Ubah Kampung Baru jadi Dunia Melayu di ibu negara

Ubah Kampung Baru jadi Dunia Melayu di ibu negara

SUNGAI KLANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA Lumpur adalah salah satu kota yang paling banyak dikunjungi pelancong dari seluruh dunia. Ia sebuah bandar raya bercirikan kepelbagaian kaum dan beragam kebudayaan.
Komuniti masyarakat Cina bertumpu di Chinatown di Jalan Petaling manakala masyarakat India banyak menempati Little India di Brickfields. Sejak awal pembukaan Kuala Lumpur, penempatan masyarakat Melayu adalah di Kampung Baru.

Penempatan-penempatan ini dihubungkan dengan jaringan transit aliran massa (MRT) dan transit aliran ringan (LRT) yang baik. Chinatown dilingkari jaringan pengangkutan awam menerusi stesen-stesen di Masjid Jamek dan Pasar Seni, manakala Little India terletak berdekatan KL Sentral, pusat bersepadunya sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur.

Kampung Baru memiliki satu stesen LRT dan stesen MRT yang akan beroperasi Mac ini. Namun, jika dibanding Chinatown dan Little India, Kampung Baru kurang terserlah sebagai kawasan tumpuan pelancong.

Baru-baru ini, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim memberi cadangan untuk mewujudkan Dunia Melayu di Kuala Lumpur bagi mengetengahkan kekayaan budaya dan warisan masyarakat Melayu.

Cadangan ini memang menarik tetapi harus diingat, Kuala Lumpur sudah pun memilikinya selama ini.

Kampung Baru memiliki potensi besar untuk menjadi tarikan pelancongan yang hebat seperti Pusat Kebudayaan Melayu di Kampong Gelam, Singapura. Ia terletak di lokasi yang strategik, dihubungkan dengan Jambatan Saloma yang sememangnya bergemerlapan pada waktu malam berdekatan Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru.

Bazar makanan di Jalan Raja Muda Musa di Kampung Baru terletak tidak jauh dari stesen LRT. Ia adalah syurga bagi pencinta makanan Melayu dan tempatan.

Lagi pula, terdapat beberapa rumah kampung yang bercirikan seni bina Melayu bertebaran di sekitar Kampung Baru. Daripada membangunkan Dunia Melayu yang baharu, kerajaan sepatutnya melonjakkan lagi potensi Kampung Baru dengan memperindah dan memulihara sepertimana kerajaan negeri Melaka telah berhasil memberikan wajah baharu kepada Kampung Morten. Kampung Morten kini adalah pusat tumpuan pelancong yang tiada taranya di Melaka yang mengetengahkan budaya dan seni warisan Melayu.

Kerajaan telah memiliki peluang untuk mengangkat seni bina Melayu dan tempatan ketika Putrajaya dibangunkan. Namun, peluang ini tidak digunakan secara sepenuhnya apabila kebanyakan bangunan di Putrajaya pada hari ini lebih mempamerkan seni bina berteraskan Timur Tengah.

Sekiranya budaya Thai dapat dihayati apabila seseorang pelancong berkunjung ke Bangkok, kebudayaan Melayu mesti diberikan keutamaan sebagai produk pelancongan di Kuala Lumpur tanpa mengetepikan budaya kaum-kaum lain.

Cadangan Rais sangat tepat pada waktunya. Teladan dan pengajaran perlu diambil daripada apa yang berlaku di Kampung Abdullah Hukum yang dibangunkan semula dan kini hanya sekadar penempatan dengan gedung-gedung tinggi yang hilang nilai sejarahnya. Kampung Abdullah Hukum adalah penempatan berusia 200 tahun di Kuala Lumpur yang dipadamkan daripada sejarah yang kini lebih dikenali sebagai KL-Eco City.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mesti memastikan perkara sama tidak berlaku ke atas Kampung Baru. Ia patut dipelihara, dipulihara dan dinaik taraf agar pelancong dan rakyat tempatan dapat menyelami dan menghargai keindahan budaya warisan Melayu.

Kampung Baru seharusnya dijadikan Dunia Melayu di Kuala Lumpur. – UTUSAN

DR. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Felow Penyelidik di Institut Hal Ehwal Antarabangsa & Diplomasi Asia (AIIAD), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN