KERAJAAN perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditunjangi oleh Pakatan Harapan (PH) dengan dukungan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti lain. Sebagai tunjang, PKR diketuai Anwar sebagai Presidennya mempunyai teras tersendiri yang diserap khususnya perjuangan reformasi merangkap Malaysia Madani.
Perjuangan reformasi PKR ini terangkum dalam Deklarasi Permatang Pauh yang dilafazkan Anwar pada 12 September 1998 dengan bertolak daripada penegasan ayat 88 surah Hud berbunyi: “Tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sedaya upaya kami.”
Elemen utama islah (pembaikian) ini pula adalah gerakan reformasi menegakkan keadilan untuk semua, yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin; membersihkan institusi dan proses undang-undang daripada dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
Dalam manifesto yang PH bentangkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), ada dicatatkan satu daripada tiga matlamat utama PH selain menjamin kesejahteraan rakyat dan mempersiap negara untuk masa hadapan adalah mewujudkan pentadbiran beramanah.
Dalam majlis Amanat Perdana Menteri: Membangun Malaysia Madani di Putrajaya pada 19 Januari lalu, soal mewujudkan pentadbiran beramanah ditekankan sebagai satu daripada empat Teras Strategik Utama Malaysia Madani.
Selaras penegasan begini, tidak hairanlah jika pada peringkat awal pemerintahannya, Anwar banyak memperuntukkan masa menyemak fail-fail kerajaan terdahulu bagi memastikan tata kelola baik dan pentadbiran beramanah dapat diwujudkan.
Seperti dinyatakan Anwar dalam ucapan penangguhan Kongres Khas PKR di Stadium Melawati, Sabtu lalu, “Anwar tak ada fikir lain, rasuah, rasuah, rasuah. Ini kerana kalau kita tidak bersihkan proses maka kebocoran dan ketirisan akan menjadi terlalu banyak.” Inilah satu sikap dan pendirian terpuji dilakukan Anwar walau dengan sesiapa sekalipun beliau bekerjasama, tidak sedikit pun bertolak ansur dalam soal teras seperti penegakan hukum negara, pembanterasan rasuah serta pembelaan nasib rakyat.
Malang sekali bila ada pemimpin tertinggi parti lain yang boleh menyifatkan tekad bagi mewujudkan tata kelola baik dan pentadbiran beramanah ini sebagai pesta kezaliman, kononnya mengheret kalangan mereka yang dianggap lawan ke mahkamah secara terpilih. Lebih teruk lagi, pemimpin ini boleh membawa hujah dan naratif salah mengenai Islam, kononnya Islam menggalakkan penyelesaian secara damai tanpa melalui prosedur mahkamah yang terdapat banyak syarat dan adabnya supaya tidak terdedah kepada berlakunya kezaliman.
Ada pula tokoh media yang membayangkan seolah-olah Anwar adalah seorang pendendam dengan menyebut, “Perdana Menteri nampak macam masih terperangkap dalam lipatan masa dengan beban masa lampau, bergaduh sana sini dengan bayang-bayang sendiri.”
BOBROK
Kesemua tuduhan ini amat tidak wajar kerana salah laku dan penyelewengan walau dilakukan oleh sesiapa dan pada bila-bila masa sekalipun, sudah semestinya perlu disiasat bagi membolehkan sistem bobrok dan usang dibetulkan dan negara dapat bergerak ke hadapan.
Apakah salah laku dan penyelewengan boleh diselesaikan secara damai? Di mana letaknya prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang serta prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban jika salah laku dan penyelewengan tidak mahu dibawa ke mahkamah?
Meneliti segala kenyataan Anwar sejak menjadi Perdana Menteri, tidak ada salah laku dan penyelewengan yang terlepas daripada pandangan beliau, sekali gus menafikan dakwaan bahawa tindakan penyiasatan dan pendakwaan dibuat secara terpilih demi melunaskan dendam.
Niat murni Anwar juga hanyalah satu, iaitu membetulkan kesilapan-kesilapan ini sekali gus menyelamatkan dana rakyat daripada kebocoran dan ketirisan untuk dipulangkan balik kepada rakyat, bukannya memalukan atau mencalarkan imej musuh-musuh politik beliau.
Malah Anwar sendiri menegaskan dalam Kongres Khas PKR bahawa beliau telah mengarahkan badan-badan penguatkuasaan undang-undang supaya siapa sahaja yang ‘sakau’ (rasuah), tangkap dan penjarakan walaupun mereka dari pihak kerajaan sendiri.
Dalam isu Pandora Papers yang mendedahkan beberapa bekas pemimpin negara menyimpan kekayaan di syarikat luar pesisir di luar negara contohnya, Anwar menegaskan di Parlimen pada 21 Februari lalu bahawa kerajaan memberi jaminan akan menyelesaikannya.
Dalam isu projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa), Anwar tegaskan di Parlimen pada 9 Mac lalu bahawa ia tidak dibatalkan tetapi dirunding semula, selain siasatan juga dibuat tanpa mengira Jana Wibawa Fasa 1 atau Fasa 2.
Begitu juga siasatan berhubung isu pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) yang Anwar tegaskan di Parlimen pada 15 Mac lalu bahawa siasatan ke atasnya mesti diteruskan kerana pendakwaan peringkat awal sebelum ini tidak mencukupi sedangkan ia skandal berskala besar.
Daripada kesilapan lalu beginilah maka Anwar mencadangkan proses tender tanpa nama dilaksanakan oleh kerajaan pada masa depan bagi memastikan segala keputusan dibuat secara telus berdasarkan kemampuan, rekod keupayaan serta keupayaan kewangan syarikat terlibat.
Kesemua ini adalah perkara besar mesti dilakukan jika kita mahu melihat negara dapat dibawa menuju hala tuju betul dan semoga Anwar cekal dan tabah melaksanakan islah ini walaupun ditentang pihak-pihak tertentu kerana rakyat terbanyak berada di belakang beliau.
Kita patut teruja bila Anwar menyatakan tidak gentar dan tidak akan berundur walaupun berhadapan ancaman pihak tertentu yang mahu menggugat kepimpinan beliau ekoran ketegasannya ini. – UTUSAN
Dr. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia.











