CHINA, sebuah negara yang tidak pernah sepi dengan pelbagai kontroversi dan konflik antarabangsa. Tidak perlu lagi kita kupas satu persatu, Uncle Sam dan konco-konconya di Barat akan sentiasa menjual berita dan kisah yang mencoret citra wajah China. Kita yang Muslim ini pun sudah lali sangat dengan cara Amerika Syarikat (AS) dan sekutu Baratnya.
Buatlah cerita apa pun, namun dari sudut sejarah, dunia terutama AS dan Barat sama sekali tidak dapat menafikan sumbangan besar negara ketiga terbesar ini dalam pelbagai aspek. Antaranya, empat ciptaan terhebat China yang memberi manfaat kepada umat manusia sejagat sehingga ke hari ini.
Pertama, kompas. Orang-orang Cina sewaktu zaman Dinasti Han menggunakan sejenis magnet utara-selatan berbentuk mangkuk sebagai ramalan. Namun, pada ketika itu ia masih belum digunakan sebagai pandu arah atau navigasi. Alat ini juga menyerupai bentuk sudu dan apabila diletakkan di atas pinggan di atas tanah, lalu pemegangnya menghala ke arah selatan.
Penciptaan hebat China yang kedua ialah mesin cetak. Terinspirasi daripada cop tulisan nama, lalu orang-orang Cina mencipta mesin cetak kekal pada sekitar 600 AD (tahun Masihi) sewaktu China di bawah pemerintahan Emperor Ren Zong. Bi Sheng, penukang dan jurutera beretnik Cina telah mencipta mesin cetak bergerak yang boleh kembali digunakan semula dengan tanah liat. Mesin tersebut berjaya mencetak buku-buku tertentu dan boleh digunakan semula untuk mencetak buku-buku lainnya.
Ketiga, pembuatan kertas. Pada 105 AD, Cai Lun yang hidup di zaman Dinasti Han mencipta kertas daripada jala ikan, kain dan kulit kayu terpakai. Bahan-bahan ini menjadi pilihan dan digunakan kerana ia tidak memakan kos yang mahal. Oleh itu, jumlah kertas yang lebih besar dapat dihasilkan. Teknik dan kaedah pembuatannya dieksport ke Korea pada 384 AD. Dari situ, kaedah pembuatan kertas tersebar ke Jepun menerusi seorang sami Korea. Sejak itu, kaedah pembuatan kertas cai lun ini berkembang di semua tempat.
SERBUK PISTOL
Penciptaan hebat China yang keempat ialah serbuk pistol. Menerusi catatan Tao, penciptaan serbuk pistol oleh ahli kimia China sebenarnya berlaku secara tidak sengaja menerusi eksperimen perubatan. Ilmu tentang pembuatan serbuk peluru ini tersebar luas ke Eropah dan Asia adalah disebabkan penaklukan Mongol pada abad ke-13. Permintaan pembuatan serbuk pistol bagi kegunaan ketenteraan kali pertama dicipta sekitar 1000 AD sementara formula kimia terawal serbuk pistol pula muncul pada abad ke-11.
Timbul persoalan, mengapakah penciptaan-penciptaan ini menjadi keutamaan kepada China sejak kebelakangan ini? Semuanya berbalik kepada tinjauan 20 orang pelajar pengajian luar negara di Universiti Beijing pada 2017 berkenaan teknologi ciptaan China yang paling ingin dibawa pulang ke negara asal oleh para pelajar tersebut.
Menerusi tinjauan tersebut, ciptaan-ciptaan utama yang menjadi pilihan mereka ialah kereta api laju, pembayaran dalam talian, basikal kongsi dan e-dagang. Keputusan tinjauan tersebut terus disensasikan media-media China sebagai empat penciptaan terbaharu yang hebat.
Berbangga kepada penciptaan daripada hasil tangan mereka adalah sesuatu yang sangat penting kepada China terutama dalam mendapatkan hormat baik daripada rakan mereka mahupun pesaing-pesaing.
Antara faktor mengapa saya kongsikan kejayaan-kejayaan China ini ialah untuk menyedarkan pada anak bangsa kita bahawa banyak kemajuan, pembaharuan dan penerokaan di dunia ini yang memudahkan urusan umat manusia sejagat datangnya daripada orang-orang Asia. Oleh itu, kita sebagai bangsa Asia seharusnya tahu di mana letaknya kehebatan dan kebolehan kita. Jangan lagi melihat orang putih sebagai satu-satunya bangsa yang hebat dan diagungkan.
Bangsa Cina kini sedang membina negara dengan mengembalikan kegemilangan sejarah lampau mereka. Mereka jadikan nenek moyang mereka sebagai contoh teladan untuk bergerak lebih jauh.
Bagaimana pula dengan kita? Apakah penciptaan tempatan yang kita boleh banggakan? Adakah kita hanya sekadar ingin menceritakan tentang zaman kegemilangan Melaka sebagai kisah-kisah untuk para pelajar di sekolah dan kajian sejarah semata-mata? Bukankah realitinya kita pada hari ini sudah tidak lagi seperti Empayar Melaka?
Mengapa tidak kita cuba usahakan sesuatu untuk menjadi hebat seperti Empayar Melaka? Belajarlah daripada sejarah dan ulangi sejarah tersebut. – UTUSAN
PENULIS ialah Pegawai Khas Ahli Parlimen Machang.










