MALAYSIA mengamalkan dwisistem undang-undang, iaitu sivil dan syariah. Kita boleh lihat wujudnya mahkamah sivil dan mahkamah syariah seiring dan setaraf di mata orang ramai.
Ada Hakim Mahkamah Sivil, ada Hakim Mahkamah Syariah. Ada pendakwa raya di mahkamah sivil dan ada pula pendakwa syarie di mahkamah syarie. Ada peguam cara dan peguam bela di mahkamah sivil, ada pula peguam syarie di mahkamah syariah.
Pasti ada yang keliru dengan bidang kuasa dua mahkamah ini meskipun hal ini jelas dinyatakan dalam Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan berkaitan bidang kuasa mahkamah syariah, khususnya bidang kuasa eksklusif seperti dinyatakan dalam Perkara 121 (1A) pindaan 1988.
Tulisan kali ini khusus menyentuh berkaitan etika peguam syarie yang pada dasarnya beramal atas prinsip al-wakalah bil al khusumah, iaitu membawa mandat anak guam dalam menyelesaikan pertikaian yang berlaku. Arahan Amalan No. 4 Tahun 2002, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mengandungi 54 klausa menjelaskan secara terperinci berkaitan perkara ini.
Asas utama etika adalah daripada inti pati hadis riwayat Abdullah ibn ‘Amr r.a. bermaksud: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah” bahkan dalam riwayat lain, perbuatan jijik ini diikat dengan ancaman azab neraka yang menjadi petanda ia satu dosa yang berat dan besar hinggakan al-Zahabi memasukkan rasuah antara dosa-dosa besar dalam kitabnya, al Kabair.
Bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Mawardi Che Man ada berpesan, “Jangan sangkut syarie pada jubah sahaja.” Pesanan ini ringkas, namun mempunyai maksud yang mendalam.
Syarie adalah kehidupan. Segala tingkah laku kita terkait dengan dosa pahala bermula dari saat suatu kes itu diperoleh, bagaimana ia diperoleh hinggalah apabila perintah atau penghakiman dikeluarkan.
POLISI TANPA HADIAH
Khidmat guaman syarie ini sama sifatnya dengan penyedia perkhidmatan lain, namun terikat dengan beberapa peraturan khusus bagi memelihara kredibiliti dan profesionalisme peguam syarie itu sendiri. Amalan touting atau ulat mahkamah sama sekali mencemarkan reputasi seorang peguam syarie dengan menggunakan cara yang kotor bagi mendapatkan sesuatu kes. Lebih mendukacitakan, kakitangan mahkamah sendiri menjadi perantara dalam menyalurkan kes kepada peguam syarie terpilih dengan menerima komisyen tertentu.
Polisi Tanpa Hadiah mula diperkenalkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) yang menyatakan, “Warga kerja JAKESS tidak boleh menerima atau memberi sebarang hadiah berbentuk peribadi daripada atau kepada mana-mana pihak luar yang mempunyai kepentingan atau berkaitan dengan tugas rasmi JAKESS.” Dasar ini selaras dengan Peraturan 8(1)(a) dan (b) di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 Para 12. Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 1998, terkait juga dengan Akta 165 Kanun Keseksaan (Akta 574), Seksyen 3, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).
Sayang sekali, realiti hari ini, wujud lambakan peguam syarie yang berusaha mencari kes demi kelangsungan kehidupan, namun agak sedikit gopoh dalam menubuhkan firma guaman sendiri kurang dari tiga tahun beramal. Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, untuk sesuatu firma guaman bertapak kukuh, paling minimum memerlukan tempoh tujuh hingga 10 tahun bagi membina kepercayaan dan membentuk kredibiliti. Ada pula yang enggan melaburkan masa membina kredibiliti diri.
PASARAN TERBUKA
Kesan daripada kegopohan segelintir peguam-peguam ini, mereka mula memilih cara alternatif untuk mendapatkan kes tanpa menghiraukan etika dan peraturan. Promosi sebagai pengamal undang-undang tampak murah di khalayak seperti menjual produk-produk di pasaran terbuka tanpa segan silu yang menawarkan khidmat ‘pm tepi.’
Persoalan seterusnya, bagaimana seorang peguam syarie boleh menonjolkan diri mereka tanpa melanggar etika dan mengekalkan profesionalisme? Berbalik pada perkara asas, kenapa anak guam berhajat kepada perkhidmatan guaman adalah kerana ilmu dan pengetahuan undang-undang yang mantap lagi jitu seorang peguam syarie.
Saya cadangkan dalam tempoh tiga tahun pertama selepas Latihan Dalam Kamar, peguam syarie boleh mula bekerja dengan firma-firma yang telah kukuh dahulu. Garap semua ilmu, prosedur dan kemahiran.
Kuasai cara mendraf pliding daripada kes-kes yang mudah hinggalah ke peringkat Permohonan Interlokutari yang wujud keperluan mendesak. Kuasai juga kes peringkat rayuan yang banyak berkait rapat dengan tempoh masa dan tidak kurang juga, lengkapkan diri dengan Prosedur Jenayah Syariah yang kurang peguam syarie terlibat dengannya. Dalam masa sama, ilmu pengurusan firma dan akaun juga harus diperkemaskan.
Peguam juga harus dekat dengan masyarakat. Perbanyakkan aktiviti kebajikan dan kesukarelawanan untuk masyarakat tahu dan kenal seseorang peguam syarie tanpa perlu menjual diri. Boleh juga dianjurkan program literasi undang-undang dengan kerjasama mana-mana pertubuhan dalam memberi pencerahan tentang hak masyarakat.
Tuntasnya, dengan segala usaha membina nama dan jenama ini, sebagai hamba Allah, yang Muslim tentunya kita bertawakal kepada Allah.
Semuanya bertitik tolak daripada bagaimana sesuatu kes itu diperoleh. – UTUSAN
PENULIS ialah peguam syarie yang beramal di Kuala Lumpur, Selangor & Pulau Pinang; juga aktivis Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).











