KETIKA kerjasama pertahanan AUKUS di antara Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Australia diumumkan pada September 2021, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melahirkan kegusaran Malaysia kerana berkemungkinan pakatan tersebut akan mencetuskan perlumbaan senjata nuklear di rantau Indo Pasifik. Juga akan menyebabkan perairan Laut China Selatan lebih bergolak.
Kebimbangan Ismail Sabri itu ada dalilnya kerana AUKUS membolehkan Canberra menerima perpindahan teknologi nuklear dari AS dan UK yang bakal digunakan dalam pembangunan kapal selam Australia. Begitu jua bukan menjadi rahsia, salah satu matlamat AUKUS ialah sebagai kekangan pengaruh China di rantau Indo Pasifik. Dan Malaysia meneliti isunya melalui sudut pandang tuntutan bertindih Laut China Selatan.
Begitu jua semasa lawatan Menteri Luar Australia, Penny Wong ke Malaysia pada Jun 2022, Menteri Luar pada ketika itu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengulangi pendirian Kuala Lumpur terhadap AUKUS. Malah terkini ketika pertemuan Presiden AS Joe Biden; Perdana Menteri UK, Rishi Sunak dan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese di San Diego, AS pada 13 Mac lalu untuk memperincikan bentuk perpindahan teknologi nuklear kapal selam, Wisma Putra sehari selepas pertemuan tersebut mengeluarkan kenyataan yang khusus merujuk pertemuan tiga pemimpin tersebut bahawa pendirian Malaysia tidak berubah berkait AUKUS.
Menjadi isu kegusaran Malaysia ialah berkait Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan Deklarasi ASEAN mengenai Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN) bertaut dengan kapal selam berkuasa nuklear yang bakal merentasi perairan negara-negara ASEAN.
Begitu jua dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS) yang selama ini dipegang oleh Kuala Lumpur dalam isu tuntutan bertindih perairan Laut China Selatan dengan Vietnam, Brunei, Filipina dan juga China. Kuala Lumpur amat khuatir AUKUS bakal merobek ketiga-tiga konvensyen tersebut.
Memang tidak dinafikan kebimbangan Wisma Putra itu ada asasnya tetapi hakikatnya ialah kapal selam yang bakal dibangunkan itu hanya berkuasa nuklear dan tidak mempunyai kemampuan senjata nuklear dan berkemungkinan tidak bertentangan dengan hasrat SEANWFZ. Tetapi hakikatnya jua adalah konsep SEANWFZ mungkin sering dicerobohi terutama sekali di Selat Melaka dan Laut China Selatan oleh negara yang mempunyai kapal selam senjata nuklear seperti AS, UK China dan juga India.
Begitu jua dengan kemurniaan ZOPFAN dan UNCLOS sering diingkari terutama sekali dalam hal tuntutan bertindih Laut China Selatan. Tidak menjadi isu besar Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia yang bertindih dengan EEZ Vietnam, Brunei dan Filipina. Tetapi pertindihan dengan tuntutan yang digelar Nine Dash Line China ini yang menimbulkan kerumitan yang amat besar.
Khamis lalu, timbul dakwaan oleh Beijing bahawa mereka telah mengusir kapal perang milik AS, USS Milius yang dituduh menceroboh perairan Kepulauan Paracel di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian tuntutan bertindih di antara China dan Filipina. Walaupun perairan ini masih belum ditentukan siapa miliknya, Beijing melalui konsep Nine Dash Line mendakwa itu adalah milik mereka. Sementara AS pula menafikan hak milik China dengan melaksanakan program kebebasan pelayaran (freedom of navigation) tentera laut AS di kawasan pertikaian tersebut.
Walaupun Malaysia tidak terkait dengan tuntutan Kepulauan Paracel tetapi gugusan berdekatan iaitu Kepulauan Spratly dan ini termasuk Pulau Layang Layang, isunya adalah serupa. Berlandaskan pertembungan terkini di Kepulauan Paracel, mungkin jua Wisma Putra perlu memikirkan kembali dasar berkait AUKUS. Bukannya Kuala Lumpur nak menuruti dasar Singapura dan Manila yang menerima kehadiran AUKUS dengan positif, tetapi memikirkan keutuhan kedaulatan negara pada masa hadapan. – UTUSAN
PENULIS ialah geostrategis dan Felow Kanan Akademi Nusantara (NASR).










