SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat gambaran yang sebenar dan maklumat lengkap berkaitan isu yang melanda institusi diraja negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, perkara itu telah mendorong Perdana Menteri membuat ulasan dengan menyifatkan tindakannya dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebagai biadab dan tidak bertamadun.
Menurutnya, Menteri Besar dan Exco tidak membuat keputusan untuk menurunkan atau melantik Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sebaliknya hanya membincangkan pendirian pentadbiran negeri terhadap proklamasi yang dikemukakan sebagai keputusan Undang Yang Empat.
“Saya menghormati keprihatinan Perdana Menteri terhadap institusi diraja negeri ini. Namun, saya khuatir teguran tersebut berasaskan gambaran yang tidak lengkap tentang peranan sebenar Menteri Besar dan Exco.
“Persetujuan MMKN terhadap tindakan susulan pentadbiran tidak bermaksud MMKN mengambil alih kuasa para Undang Yang Empat atau menjadi pihak yang membuat keputusan mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Seramai sembilan Exco kerajaan negeri hadir pada sidang akhbar itu kecuali Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Mohd. Faizal Ramli yang menunaikan umrah.
Sebelum ini, Anwar menyifatkan tindakan Ismail dan barisan Exco menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai biadab dan tidak bertamadun.
Perdana Menteri menegaskan, tiada mana-mana pihak dalam pentadbiran negeri mempunyai kuasa atau mandat untuk bertindak sedemikian.
Ismail mengulangi pendirian bahawa beliau dan barisan Exco tidak akan mencampuri siasatan, pertimbangan adat atau pemilihan yang terletak dalam bidang kuasa pihak-pihak yang ditentukan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Beliau berkata, segala persoalan mengenai kesahihan proklamasi, pematuhan tata cara dan kesan perlembagaannya hendaklah ditentukan menurut undang-undang tubuh serta proses undang-undang yang berkenaan.
“Kami menghormati apa-apa perintah mahkamah yang berkuat kuasa,” ujarnya.
Ismail turut mendakwa bahawa barisan Exco kini dilarang memasuki pejabat atau menjalankan tugas mereka. – UTUSAN











