‘Serlahkan kembali tudung merah Wanita’

‘Serlahkan kembali tudung merah Wanita’

SHAHRIZAT ABDUL JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

TIADA istilah ‘kekuatan yang dipinjam’ untuk menang pada pemilihan UMNO kali ini dengan mana-mana calon bertanding termasuk jawatan Ketua Wanita perlulah mempunyai satu matlamat, iaitu memperkukuhkan dan mengembalikan kekuatan parti itu sendiri.

Demikian tegas calon Ketua Wanita UMNO, TAN SRI SHAHRIZAT ABDUL JALIL ketika ditanya tujuan membuat kemunculan semula dalam pentas politik dengan bertanding dalam pemilihan parti, bulan depan. Pada 2018, beliau membuat keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan yang pernah disandangnya sebelum ini.

Ikuti temu bual beliau bersama wartawan Utusan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR dan ASLINDA NASIR bersama jurufoto, MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI dan juruvideo, MOHD. FIKRI FADIL, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

UTUSAN: Bertanding sebagai Ketua Wanita UMNO, hasrat peribadi atau parti?
SHAHRIZAT: Kalau nak bertanding mana-mana jawatan, seseorang mesti ada sebabnya. Pertama, setelah tiga tahun saya memberi tampuk kepimpinan, saya tidak kacau sesiapa dan hanya tumpukan perhatian kepada keluarga dan kawan-kawan. Saya gunakan masa untuk tingkatkan ibadah. Tapi apabila dalam setahun lalu, Wanita mula minta, datang ke rumah. Saya ibarat kakak mereka, jadi setelah mereka pujuk, saya pun kata okeylah, come. Dalam masa itu, mereka pujuk saya untuk kembali ke persada politik kerana waktu sekarang agak mencabar.

Kita sendiri mesti rela dan mesti tahu kenapa nak kembali dan tawar diri untuk mana-mana jawatan.

Ada yang melihat Tan Sri merupakan ‘angkara’ lemahnya Wanita UMNO setelah sayap itu ditinggalkan. Komen?
Saya tidak pernah tinggal Wanita dan tidak pernah tinggalkan UMNO. Saya hanya keluar dari kelompok biasa dan memerhati senario politik dari lensa lain. Kita mesti ada keberanian untuk meninjau apa berlaku pada UMNO secara kritikal.

UMNO suatu ketika dahulu begitu hebat, UMNO jadi harapan seluruhya, tetapi sekarang tidak begitu. Bila saya sudah faham di mana kelemahan, kita perbaiki dan saya memahami peranan Wanita dalam senario politik kini yang sangat mencabar.

Kalau Wanita kuat, kuatlah UMNO. Kalau lemah, lemahlah UMNO. Kalau Wanita bela bangsa rakyat, maka kita akan dapat sokongan rakyat. Wanita itu barisan hadapan dalam mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO, dan tidak boleh berundur senyap ketika parti memerlukan Wanita.

Maknanya Wanita UMNO sekarang lemah?
Saya tidak boleh buat andaian kerana tiap-tiap pemimpin ada cara tersendiri. Jadi, saya perlu adil dan hal ini perlu tanya Wanita. Setiap pemimpin ada kelebihan dan kekurangan, paling mustahak adalah landskap politik.

Seorang pemimpin itu mesti membawa Wanita menjadi game changer yang penting. Saya yakin sebab saya sudah berpuluh tahun dalam UMNO, bermula dari cawangan. Tiada parti yang mempunyai semangat lebih kuat daripada Wanita dan pemimpin parti kena gilap semangat mereka dan lengkapi mereka dengan ilmu dan kemahiran baharu selaras tuntutan politik masa kini.

Pemimpin perlu jadi inspirasi kepada 1.3 juta ahli UMNO. Ada 23,000 cawangan. Kalau kita tidak menjadi sumber inspirasi, ia jadi seperti sebuah kereta yang terbaik tetapi hanya simpan di dalam garaj.

Malah, tudung merah Wanita menjadi berkat. Wahai Wanita, keluarkan kembali tudung merah, keluarkan kembali suara, Wanita mesti lantang, mesti relevan dan suara tudung merah ini mesti kembali gagah perkasa. Wanita merupakan ibu terbaik bangsa, jangan takut. Wanita jangan segan silu dengan landskap yang berubah, kita kena kembalikan semangat perjuangan.

Apa luahan Wanita pada Tan Sri untuk kembali memimpin parti?
Mereka mahukan visi dan misi menentukan arah tuju, mereka perlu pemimpin yang berjalan seiringan dengan mereka dan mara ke depan. Saya suka bekerja sebagai satu pasukan sebab kalau nak berjaya dalam perjuangan, percayalah, ketua memerlukan pasukan yang mantap merangkumi semua aspek.

Wanita UMNO ketandusan pemimpin muda?
Itu tidak betul sebab ramai yang muda, mereka bijak dan langkah masuk secara tersusun. Ramai pemimpin wanita muda tawar diri untuk Exco, itu satu langkah yang baik. Dan ada yang muda jumpa saya minta nasihat. Cuma mungkin buat masa ini belum ada rintisan jalan untuk memastikan pemimpin muda dapat mengasah kemahiran mereka dan didukung untuk bertanding.

Ramai calon Wanita yang bagus-bagus. Jadi, pada saya, sistem amat mustahak, perancangan itu mustahak. Kalau kita lihat ramai Wanita bising tidak dapat jadi calon, jadi sebelum kita nak tuding jari pada sesiapa, kita kena fikir kembali apa persiapan kita sebagai Wanita, apa strategi yang telah kita atur bersama pucuk pimpinan parti.

Kepimpinan Wanita UMNO lalu tidak buat perancangan awal sebagai persediaan pilihan raya umum (PRU) akan datang?
Saya rasa tidak adil kalau buat andaian dan menilai tentang perkara ini, itu hanya pandangan saya. Tapi kalau saya jadi Ketua Wanita, ini adalah cara saya, dan cara saya sudah terbukti.

Dalam landskap politik baharu ini, pemimpin UMNO, pemimpin Wanita perlu menghadapi cabaran kerajaan perpaduan. Pemimpin wanita dalam parti-parti lain, PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) bukan calang-calang, mereka berani bawa isu wanita. Jadi, kita sebagai Wanita perlu bersedia bersama mereka. Kita tiada pilihan dan kita perlu bekerjasama dengan semua termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tan Sri mampu jadi Ketua Wanita UMNO setanding atau lebih baik daripada parti-parti lain?
Ini cabaran-cabaran kita hadapi, sesiapa jua berhasrat jadi Ketua Wanita mesti melihat hakikat itu. Masa sudah berubah. Kalau kita mahu Wanita relevan, tidak mahu ego tetapi perlu jadi game changer. Kita kena tukar cara berjuang, cara bertugas, kita kena rancang. Misalnya, cara jentera kita, cara kita berperang, kena tukar, tidak boleh cara lama.

Bersedia menyakinkan golongan muda dalam perubahan landskap politik?
Saya berasa untuk menyakinkan anak muda tiada masalah sebab dalam UMNO kita ada Pemuda dan Puteri, manakala Wanita sebagai ibu. Kita mesti gabung tenaga ketiga-tiga sayap ini. Tidak boleh silo, saya tidak minat cara ini.

Dengan itu, anak muda akan bersama dengan kita sebab dalam Wanita juga pemimpin muda menggembleng tenaga mereka. Sebenarnya, menariknya perjalanan masa depan sebab semua sudah bertukar. Jadi, kita jangan takut hendak hadapi cabaran dan lebih baik jika kita bawa perubahan itu.

Benarkah cakap-cakap bahawa ramai tidak berani mengetuai Wanita UMNO berbanding pergerakan lain sebab banyak cabaran?
Hendak jadi Ketua Wanita bukan satu cabaran kecil, bukan tempat main-main apatah lagi UMNO adalah parti keramat. Kena ada tuntutan untuk jadi ketua, ini bukan satu perkara main-main, bukan soal suka orang itu, orang ini.

Sebab itu saya cakap, hendak jadi Ketua Wanita kena ada kekuatan sendiri. Itu yang beri kekuatan pada Presiden, itu amat mustahak. Saya tidak percaya kekuatan dipinjamkan, saya kuat sebab orang itu, orang ini.

Kalau nak jadi hero atau heroin, anda kena ada kekuatan tersendiri, maka kekuatan itu sebagai hadiah kepada parti. Saya tidak percaya kekuatan dipinjamkan, mesti ada kekuataan sendiri, barulah Presiden pun hormat kita. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN