BARU-BARU ini, Sultan Johor bertitah menggesa kerajaan perpaduan untuk menyingkirkan kanser rasuah. Sultan Johor juga menitahkan bahawa kerajaan mestilah bekerja lebih keras dan tidak memberi alasan dalam membuang penyakit kanser rasuah dari negara kita.
Sering kali kita faham bahawa rasuah berkait dengan pemberian dan penerimaan wang untuk mendapatkan sesuatu kebaikan atau pengaruh. Sedangkan rasuah juga termasuk hadiah dan servis yang diberikan atau diterima. Ia merupakan satu amalan melanggar moral dan etika yang memberi kesan negatif kepada seluruh sistem ekonomi, pembangunan sosial dan politik sesebuah negara.
Impak rasuah dapat dirasai oleh setiap lapisan masyarakat secara sedar ataupun tidak sedar. Rasuah mempunyai kesan yang besar terhadap perkembangan ekonomi dan sosial kerana ia membawa kepada ketirisan dalam penggunaan sumber-sumber berikutan penyaluran berlaku secara tidak berkesan khususnya apabila wujud ketidakcekapan dalam pelaksanaan projek-projek terutama projek-projek kerajaan.
Saban tahun kita sebagai rakyat akan mendengar pembentangan bajet di Parlimen yang menentukan perbelanjaan dan sumber pendapatan bagi negara, selain menentukan arah pembangunan ekonomi dan sosial negara serta memberikan gambaran mengenai polisi fiskal kerajaan dalam jangka masa panjang.
Dalam Belanjawan 2023, disebabkan kita masih dalam tempoh pemulihan ekonomi negara daripada kesan pandemik Covid-19, kerajaan mengumumkan cadangan pelaksanaan program-program yang membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih baik. Belanjawan 2023 dilihat meliputi skop pemulihan ekonomi, pembangunan infrastruktur, pendidikan, teknologi maklumat serta kesihatan.
Berkenaan pemulihan ekonomi, kerajaan akan memberi bantuan kewangan kepada rakyat serta perniagaan kecil dan sederhana. Selain itu, kerajaan akan memperkenalkan beberapa insentif baharu bagi menarik pelaburan asing dan mempercepatkan pemulihan ekonomi negara. Kerajaan juga mengumumkan akan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur termasuk projek-projek besar seperti pembinaan jalan raya, jambatan, stesen kereta api, pelabuhan dan lapangan terbang.
Kerisauan timbul apabila projek-projek diumumkan dalam Belanjawan 2023, adakah rasuah terselip dalam proses pemberian tender kepada syarikat-syarikat yang berminat untuk mendapatkan projek?
Soalan ini sentiasa bermain-main dalam fikiran rakyat kerana amalan rasuah seakan-akan menjadi perkara biasa sehingga Sultan Johor perlu membuat satu titah secara umum terhadap kerajaan perpaduan untuk menghapuskan kanser rasuah.
Lebih merisaukan, amalan rasuah ini seakan-akan menjadi satu ‘rahsia terbuka’ yang sudah dianggap rakyat sebagai perkara biasa yang ada dalam proses rundingan tender-tender projek.
KUANTAN
Tidak dinafikan terdapat proses bagi mendapatkan tender projek berjalan tanpa amalan rasuah, namun ia ditenggelamkan dengan projek-projek yang terpalit dengan rasuah secara terbuka. Malah, dalam sistem keadilan negara kita juga, rasuah tetap menjadi musuh seluruh badan kehakiman dan peguam sebagai officers of the court.
Badan kehakiman negara kita berdiri atas prinsip undang-undang yang mapan dan perkara yang mengancamnya seperti rasuah boleh meruntuhkan sistem keadilan. Yang mana bukan sahaja perlu berlaku adil dalam setiap tindakannya, malah perlu dilihat sebagai adil.
Beberapa kes rasuah pernah dilaporkan dalam akhbar-akhbar tempatan membabitkan badan kehakiman seperti bekas majistret dibuktikan bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan kerana menerima suapan rasuah. Kes seperti ini amat merisaukan kerana akan mengurangkan integriti dan kredibiliti badan kehakiman. Imej badan kehakiman juga akan runtuh dan menyebabkan masyarakat kehilangan keyakinan dan kepercayaan kepada institusi kehakiman negara.
Dalam aspek aplikasi perundangan kepada kes-kes di mahkamah, rasuah boleh meningkatkan ketidakadilan kerana pihak yang berhak mendapat keadilan telah dihalang haknya untuk mendapat keputusan adil. Juga dalam kes-kes jenayah, rasuah dapat mendorong kesalahan dan penyelewengan dalam proses hukuman seperti membebaskan orang bersalah atau menghukum orang tidak bersalah.
Bagaimanapun, tindakan memerangi rasuah bukanlah satu usaha mudah. Ia memerlukan kesedaran dan sokongan daripada semua lapisan masyarakat. Pihak berkuasa juga harus memainkan peranan penting dalam menghapuskan rasuah dengan menegakkan undang-undang dan peraturan ketat bagi menghalang aktiviti rasuah dan menangani kes rasuah dengan tegas.
Tidak lupa juga bagi masyarakat umum untuk melaporkan kepada pihak berwajib jika menerima tawaran daripada mana-mana pihak.
Selain itu, negara kita perlu membangunkan sistem pengawasan yang kukuh dan berkesan untuk memastikan integriti dan kejujuran dalam pentadbiran awam dan sektor swasta. Masyarakat juga perlu dididik dan disedarkan akan bahaya rasuah dan tanggungjawab mereka untuk memastikan integriti dan kejujuran dalam kehidupan harian.
Dalam usaha memerangi rasuah, semua pihak perlu bekerjasama dan berusaha keras untuk memastikan negara terus maju dalam pembangunan yang berasaskan keadilan, kejujuran dan integriti. Rasuah bukan hanya satu masalah bagi sesebuah negara, ia juga menjadi ancaman terhadap kestabilan dan kesejahteraan masyarakat. Oleh itu, kita perlu mengambil tindakan untuk membasmi amalan rasuah agar negara dapat mencapai kemajuan dan kejayaan yang sebenar-benarnya. – UTUSAN
PENULIS ialah peguam litigasi sivil yang beramal di Kuala Lumpur.











