Sekatan dagangan negara lindung penghina agama - Utusan Malaysia

Sekatan dagangan negara lindung penghina agama

PROTES berterusan terhadap tindakan Rasmus Paludan membakar senaskhah al-Quran tidak dapat menyelesaikan masalah Islamofobia secara tuntas. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG pelampau sayap kanan Denmark-Sweden yang terkenal menyebarkan kebencian anti-Muslim, Rasmus Paludan telah membakar senaskhah al-Quran di hadapan kedutaan Turki di Stockholm pada 21 Januari lalu di bawah perlindungan polis Sweden.

Satu lagi insiden melibatkan mashaf al-Quran yang dikoyak oleh Edwin Wagensveld, seorang ekstremis berhaluan kanan anti-Islam telah berlaku pada 22 Januari di The Hague, Belanda.

Kedua-dua insiden tersebut bukan sahaja mendapat kecaman daripada umat Islam di seluruh dunia, malah ramai pemimpin bukan Islam turut menyatakan bantahan mereka terhadap tindakan provokatif dan Islamofobia itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tetapi hakikat yang tersembunyi ialah sebahagian besar masyarakat Eropah, termasuk banyak suara yang dominan di Sweden, telah mempertahankan tindakan-tindakan keji tersebut dengan alasan untuk menegakkan hak kebebasan berekspresi.

Di peringkat akar umbi masyarakat banyak negara majoriti Muslim, protes yang berterusan menyebarkan kecaman terhadap penjenayah tersebut tanpa menyelesaikan masalah secara tuntas.

Sesetengah pemimpin negara pula mencadangkan perlu diadakan dialog secara berkesan untuk memastikan mereka yang secara berterusan bertindak di luar batas norma kemanusiaan diberikan pencerahan tentang pelbagai salah faham yang mengakibatkan mereka melakukan tindakan kebencian terhadap Islam.

Namun hakikatnya, masyarakat dunia buntu dalam mencari kaedah penyelesaian terbaik yang dapat digunakan untuk menghentikan kebobrokan tindakan kebencian terhadap agama ini.

Apa yang berlaku ternyata merupakan pengulangan masalah kehilangan toleransi terhadap agama, xenofobia (benci orang asing), diskriminasi dan keganasan yang semakin meningkat. Jika tidak ditangani segera melalui tindakan berkesan dan bersepadu, insiden yang dianggap sesetengah pihak sebagai terpencil berisiko untuk bertukar menjadi sikap dan tindakan normal yang tersebar dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda yang semakin peka dengan isu-isu semasa melalui sifat ganas dan tidak terkawal media sosial.

Pandemik Covid-19 juga telah menyerlahkan sentimen dan tindakan Islamofobia, dan terbukti daripada lonjakan tajam dalam ucapan kebencian dan jenayah kebencian terhadap minoriti Islam, termasuk kempen fitnah yang dirancang untuk menempelkan label umat Islam sebagai penyebar virus maut.

Selain itu, gelombang pasang surut populisme, perkauman, dan ultranasionalisme menyemarakkan permusuhan terhadap Islam dan umat Islam, ketika wakil-wakil negara dan pegawai kerajaan memburuk-burukkan Islam dan umat Islam dengan mengaitkan mereka secara palsu dengan keganasan dan ekstremisme untuk kepentingan politik.

Segmen tertentu media arus perdana, badan pemikir dan ahli akademik telah muncul sebagai pengampu untuk ideologi xenofobia dan pengecualian tersebut. Platform media sosial yang tidak dikawal juga telah meningkatkan stereotaip negatif dan stigmatisasi terhadap individu dan masyarakat Islam.

Susulan kejadian penghinaan Islam yang berlaku baru-baru ini, beberapa penyataan sikap oleh para pemimpin politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan golongan agamawan telah dikeluarkan, selain demonstrasi untuk membantah kebiadaban rakyat kedua negara Eropah yang dianjurkan NGO dan parti-parti politik tempatan.

PROTES

Kerajaan juga telah memanggil duta negara berkenaan untuk menyatakan protes negara secara rasmi, namun tindakan tersebut dijangka tidak akan mencetuskan rasa kekesalan terhadap insiden yang telah mengguris hati umat Islam di seluruh dunia.

Pada hakikatnya, Malaysia sebagai salah satu negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan kini menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia (2022-2024) perlu segera memulakan dan memimpin gerakan strategik secara besar-besaran untuk menyeru penggunaan Resolusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRC) 16/18 yang terkenal bertajuk “Memerangi sikap tidak bertoleransi, stereotaip negatif dan stigmatisasi, dan diskriminasi, hasutan kepada keganasan dan keganasan terhadap, orang berdasarkan agama atau kepercayaan” terhadap negara-negara yang sengaja membiarkan tindakan menghina agama berlaku di depan mata mereka tanpa sebarang tindakan diambil untuk menghentikan perbuatan seumpama itu.

Sehingga ke saat ini, Resolusi 16/18 yang pertama kali diterima pakai secara konsensus pada 24 Mac 2011, kekal sebagai dokumen unik dalam menghuraikan pelan tindakan lapan perkara yang dipersetujui secara sejagat untuk memerangi masalah sikap tidak bertoleransi terhadap agama, xenofobia, diskriminasi dan keganasan yang semakin meningkat.

Dalam konteks kedua-dua insiden yang baru berlaku ini, ternyata telah terjadi pelanggaran resolusi yang sepatutnya menjadi asas untuk tindakan lebih tegas terhadap negara-negara Eropah yang merestui tindakan anggota masyarakatnya menghina Islam melalui pembakaran dan pengoyakan kitab suci Islam.

Kejadian pembakaran al-Quran sebagai salah satu bentuk pelanggaran hak asasi manusia umat Islam memberi kita peluang untuk melihat bagaimana Resolusi 16/18 dapat berperanan dalam membendung sikap tidak bertoleransi agama, ketaksuban dan keganasan.

Dalam hal ini, Malaysia perlu secara tegas menyatakan kekesalan kepada PBB dan UNHRC kerana kelewatan bertindak menangani kelaziman sifat Islamofobia yang bersistem dan sistematik di seluruh dunia, terutamanya selepas serangan ke atas bangunan Pusat Daga­ngan Dunia (WTC) di New York, Amerika Syarikat pada 11 September 2001.

Insiden di Sweden jelas membuktikan betapa pihak berkuasa sesebuah negara yang anti-Islam itu boleh terlibat mempertahankan dan menyebarkan sikap kebencian terhadap sesuatu agama.

Malaysia juga perlu menggesa ahli dan pemerhati Majlis Hak Asasi Manusia, mekanisme hak asasi manusia PBB, masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain yang berkaitan untuk terus mengoptimumkan usaha bagi pelaksanaan penuh dan berkesan pelan tindakan 16/18.

Mungkin sudah sampai masanya untuk negara anggota PBB melalui UNHRC untuk mendesak tindakan lebih berat, termasuk sekatan dagangan pada tahap tertentu terhadap negara-negara yang tidak mengendahkan aksi rakyat mereka yang melakukan perkara menghina agama atau yang turut terlibat melindungi penjenayah tersebut daripada sebarang tindakan undang-undang.

Pada hakikatnya, hak untuk kebebasan bersuara dan pendapat bukanlah mutlak dan tidak juga memberi lesen kepada sesiapa pun untuk sengaja memprovokasi dan menyakiti sentimen berbilion-bilion umat Islam.

Dengan mengoptimumkan Resolusi 16/18, tindakan tegas dan berani dapat dilakukan demi memastikan semangat resolusi itu dapat direalisasikan secara berkesan dan menyeluruh, demi menjamin keamanan dan kesejahteraan dunia. – UTUSAN

PENULIS ialah Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×