Politik bukan soal betul salah, tapi ‘naik turun’... - Utusan Malaysia

Politik bukan soal betul salah, tapi ‘naik turun’…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAHABAT saya mengeluh di satu grup WhatsApp kelmarin. Tapi keluhannya bukan kaleng-kaleng. Dititipkannya:

“Sudah punah minda Melayu. Hari-hari pagi lagi jutaan keluar gi kerja dan balik lewat petang kerana nak dapat PENDAPATAN. Hari-hari pendapatan dibelanja untuk dapat barangan dan perkhidmatan.

“Tapi bila celik pagi saya tengok HP ribu mesej wasap.Tak dak cakap pasal apa patut buat nak tambah PENDAPATAN NEGARA supaya pendapatan rakyat bertambah. Tak da cakap lagu mana nak kurang INFLASI atau KOS perbelanjaan, supaya boleh SIMPAN untuk masa depan.

“Yang sibuk teruja, kutuk atau puji pemimpin politik dan parti, yang tak bawa faedah tambah pendapatan atau kurang kos sara hidup sen.

“Kalau kaji, bengong (bingung) fikir. Orang Melayu sangat ramai jadi gini. Sebelum PRU faham berkempen, tapi lepas PRU masih teruskan. Erti (nya) sudah jadi minda taksub politik. Jadi umpama makan nasi. Kena hendap cakap dan bahas politik hari-hari. Ikut perasaan, tapi logik, dosa, rugi, rosak, runtuh tak kira dan (tak ambil) kisah.”

Saya (penulis) mengamati tulisan gaya fikir orang lamanya – memandang jauh ke depan demi anak bangsa. Tapi sejenak kemudian saya pantas menyimpulkan, adakah sebahagian besar ahli politik kita memikirkan apa yang berlegar dalam pemikiran sahabat saya yang marhaen ini.

Mengamati apa yang dikeluhkannya, kelihatan terserlah politik di Malaysia rumusannya begini: Politik kita politik Melayu dalam lima tahun kebelakangan ini bukan lagi soal siapa betul, siapa yang salah. Tapi isu sebenarnya – siapa yang akan ‘naik (berkuasa) dan siapa yang terpaksa atau perlu turun’ (hilang jawatan).

PORAK-PERANDA

Sebab itu ‘porak-peranda’ jadinya politik Melayu kita ini. Mulanya barangkali tidak terfikir langsung di benak fikir yang akuan bersumpah (SD) boleh dijadikan kaedah untuk memperoleh kuasa. Seingat kita hanya berlaku lama sudah masa penyelesaian krisis politik di Perak, 2009. Begitu pun kira-kira sedekad lebih sedikit dicetuskan semula menerusi Langkah Sheraton Februari 2020.

Andai SD dan lompat parti itu bermain cepat dalam fikiran pemimpin-pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) sebaik sahaja keputusan PRU14 diumumkan tempoh hari, barangkali tidak berlaku tragedi politik Melayu seperti hari ini.

BN waktu itu pasti agresif mencari sekutu untuk mencukupkan baki hanya 33 kerusi dari 79 kerusi Parlimen yang diraihnya demi mencukupkan 112 majoriti mudah. Malangnya, belum ada garapan ‘kedinamikan’ tika itu dek kerana sasaran majoriti dua pertiga lebih ‘didambakan’ BN.

Sebenarnya, tidak terkejar dinamiknya politik Melayu hari ini. Sejak Langkah Sheraton, dengan SD dan lompat partinya habis huru-hara, jadi cacamarba politik Melayu.

Daripada hanya sebuah parti iaitu UMNO diasaskan pada 1946, berpecah keluar pemimpinnya membentuk parti serpihan bermula Pas (24 November 1951); Parti Melayu Semangat 46 (5 Mei 1989); PKR 4 April 1999 dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 9 September 2016.

Itu empat parti utama, selain UMNO yang pernah dan masih menjadi pemain utama politik tanah air. Itu belum dicampur lagi parti-parti Melayu yang kecil, antaranya Muda, Putra, Pejuang, Parti Kuasa Rakyat dan beberapa lagi.

Apakah masih ada harapan lagi untuk politik Melayu bertaut dan kembali sejahtera? Sekali gus menjadikan nanti hanya tinggal satu atau dua parti berteraskan Melayu sepertimana di Semenanjung cuma kelibat DAP, MCA dan Gerakan yang kelihatan?

Bilakah akan tiba masa penamat jawatan politik tidak lagi dijadikan lubuk mengaut dan mengumpul kekayaan? Yang teramat dibimbangi, tiada lagi natijah bagi orang Melayu diserlahkan oleh parti-parti Melayu.

Isu-isu berkaitan bahasa, kedaulatan Raja-Raja Melayu, budaya, agama dan pendidikan dikhuatiri tidak lagi diangkat sebagai isu-isu survival bangsa. Dan dipandang sepi pula keazaman untuk agihan kepentingan ekonomi sekurang-kurangnya 30 peratus yang harus dianggap hanya permulaan bagi Melayu dan bumiputera.

SUPREMACY atau keagungan pemerintahan PAP di Singapura tidak dapat dinafikan kerana pentadbirannya terasa dan dirasai hingga ke pinggan makan dan bilik tidur. – AFP

SINGAPURA

Politik moden biarpun hakikatnya memang kurang bersih namun jangan terlalu awal kita mengotorkannya dengan politik sogok untuk mendapatkan sokongan.

Singapura sekitar tahun 1969 – baru empat tahun keluar dari gagasan Malaysia setelah disisihkan daripada Malaysia – pemimpinnya dibantu sekerat dua barisan menteri sentiasa menyelitkan dalam ucapan-ucapannya soal daya saing dan daya survival.

Gesaan-gesaan perjuangannya ala sebuah masyarakat yang terhimpit. Republik itu menaruh keyakinan kepada kemampuan berfikir dan bertindak secara survival warga pulau yang serba-serbi kekurangan.

Rejimentasi masyarakat dijalankan Lee Kuan Yew dan pentadbirannya bersama social engineering yang tak putus-putus. Mesej yang disematkan ialah Singapura dengan penduduknya yang tidak sampai dua juta ketika itu bergantung kepada kuasa otak dan kerajinan warganya. Majulah Singapura yang dicipta Zubir Said itu benar-benar diamalkan.

Parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang mengamalkan dasar sosialis ketika itu cukup sederhana dalam serba-serbi bidang dan lapangan. Pemimpin tidak berlagak atau beraksi dengan pakaian atau kereta mewah.

Pakaian kemeja putih merupakan simbol mudah dan bersih. Justeru, disiplin hidup yang tinggi diutamakan. Pegawai awam yang rasuah atau yang ‘berbau’ rasuah dihadapkan dengan cara tersendiri atau pemerintah supaya diketepikan.

Rasa takut dan malu merupakan ganjaran kepada konsep kerajaan bersih yang utama. Supremacy atau keagungan pemerintahan PAP tidak dapat dinafikan kerana pemerintahannya terasa dan dirasai hingga ke pinggan makan dan bilik tidur.

Itu secebis kisah pengalaman awal waktu bertatih Singapura, yang kita semua saksikan hasil mengagumkan republik itu hari ini – dengan pelabuhan, pendapatan per kapita dan bandar termahal dunia.
Menyambut keluhan sahabat saya tadi akan ‘sudah punah minda Melayu’, jawapan saya begini:

“Yang massa Melayu ada kini itupun ‘sekelumit’ yang tinggal – kuasa politik. Dan berdikit-dikit pula disedut pihak sebelah sana. Apabila berpolitik terlampau sangat berparti, pihak di sana pula berpolitik atas nama bangsa dan tahu sasaran mereka. Perjuangan melandaskan hidup enau dalam belukar perlu diketepikan.” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN