Rukun Negara bukan bahan komedi, sindiran

Rukun Negara bukan bahan komedi, sindiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA benda boleh dibuat lawak. Ada benda boleh dijadikan bahan sindiran. Tetapi jangan sampai Rukun Negara pun hendak dijadikan bahan komedi.

Itulah yang membuatkan ramai panas hati apabila video pementasan teater yang dimuat naik di Instagram oleh ‘The Fever Kinetic Theatre’ kembali tular, dengan kandungan yang didakwa mempersendakan Rukun Negara, selain menyentuh institusi raja dan perkara sensitif berkaitan kaum serta agama.

Paling menarik, video itu bukan baharu. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan semakan awal mendapati rakaman berkenaan sebenarnya daripada sebuah pementasan pada 2018.

Lapan tahun sudah berlalu, tetapi hari ini baru ia kembali menjadi buah mulut. Begitulah dunia media sosial. Video lama boleh tiba-tiba bangun daripada ‘tidur’ dan menjadi isu nasional.

Namun, soal sebenarnya bukan video itu dibuat bila. Soalnya, mengapa Rukun Negara yang dipilih untuk dibuat bahan sendaan?

Dalam berjuta-juta perkara boleh dijadikan idea persembahan, kenapa lima prinsip yang menjadi asas kehidupan bernegara pula hendak dilawakkan?

Kita faham seni. Kita faham teater. Kita juga faham karya seni tidak semestinya perlu sentiasa sopan dan manis. Ada masanya seni perlu menyentak, menyindir dan membuat penonton berfikir.

Tetapi seni juga ada akal dan batas. Mempersendakan perkara berkaitan Perlembagaan Negara tidak seharuskan dibiarkan. Hukum tetap perlu dikenakan sebagai pengajaran kepada pelaku dan memberi pengajaran kepada mesyarakat bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

Kebebasan berkarya bukan tiket percuma untuk menyentuh apa sahaja tanpa memikirkan kesannya. Lebih-lebih lagi apabila yang disentuh itu berkaitan Rukun Negara dan perkara 3R – kaum, agama serta institusi diraja.

Ia bukan sekadar lima baris ayat yang dibaca ketika perhimpunan sekolah. Ia lahir daripada pengalaman pahit negara selepas peristiwa 13 Mei 1969 dan diisytiharkan pada 31 Ogos 1970.

Maknanya, ia bukan muncul semalam, bukan juga dicipta untuk menghiasi buku teks. Jadi, jangan pula apabila ditegur, terus menyebut ‘kebebasan seni’. Kalau betul kebebasan seni, apa pula motifnya? Yang kita nampak banyak negatif daripada positifnya.

Kalau mahu berkarya, berkaryalah. Kalau mahu mengkritik, kritiklah. Tetapi jangan anggap semua perkara boleh dijadikan bahan lawak hanya kerana ia dilakukan di atas pentas.

Setakat ini, tiga daripada lima pelakon dalam video ber­kenaan dilaporkan ditahan bagi membantu siasatan. Biarlah pihak berkuasa menjalankan tugas dan menentukan sama ada wujud kesalahan berdasarkan fakta serta bukti.

Yang penting, kita jangan pula menghukum melalui media sosial. Rukun Negara boleh dibincangkan. Boleh ditafsir. Boleh dikritik dalam ruang yang wajar. Tetapi jangan sampai asas kenegaraan sendiri dipermainkan untuk mencari gelak.

Lawak ada banyak. Takkan Rukun Negara juga yang hendak dibuat bahan? Pengajaran daripada isu ini mudah sahaja. Kalau hukumannya dibuang negara, ke mana individu ini harus pergi dan adakah yang sudi menerimanya sebagai warga?

Nor Afzan Mohamad Yusof ialah Pengarang Berita, Utusan Malaysia.

×