Orang agama kena sempurna

Orang agama kena sempurna

MOHD. Na’im Mokhtar (baris depan, tengah) dalam perhimpunan agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Putrajaya, baru-baru ini. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISNIN lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar melancarkan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani atau Al-Falah bermula tahun ini.

Beliau berkata, pelan berkenaan selaras juga usaha kerajaan menjayakan visi Islam Malaysia sejajar gagasan baharu dasar reformasi negara.

“Pelan gerak kerja bersama ini diterbitkan hasil beberapa proses libat urus pihak Pejabat Menteri dengan ketua-ketua dan wakil dari semua 14 agensi hal ehwal Islam,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Perhimpunan Agensi Di Bawah Menteri itu di Kompleks Islam, Putrajaya baru-baru ini.

Objektif Pelan Al-Falah ialah: Pertama, menggariskan teras-teras strategik untuk dicapai oleh 18 agensi hal ehwal Islam bagi menjayakan gagasan Malaysia Madani.

Kedua, membentuk kesatuan fikrah dan gerak kerja seluruh kepimpinan agensi dan warga kerja Hal Ehwal Agama, Jabatan Perdana Menteri dalam menjayakan pelan transformasi yang disepakati.

Ketiga, memandu penglibatan dan sokongan umat Islam dalam menjayakan visi kesejahteraan Malaysia Madani.

Al-Falah mengandungi lima teras utama, 10 fokus gerak kerja dan lima nilai yang sesuai serta praktikal dilaksanakan dalam tempoh lima tahun sehingga 2027.

Lima teras utama itu adalah Pentadbiran Islam Mampan, Kesejahteraan Insan, Kemuliaan Syariah, Kepemimpinan Berdaya Cipta dan Kehormatan Institusi Islam.

Sebelum ini pun selepas pelantikan sebagai menteri, Mohd. Na’im sudah menekankan prinsip yang diperkenalkan iaitu ilmu, integriti, ikhlas, itqan dan istiqamah dalam pertemuan dengan ketua-ketua agensi agama.

Kita mengalu-alukan sebarang usaha untuk mengislahkan ke arah membetul dan memperbaiki umat Islam di negara ini. Sememangnya jika umat Islam itu mukmin nescaya mereka juga mempamerkan akhlak terpuji. Seterusnya menjadi insan dan masyarakat yang disenangi lebih-lebih lagi dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Ia seperti mana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Islam itu tinggi dan tidak ada yang mengalahkan ketinggiannya. (Riwayat al-Baihaqi)

Orang agama atau yang berada dalam institusi agama, mereka dipandang tinggi oleh masyarakat. Pandangan masyarakat umum, para ulama, ustaz dan ustazah ini mestilah orang ‘sempurna’.

Lebih-lebih lagi terhadap golongan ustaz, ustazah selebriti dan golongan pempengaruh dalam media sosial.

Ulama dan orang agama adalah insan yang mulia kerana mereka meneruskan kerja para nabi iaitu dakwah dan mengajak manusia kembali ke jalan Allah.

Untuk itu, Allah SWT memberi kelebihan kepada orang yang berilmu dan yang tidak iaitu dengan mengangkat darjat orang yang berilmu. (al-Mujadalah: 11)

Sebab itu, penting bagi orang agama terutama penjawat awam mempamerkan akhlak terpuji semasa bertugas melayani masyarakat yang berurusan setiap hari di institusi agama.

Antaranya adalah menepati masa. Masa itu emas, kata pepatah Melayu. Dalam al-Quran, Allah ingatkan kita tentang kepentingan masa dalam surah al-Asr.

Untuk itu, diharap semasa bekerja jangan hendaknya ada yang keluar minum bukan pada waktunya. Lebih-lebih lagi bagi petugas di kaunter-kaunter hadapan yang sentiasa menjadi tumpuan masyarakat mendapatkan rundingan dan khidmat.

Mesra ketika melayan tetamu atau mereka yang datang berurusan di pejabat agama, masjid dan surau. Tidak dinafikan, adakalanya yang datang berurusan di pejabat agama tu aurat pun tidak ditutup, tetapi tegurlah dengan hikmah.

Tindakan sesetengah jabatan yang menyediakan pakaian menutup aurat sangat baik. Ini termasuk di masjid-masjid utama yang sekali gus dijadikan elemen dakwah bagi memperkenalkan Islam dan ibadat solat kepada yang bukan Islam.

Selain itu, di sebalik guna papan tanda ‘Dilarang masuk’ bolehlah digantikan dengan ‘Sila masuk jika ada urusan’.

Seterusnya empati. Letakkan diri kita dalam kedudukan pengadu yang sedang berhadapan masalah dan perlukan pertolongan. Ini tak bermakna setiap aduan terus diproses. Ia tetap akan disemak dan diteliti untuk menentukan kesahihannya.

Secara keseluruhan, golongan agama di negara kita memang berakhlak baik. Cuma ada segelintir yang terlibat dalam rasuah, salah laku dan amang seksual.

Inilah yang perlu dibendung. Kita tidak mahu sebab nila setitik rosak nama baik golongan agama.

Akhirnya, mari kita hayati kandungan surat yang pernah ditulis oleh al-Hasan al-Basri kepada Khalifah Umar Abdul Aziz yang baharu dilantik sebagai khalifah.

Surat itu antaranya mencatatkan: “Hai Amirul Mukminin! Tuhan memberi amanah kepada khalifah bagi meluruskan segala yang bengkok, membaiki segala yang rosak, menguatkan segala yang lemah, membela mereka yang teraniaya, dan menjadi penolong mereka yang terlantar.

“Hai Amirul Mukminin! Khalifah yang adil ibarat hati dalam anggota badan, jika baik nescaya baiklah anggota badan dan jika rosak, maka rosaklah anggota badan.

“Hai Amirul Mukminin! Janganlah kamu memandang pada kedudukan kamu pada hari ini, tetapi pandanglah kedudukan kamu pada hari esok ketika kamu terbelenggu dalam cengkaman maut, kemudian berdiri di hadapan Tuhan di tengah kelompok para malaikat, para nabi dan rasul”.

Kita semua adalah khalifah. Paling tidak menjadi pemimpin kepada keluarga masing-masing. Namun, sebagai insan yang lemah kita hanya mampu berusaha dan memohon bantuan Allah.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Aku hanya bertujuan memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepada-Nyalah aku kembali. (Hud: 88) – UTUSAN

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita, Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×