islam kedua terbaik di dunia. Islamicity Indices 2021 yang dilakukan terhadap 149 negara di seluruh dunia pula meletakkan Malaysia di tempat pertama dalam kalangan negara Islam bagi hal ehwal perundangan dan pentadbiran.

Kejayaan ini berkemungkinan merupakan rentetan daripada pencapaian JKSM di peringkat nasional. Ini kerana pada 2019, prestasi kluster perundangan dan kehakiman merupakan kluster terbaik institusi agama di Malaysia. Malah sebelum itu, JKSM turut mencatat skor tertinggi iaitu sebanyak 84.91 peratus (2017) berbanding 76.06 peratus (2016) dan 75.42 peratus (2015) menurut Indeks Syariah Malaysia (ISM).

Kejayaan-kejayaan ini menjadi indikator yang baik kepada JKSM dalam usaha mencapai matlamat Pelan Strategik 2021-2025 bagi menerajui bidang kehakiman dan perundangan syariah di Malaysia. Seterusnya menjadi sebuah organisasi bertaraf global menerusi program pembangunan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Sesungguhnya JKSM dengan pimpinan empat ketua pengarah terdahulu telah melakukan pelbagai anjakan paradigma. Kini, kesinambungan lompatan tersebut diteruskan dengan lebih progresif bagi memperkasakan institusi kehakiman syariah di Malaysia. Pelbagai isu yang mendasari institusi kehakiman syariah seperti hierarki mahkamah, pengasingan kuasa dan kebebasan kehakiman, pewujudan suruhanjaya kehakiman syariah, emolumen, sistem saraan hakim serta hal ehwal bidang kuasa merupakan antara kebijakan yang memerlukan perhatian kritikal.

Bertuahnya Malaysia kerana hal ehwal agama Islam ditadbir dari dalam istana. Justeru, langkah pemerkasaan undang-undang Islam, institusi kehakiman syariah serta pemeliharaan maruahnya sentiasa berada dalam radar payung Majlis Raja-Raja. Daulat Tuanku! – UTUSAN

DR. Roziana Mat Amin ialah Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×