MUKADIMAH
PADA sidang akhbar Jumaat lalu, sebab utama beberapa ketua dan naib ketua Pemuda bahagian menyokong DATUK HASMUNI HASSAN untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda di peringkat pusat adalah kerana pergerakan itu memerlukan seorang pemimpin yang matang dan dekat di hati ahli-ahli.
Penyandang Setiausaha Pemuda UMNO yang juga Ketua Pemuda UMNO Kubang Pasu ini yang lebih mesra disapa Tok Muni selalu bergerak, sangat aktif dan mempunyai kegigihan untuk meletakkan Pemuda di landasan sebenar.
Walaupun disifatkan individu paling layak untuk jawatan itu, lulusan sarjana muda pengurusan perniagaan dalam sesi soal jawab yang turut diikuti wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM, Hasmuni bersikap merendah diri dengan menyatakan mahu memantapkan kembali Pemuda dan meneruskan semangat terus bangkit.
UTUSAN: Nampaknya Datuk mempunyai pasukan sendiri untuk bertanding pada pemilihan Pergerakan Pemuda UMNO kali ini?
HASMUNI: Ya, selain ingin menawarkan diri bagi bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bagi penggal akan datang, di sini ingin saya perkenalkan rakan-rakan saya yang akan bertanding secara sepasukan.
Insya-Allah, jika diizinkan oleh Allah yang akan bertanding dan juga yang akan dilantik. Bagi calon naib ketua ialah Hairi Mad Shah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin.
Yang akan dilantik sebagai Setiausaha ialah Dr. Muhamad Akmal Saleh (ADUN Merlimau) dan jawatan Bendahari ialah Mohd. Naim Mokhtar (Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan).
Bagi jawatan Ketua Penerangan pula bagi penggal akan datang, insya-Allah, Mohd. Sollehin Mohamad Tajie (Ketua Pemuda UMNO Bukit Gantang) akan dilantik.
Saya juga memohon dengan rendah diri untuk merayu sokongan daripada para perwakilan Pemuda di peringkat bahagian-bahagian bagi kami meneruskan legasi perjuangan kepada agama, bangsa dan negara.
Apa visi dan misi pasukan Datuk untuk pemilihan kali ini?
Fokus saya dan pasukan saya yang utama adalah untuk menang pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti dan memastikan sokongan anak-anak muda kembali kepada UMNO dan juga Barisan Nasional (BN).
Pasukan menampilkan wakil-wakil dan calon-calon yang berumur 40 tahun ke bawah. Hairi dan Muhamad Akmal termasuk barisan pegawai yang lain adalah berumur 40 tahun ke bawah.
Ini termasuk exco-exco (bertanding merebut 20 jawatan exco) yang akan menawarkan diri, calon-calon nanti berumur 40 tahun ke bawah. (Secara keseluruhan) kebanyakannya berumur 20 ke 30 tahun, insya-Allah.
Gerak kerja untuk menarik pengundi muda, adakah ia masih di tahap sama atau diperbaharui?
Tidak menang lagi (belum boleh umum). Insya-Allah lepas menang, kita akan rangka strategi untuk memastikan sokongan anak-anak muda kembali kepada UMNO dan juga BN.
Bagaimana Datuk memilih pasukan? Kenapa tiada nama anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd. Nazifuddin yang telah menyatakan hasrat bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda?
Saya melihat semangat bangkit kembali yang mereka tonjolkan semasa penggal yang lepas, maksudnya penggal ini. Mereka ini bersungguh-sungguh untuk memastikan UMNO kembali berada di persada yang sebenar.
Mungkin ada pihak berpandangan pasukan ini adalah pro kepada Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atau kumpuan tertentu?
Pasukan ini adalah yang mempunyai semangat bangkit kembali yang dibawa selepas kita kalah PRU14 setelah Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengambil alih Pemuda UMNO.
Pasukan ini juga membawa semangat bangkit kembali dan akan meneruskan dengan satu semangat terus bangkit. Jadi, kita tidak pro mana-mana kepimpinan.
Apa komen saingan daripada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Armand Azha Abu Hanifah yang telah menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda?
Saya menghormati calon-calon lain. Ini adalah demokrasi di dalam UMNO. Mereka yang cukup syarat boleh menawarkan diri. Siapa sahaja yang cukup syarat boleh mebawarkan diri bertanding sebarang jawatan.
Adakah politik wang akan kembali semula ketika pemilihan kali ini?
Tiada. – UTUSAN










