Sebelah kaki peguam di neraka?

Sebelah kaki peguam di neraka?

TUGAS peguam adalah untuk mewakili anak guam serta membimbing mereka bagi membantu memudahkan pengurusan sistem sedia ada.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASYARAKAT sering kali mempunyai stigma terhadap kerjaya profesional sebagai peguam. Kata mereka, “Peguam sebelah kaki di syurga, sebelah lagi di neraka.” Konotasi sedemikian sekali gus meletakkan imej peguam sebagai negatif kerana dianggap bersubahat dengan pesalah laku.

Jika sejak kecil lagi sudah dimomokkan dengan pepatah sedemikian, tidak mustahil kerjaya sebagai peguam ini akan dijauhi oleh anak-anak muda yang sebenarnya mempunyai potensi hebat dalam bidang ini.

Namun, kebiasaannya masyarakat sering kali asyik membawa mulut dalam keadaan tidak mempunyai pengetahuan mendalam tentang sesuatu perkara dan cukup sekadar menilai dari permukaannya sahaja.

Hal ini berbeza sama sekali dengan mode kerjaya sebagai peguam melibatkan pembuktian serta kajian yang kritis dalam membawa sesuatu kes ke hadapan mahkamah. Bayangkan, setelah segala penelitian serta kajian dibuat dalam memperkasakan keadilan, masih layakkah peguam dipalitkan dengan kata-kata nista seperti peguam sebelah kaki di syurga, sebelah lagi di neraka?

Umum mengetahui tugas seorang peguam bela dan peguam cara bukan hanya sekadar petah berhujah di mahkamah. Namun, turut menjadi pengantara bagi sesetengah urusan di luar mahkamah dalam pelbagai sektor. Secara amnya, tugas peguam adalah untuk mewakili anak guam serta membimbing mereka bagi membantu memudahkan pengurusan sistem sedia ada.

Seorang peguam yang terlatih tidak akan dengan semberono membawa kes tanpa persiapan sewajarnya. Di sini, peguam dilihat sebagai seorang individu yang memainkan peranan penting bagi mengumpulkan bukti-bukti serta keterangan untuk dikemukakan di mahkamah. Ketangkasan berfikir dan berhujah merupakan skil peguam yang berharga dan mampu menyelamatkan nyawa insan tidak bersalah.

Mungkin kerjaya sebagai peguam dianggap menempah rumah di neraka, namun selagi mana hak anak guam untuk diwakili serta diberi pembelaan diutamakan, peguam tersebut telah melaksanakan tanggungjawab sewajarnya. Harus diingat, tugas peguam bukanlah untuk mengadili sesuatu perkara, sebaliknya menjadi pemudah cara dalam membantu mahkamah membuat sesuatu keputusan. Tanpa bantuan dan bimbingan peguam, urusan anak guam akan menjadi sulit dan ia bakal memprejudiskan masa depan kes tersebut.

DALIL

Tambahan pula, tiada sebarang dalil yang mengemukakan perihal peguam sebelah kaki di syurga dan sebelah lagi di neraka. Namun, terdapat hadis yang paling hampir maknanya sebagaimana dimaksudkan.

“Para kadi terbahagi kepada tiga golongan, satu dalam syurga dan dua dalam neraka. Kadi di dalam syurga ialah yang mengetahui kebenaran lalu menghukum dengannya. Kadi mengetahui kebenaran lalu menzalimi dalam menghukum maka dia dalam neraka. Kadi yang menghukum antara manusia dalam keadaan jahil pula, dia juga dalam neraka.” (Riwayat Abu Daud 3573)

Syeikh Syuaib al-Arnaouth menghukum hadis ini sebagai sahih dengan syawahid dan jalurnya. Hadis tersebut memperingatkan tentang tanggungjawab seorang kadi, iaitu hakim dalam memainkan peranan ketika menghakimi sesuatu perkara. Seorang hakim juga akan memberi peluang kepada orang kena tuduh dalam situasi kes jenayah untuk membela diri apabila terdapat bukti-bukti. Peguam kemudiannya akan memainkan peranan bagi mengemukakan bukti-bukti bagi pihak anak guamnya.

Malangnya dalam kita menghuraikan peranan-peranan para peguam, tidak dapat dinafikan terdapat segelintir peguam yang menyalahgunakan kuasa bertopikan bidang profesionalnya bagi kepentingan peribadi.

Sebahagiannya menyalahi hukum etika peguam yang termaktub dalam Akta Profesion Undang-undang 1976. Perbuatan segelintir peguam yang tidak beretika ini boleh mengakibatkan kesan besar kepada profesion elit ini kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga.

Di sini kita dapat lihat besarnya peranan seorang peguam bela dan peguam cara menyusun atur strategi untuk membantu masyarakat mencapai keadilan. Seorang peguam bukan sahaja perlu mempersiapkan diri dengan segala ilmu undang-undang terkini, malah perlu bersifat adil dalam mentafsir undang-undang sedia ada. Bidang guaman ini bukanlah untuk semua orang, ia hanya untuk mereka yang berani mengambil risiko dan tidak gentar menerima cemuhan masyarakat.

Malah, kerjaya sebagai peguam juga tidaklah gah seperti yang sering dipertontonkan di kaca televisyen. Selain menguruskan hartanah, wasiat dan syarikat, memelihara amanah dalam menjaga nyawa anak guam juga adalah salah satu tanggungjawab besar perlu dipikul oleh peguam sebaiknya. Pengurusan hal-hal sebegini tidak dramatik dan jarang dipersembahkan untuk tontonan orang awam meskipun menjadi lumrah kerja seharian seorang peguam. Tanpa sorakan dan pujian, kerja rumit perlu disempurnakan meskipun tidak disulami drama untuk digosipkan. Kepercayaan anak guam perlu disemat penuh hemat dalam hati agar keadilan dapat dijunjung sebaiknya buat pihak-pihak dalam sesuatu tindakan.

Secara kesimpulannya, tetapkanlah hati dalam memelihara etika dalam apa jua pekerjaan yang diceburi. Dengan tanggungjawab dan amanah yang diberikan, jadikan hidup berpandukan jalan menuju syurga Yang Maha Esa. Kerana syurga itu bukan percuma dan neraka itu tidaklah terhad buat golongan peguam sahaja. – UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Biro Undang-Undang Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ); dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×