‘Masuk berperingkat, bukan guna kabel’

‘Masuk berperingkat, bukan guna kabel’

NURULHIDAYAH AHMAD ZAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

WALAUPUN penglibatannya dalam dunia politik masih boleh dianggap ‘muda’ dan setahun jagung, namun anak sulung Presiden UMNO, DATUK NURULHIDAYAH AHMAD ZAHID sudah bersedia berdepan apa jua cabaran dalam mengangkat serta mengembalikan zaman kegemilangan parti Melayu itu, lebih-lebih lagi asid deoksiribonukleik (DNA) pejuang sudah sebati dalam dirinya.

Hanya terlibat secara rasmi apabila berusia 45 tahun selepas beberapa kali dihalang bapa, kini beliau sudah bersedia melangkah lebih jauh dalam dunia politik selepas menawarkan diri bertanding jawatan Exco dan Ketua Wanita Bahagian Bagan Datuk dalam Pemilihan UMNO 2023-2026.

Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Nurulhidayah mempertaruhkan pengalaman dan kepakaran yang ada bukan sahaja bagi mengekal dan menarik sokongan rakyat tetapi memastikan Wanita UMNO mampu menjalin pelbagai kerjasama dalam memperkukuh kerajaan perpaduan.

UTUSAN: Pelan dan strategi dalam pemilihan?
NURULHIDAYAH: Pelan saya mudah, tak nak menjanjikan bulan dan bintang. Saya hanya mahu Wanita dilihat sebagai satu wadah perjuangan yang tidak boleh dipandang enteng atau disisihkan kerana belum ada lagi dalam sejarah pergerakan sayap ini melompat parti. Saya nak kekalkan momentum itu dan memberi semangat baharu kepada Wanita dengan apa yang ada padanya.

Saya tak kata saya hebat tetapi apa yang boleh saya tawarkan adalah kepakaran dari segi media dan media sosial. Hanya nak ada pembaharuan dalam Wanita dan mengekalkan kesetiaan Wanita dalam UMNO.

Bagaimana mahu pastikan Wanita kekal relevan dalam politik?
Sekarang ini kita kerajaan perpaduan. Untuk pastikan Wanita kekal relevan adalah apabila boleh bekerjasama dengan semua parti, bukan sekadar syok sendiri dalam parti sebab kita membawa wadah kerajaan perpaduan seperti dititah Yang di-Pertuan Agong.

Wanita perlu dilihat sehingga Hannah Yeoh (Ahli Parlimen Segambut yang juga Menteri Belia dan Sukan) dan Fadhlina Sidek (Ketua Wanita PKR yang juga Menteri Pendidikan) bekerjasama untuk memperkukuhkan kerajaan hari ini. Kita sudah tak boleh gaduh-gaduh.

Untuk itu, Wanita perlu terlihat sebagai satu kenderaan bersama parti-parti lain untuk membangunkan negara, bukan sahaja parti.

Kepimpinan sebelum ini tidak mampu lakukan?
Kita dahulu terlihat untuk memperkukuhkan parti, agenda Melayu-Islam tetapi selepas seberapa ketika, kita sudah melangkah ke zaman yang lebih moden, yang kita nampak lebih liberal. Ini tidak bermakna kita nak tinggalkan peradaban Wanita tapi rasanya kita perlu mengambil beberapa langkah ke hadapan untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak. Maksudnya, lebih terbuka untuk bekerja sama dengan orang atau pihak lain tanpa meninggalkan peradaban kita sebagai Wanita UMNO.

Calon-calon ketua Wanita mempunyai aura untuk memimpin?
Saya merasakan banyak kepimpinan Wanita yang boleh memimpin, cuma tidak pasti sama ada mereka tidak berani ataupun memilih jalan selamat.

Bagaimana Datuk melihat kemunculan semula Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang turut merebut jawatan Ketua Wanita?
Ada kelebihan dan kelemahan di situ tapi menurut pandangan peribadi saya, semua orang boleh bertanding tak kira peringkat umur dan saya percaya beliau menawarkan diri untuk memberi khidmat terbaik untuk Wanita dan UMNO keseluruhannya.

Walaupun nama beliau pernah ‘buruk’ (liabiliti ) suatu ketika dahulu?
Banyak sahaja liabiliti dalam UMNO, presiden sendiri pun mereka anggap sebagai liabiliti. Ia bergantung kepada penerimaan akar umbi dan pucuk pimpinan sedia ada sebab bagi saya, liabiliti atau tidak perlu dipandang sebagaimana kesatuan UMNO itu sendiri mahu saling melengkapi satu sama lain sebagai ketua.

Kemunculan semula Shahrizat mencerminkan Wanita ketandusan pemimpin?
Saya faham orang yang sudah biasa bekerja, berkhidmat ini, dia sentiasa nak bagi yang terbaik lagi, yang terbaik lagi dan yang terbaik lagi. Tetapi ia bergantung kepada kredibiliti beliau. Jika beliau rasa boleh, maka bertandinglah. Inikan pertandingan, tiada siapa bagus, siapa tak bagus. Siapa yang menang, dialah yang terpilih. Ini bukan petanda Wanita ketandusan pemimpin tapi beliau rasa masih boleh lagi memberi sumbangan kepada UMNO, masih relevan untuk memberi sumbangan.

Tidak takut dibayangi Abah (Ahmad Zahid)?
Bila kita lahir, kita merupakan bayi, kemudian meniarap, merangkak, bangun, bertatih. Jadi, hidup kita ini tak perlu langgar fitrah waima siapa pun, kita tetap perlu menyantuni seperti masuk dalam kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum. Kita kena pandai bawa diri.

Parti ini bukan parti bapa kita sebaliknya parti ini milik bangsa Melayu, orang Islam, parti yang dipandang sebagai parti keramat. Saya sendiri bila nak masuk (politik), saya rasa macam masuk rumah agam yang besar, perlu menyantuni dengan cara orang-orang dahulu menyantuni parti itu. Maknanya, masuk jadi ketua cawangan dahulu, kemudian ahli jawatankuasa (AJK) bahagian. Maksudnya, bertatihlah. Kalau ada rezeki Allah SWT tetapkan, mungkin kita boleh ‘laju’ tapi kalau rezeki sampai situ, sampai situ sahajalah. Yang penting kita nak berkhidmat.

Bila masuk perlu berperingkat dan berhikmah, bukan payung terjun atau guna kabel.

Apa sebenarnya peranan Wanita?
Untuk memperkukuhkan parti. Saya bayangkan UMNO sebagai keluarga. Ada emak, ada bapa. Bapa adalah Top 5, Wanita sebagai ibu. Siapa nak tengok rumah ini kalau bapanya keluar bekerja? Jadi, Wanita akan memastikan rumah ini terus kukuh, bersih dan terurus. Wanita bukan pasu bunga tetapi satu konkrit yang menguatkan struktur rumah.

Kehadiran Datuk dilihat sebagai earpiece untuk presiden. Komen?
Earpiece adalah MKT (Majlis Kerja Tertinggi) dan saya tak terlibat dalam MKT, sebab itu saya tak tanding MKT.

Abah bukan nak jadi presiden sampai umur 90 tahun. Abah sekarang 70 tahun. Insya-Allah, dalam dua penggal lagi dan ketika itu, saya sudah cukup matang untuk ke MKT.

Tetapi pemilihan kali ini saya tidak boleh dilabel earpiece kerana saya hanya bertanding exco ketua wanita bahagian.

Jika ada dakwaan kemenangan Datuk (jika menang) disebabkan anak abah?
Saya tak boleh halang mulut orang. Orang nak kata saya menang sebab abah, biarlah masa yang tentukan sama ada betul atau tidak. Saya cuma berusaha dan buat yang terbaik untuk parti melalui kerja-kerja.

Pesan Abah?
Dia tak pesan tapi tanya satu soalan, “Kak Long bersungguh-sungguh ke dalam UMNO ni? Abah tak nak kita macam hangat-hangat tahi ayam atau acah-acah begitu.”

Saya sebenarnya sudah bersedia lama tapi kali ini lebih bersedia,Saya tak pedulikan orang kata, cukuplah (restu) mak, abah, suami dan anak-anak. Itu cukup untuk buatkan saya berdiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN