KEWUJUDAN mahkamah syariah begitu sinonim dengan wanita. Manakan tidak, keberadaan institusi kehakiman syariah ini sebenarnya menjadi benteng terakhir kepada wanita bagi memperoleh kata putus untuk setiap pergolakan rumah tangga.
Sebagai contoh, apabila berlaku konflik yang tidak berjaya diselesaikan, maka pasangan tersebut akan memfailkan kes di mahkamah bagi meleraikan ikatan perkahwinan sama ada menerusi talak, taklik, fasakh atau jenis pembubaran perkahwinan lainnya seperti khuluk, li’an, anggapan kematian, pertukaran agama atau farak nikah.
Tidak terhenti di situ, pemfailan kes juga melarat kepada hak-hak selepas perceraian seperti nafkah idah, nafkah anak, nafkah tertunggak, mutaah, hadhanah, hutang mahar dan harta sepencarian.
Kajian yang saya lakukan sepanjang hampir satu dekad kebelakangan ini mendapati 90 peratus daripada kes pembubaran perkahwinan di mahkamah syariah difailkan oleh wanita.
Peratusan ini jauh lebih tinggi berbanding kajian pada penghujung 1990-an dan 2000-an yang mendapati purata antara 50 hingga 70 peratus kes difailkan oleh pihak isteri. Justeru, kebergantungan wanita terhadap mahkamah syariah bagi meleraikan persengketaan rumah tangga bukanlah suatu omongan.
PROFIL
Bagi kes pembubaran perkahwinan, 80 peratus daripada isteri yang memfailkan kes tersebut merupakan golongan berpendapatan rendah (B40) dengan gaji kurang daripada RM4,360 sebulan, berpendapatan sederhana (M40) gaji antara RM4,361 hingga RM9,619 (17%), manakala berpendapatan tinggi (T20) dengan gaji lebih RM9,620 sebulan (tiga%).
Daripada golongan B40 tersebut, 55 peratus daripadanya merupakan isteri yang berpendapatan bulanan antara RM981 hingga RM2,208, tidak bekerja (21%), pendapatan bulanan antara RM2,209 hingga RM4,360 (20%), manakala berpendapatan antara RM1 hingga RM980 sebulan (empat%).
Daripada kajian yang dilakukan juga didapati wanita daripada kumpulan sokongan di sektor swasta merupakan golongan paling ramai memfailkan perceraian, diikuti suri rumah dan wanita profesional di sektor swasta.
Wanita yang bekerja sendiri serta penjawat awam kumpulan sokongan dan profesional pula merupakan pecahan terkecil yang memfailkan pembubaran perkahwinan. Dari aspek usia, wanita paling ramai memfailkan pembubaran perkahwinan adalah antara 31 hingga 35 tahun, diikuti 36 hingga 40 tahun dan 26 hingga 30 tahun.
Terdapat perbezaan ketara dari aspek umur antara kajian pada dekad ini dengan 1983 hingga 1990 dan 2000 hingga 2010 dengan masing-masing antara 25 hingga 29 tahun dan 27 hingga 37 tahun. Peningkatan usia perceraian ini sebenarnya berkait rapat dengan umur ketika perkahwinan serta peningkatan kes perceraian bagi pasangan yang berada dalam tempoh perkahwinan kurang dari 10 tahun.
Bagi pasangan yang bercerai, kajian mendapati 73 peratus daripada pasangan berkenaan memiliki anak. Tambah memilukan usia anak yang menghadapi situasi pecah belah keluarga tersebut adalah antara tujuh hingga 12 tahun. Diikuti kurang dari empat tahun, empat hingga enam tahun dan 13 hingga 17 tahun.
Berbeza dengan masyarakat di Eropah atau Amerika Syarikat yang menjadikan anak sebagai faktor yang mempengaruhi kestabilan sesebuah keluarga, ataupun amalan segelintir masyarakat di Asia Selatan yang menjadikan zuriat lelaki sebagai pengikat keharmonian rumah tangga, ironinya formula tersebut tidak terpakai di Malaysia.
Dengan bahasa mudah, kewujudan anak sama ada lelaki ataupun perempuan bukanlah faktor bagi mengelakkan perceraian di negara ini.
INISIATIF
Sesungguhnya, jarak umur antara 26 hingga 40 tahun merupakan tempoh produktif seseorang wanita berperanan selaku suri rumah mahupun dalam bekerjaya.
Justeru, mahkamah berkeupayaan untuk menyempitkan margin tekanan emosi kepada kaum berkenaan terutama apabila melibatkan isu kegagalan suami/bekas suami menghadiri prosiding, kerumitan penyampaian saman, kerenah birokrasi, ketidakmampuan melantik peguam dan kejahilan mengenai istilah perundangan ketika sesi pendengaran.
Menyedari profil wanita yang menjadi pelanggan di mahkamah, maka tidak hairan apabila Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan mahkamah syariah di seluruh negara mempertingkatkan pengambilan pegawai dan kakitangan wanita sama ada untuk berkhidmat selaku pegawai pentadbiran mahupun hakim di peringkat mahkamah rendah dan mahkamah tinggi.
Terkini, buat julung kalinya Noor Hadina Ahmad Zabidi yang merupakan antara pegawai wanita lantikan pertama skim perkhidmatan guna sama pegawai syariah dilantik selaku Hakim Rayuan JKSM berkuat kuasa 25 Januari lalu.
Selain itu, bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa dan keculasan suami/bekas suami menunaikan tanggungjawab, nampaknya kaedah paling lagom (bersesuaian serta praktikal) adalah memberikan ruang pekerjaan yang sama rata kepada golongan lelaki dan wanita. Nilailah wanita sebagai individu yang mempunyai meritnya tersendiri, tanpa diskriminasi terhadap jantina.
Sikap majikan yang mengamalkan pilih kasih terhadap jantina tertentu menyebabkan jurang ketara antara pekerja lelaki dan wanita meningkat kepada 39 peratus meskipun golongan Hawa merupakan paling ramai mendominasi jumlah graduan di institusi pengajian tinggi (IPT) saban tahun.
Ini kerana kajian mendapati majoriti wanita yang diperlecehkan dalam rumah tangga adalah disebabkan tiga faktor utama, iaitu pendidikan, ekonomi dan kerjaya. Dalam erti kata lain, wanita yang mempunyai tahap pendidikan lebih tinggi dan mempunyai sumber kewangan dapat membesarkan kuasa rundingan mereka. Hasilnya, mereka berkemampuan meningkatkan interaksi/komunikasi dan dalam masa sama mengurangkan kemelut rumah tangga.
Pendedahan mengenai profil umum wanita yang menjadi pelanggan di mahkamah syariah juga diharapkan dapat membantu kementerian, jabatan, agensi kemasyarakatan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memberikan perhatian lebih serius terhadap golongan rentan tersebut terutama dalam usaha membangunkan sebarang polisi mahupun menyalurkan bantuan kebajikan.
Sungguhpun tiada hukum graviti yang mampu menenggelamkan kemampuan wanita, namun topangan yang utuh diperlukan bagi membela dan memperkasakan mereka. – UTUSAN
DR. Roziana Mat Amin ialah Penolong Pengarah Kanan di Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).











