MUKADIMAH
KEDUDUKAN Malaysia yang terletak di luar lingkaran api pasifik menyebabkan banyak beranggapan negara ini terselamat daripada bencana geologi termasuk gempa bumi.
Namun, kejadian yang berlaku di Turkiye dan Syria baru-baru ini sedikit sebanyak menimbulkan persoalan sama ada selamat atau tidak Malaysia daripada bencana terutama gempa bumi.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah Penyelidik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), PROF. MADYA DR. ROSLAN UMAR bagi berkongsi maklumat mengenai perkara ini.
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana kejadian gempa bumi dan angkasa lepas saling berkait rapat?
DR. ROSLAN UMAR: Cuaca matahari telah mengganggu magnetik bumi (magnetosfera) dan ionosfera yang secara tidak langsung memberi kesan kepada permukaan bumi dan dalam permukaan bumi.
Medan elektrik yang teraruh kesan daripada cuaca matahari memberi kesan kepada lapisan bawah kerak bumi sehingga berpotensi berlakunya gempa bumi.
Meskipun ada beberapa petunjuk bahawa aktiviti matahari dan cuaca angkasa dapat mempengaruhi aktiviti geologi di bumi termasuk gempa bumi, hubungan ini masih belum sepenuhnya difahami.
Setakat ini gempa bumi tetap dianggap sebagai fenomena geologi dan dipengaruhi oleh banyak faktor yang rumit dan sangat kompleks.
DIRAMAL AWAL
Bolehkah kejadian gempa bumi diramal lebih awal sekiranya kejadian itu berlaku disebabkan faktor yang berkait rapat di angkasa lepas berbanding faktor geologi?
Terdapat beberapa kajian dengan mengambil kira kesan cuaca matahari sebelum berlakunya gempa bumi untuk kajian gempa bumi prekursor (ramalan).
Dan penemuan kajian tersebut mendapati korelasi cuaca matahari dan kejadian gempa bumi boleh diambil kira selain faktor geologi .
Tetapi belum ada satu keputusan yang kukuh untuk membenarkan perkara ini. Ia memerlukan satu analisis data yang banyak dan peralatan yang lebih sensitif. Kajian ini masih aktif dilakukan sehingga hari ini.
Apa kaedah sekiranya ingin meramalkan gempa bumi lebih awal?
Perlu buat satu analisis data yang panjang. Dengan kata lain, data perlu banyak dengan peralatan yang sangat sensitif. Sekurang-kurangnya, kita mengetahui faktor mana sama ada geologi atau faktor angkasa kemudian barulah boleh buat ramalan.
Untuk di angkasa, kita gunakan satelit dan di bumi kita pakai alat magnetik. Sebagai contoh, antara data yang diambil di angkasa termasuk jumlah elektron, tekanan dinamik, kelajuan angin solar di angkasa dan ribut matahari.
Kita kemudian bandingkan data satelit tadi dengan data magnetik di permukaan bumi.
MALAYSIA TIDAK TERKECUALI
Adakah Malaysia berpotensi untuk mengalami gempa bumi?
Malaysia sememangnya berpotensi dan pernah mengalami gempa bumi pada 2018 di Ranau pada 5.2 skala richter.
Apakah perbezaan sifat gempa bumi yang disebabkan faktor geologi dan angkasa?
Mengikut ilmu geologi, gempa bumi terhasil disebabkan gerakan plat tektonik bumi manakala kehadiran gempa bumi ini mungkin juga ada kaitan dengan aktiviti matahari seperti coronal mass ejection (CME), coronal hole, solar flare, solar storm dan sebagainya.
Sebagai makluman, kajian matahari juga dilaksanakan kerana matahari ada perubahan setiap 11 tahun kerana ia mempunyai sifat aktif dan pasif. Analoginya mudah. Sebagaimana manusia yang ada kalanya demam beberapa kali dalam tempoh setahun.Begitulah juga dengan matahari.
Sebelum ini kalau tidak silap saya pada tahun 2014 pernah berlaku matahari maksimum yang bererti aktif. Berlaku pelbagai aktiviti seperti aurora. Jadi, kita lihat adakah apabila matahari aktif memberi kesan kepada bumi.
Semua proses ini lama dan kalau sekadar 10 tahun memang tidak boleh buat andaian.
Ini berdasarkan hasil kajian penyelidik dari Jepun terutamanya. Tetapi kajian masih dilakukan dan belum dapat dibuktikan dengan jelas pertalian antara dua faktor ini.
Pernahkah Malaysia mencatatkan kejadian gempa bumi yang disebabkan faktor angkasa?
Belum ada kajian ramalan gempa bumi yang mengambil kira kesan cuaca matahari di Malaysia.
Tetapi melihat kepada kajian- kajian lepas yang dijalankan secara analisis statistik di kawasan Khatulistiwa, faktor cuaca angkasa dengan kejadian gempa bumi adalah signifikan.
KUMPUL DATA
Apakah alat yang digunakan untuk mengumpulkan data magnet bumi?
Dalam kajian kaitan angkasa lepas dan gempa bumi, satu alat yang dikenali sebagai magnetometer dipasang di kebanyakan permukaan bumi bagi mengumpulkan data magnet bumi.
Projek ini dikenali sebagai MAGDAS dan telah diketuai oleh Universiti Kyushu dengan kerjasama Agengsi Angkasa Malaysia (MySA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
SMART tetap bersedia walau negara tidak pernah berlaku gempa bumi
BIARPUN tidak pernah dilanda gempa bumi, kemampuan dan kebolehan pasukan menyelamat Malaysia terbukti terutama di pentas antarabangsa.
Rekod membuktikan segalanya termasuk dalam kejadian gempa bumi di Turkiye dan Syria.
Mingguan Malaysia menemu ramah Ketua Pasukan MAS-10, ABDUL MANAF CHE ISA yang juga Penguasa Kanan Bomba bagi menceritakan pengalaman beliau dan pasukannya sepanjang misi bantuan di Turkiye.
PENGALAMAN DI TURKIYE
Bagaimana dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Turkiye dan apakah pengalaman yang tidak boleh dilupakan tim SMART Malaysia?
Penugasan pasukan SAR kita berjalan lancar dan baik. Atur gerak bermula daripada fasa pergerakan pantas SAR kemudian ke peringkat seterusnya membabitkan operasi ini dengan penggunaan peralatan khas antaranya unit pengesan, unit pemotongan, Unit Bahan Bahaya (HAZMAT) dan kemudiannya melaksanakan fasa full of coverage dengan penggunaan jentera berat seperti jentera pengorek.
Alhamdulilah segala kelengkapan aset SAR termasuk dalam aspek perubatan dan keperluan logistik mencukupi.
Bagaimanapun, antara pengalaman pada saya amat berharga yang boleh saya katakan sebagai kejayaan pasukan apabila dapat menyelamatkan lima mangsa hidup di bawah runtuhan serta berjaya mengeluarkan 47 mangsa lain di bawah runtuhan walau sudah meninggal dunia.
Ini sudah semestinya menjadi kebanggaan lain dengan kesungguhan anggota bekerja bagi membawa nama negara ke persada antarabangsa.
Paling rasa bersemangat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang datang membuat lawatan dan memberi motivasi kepada semua anggota.
Berapa anggota SMART yang terlibat secara keseluruhan?
Keanggotaan keseluruhan untuk misi di Turkiye sebanyak 140 orang termasuk dua ekor anjing pengesan. Turut serta dua pegawai Agensi Pengurusan Bencana (Nadma) sebagai penyelaras misi.
Apakah perkara penting yang dapat dipelajari daripada tim SMART sepanjang operasi dilaksanakan?
Bagi pasukan SMART selain daripada kesiapsiagaan anggota dan aset, perkara yang perlu diberi perhatian adalah persediaan menghadapi perubahan cuaca dan bekerja dalam keadaan dimana komunikasi terhad akibat kekangan bahasa.
Mujur ada bantuan pihak kedutaan Malaysia dengan menyediakan jurubahasa bagi membolehkan koordinasi bersama pihak lokaliti berjalan baik dan lancar. Kekangan keperluan bantuan logistik juga berjaya di urus tadbir baik pihak Agensi Pengurusan Kecemasan Tempatan (LEMA).
PENGALAMAN
Mungkin ada sebahagian pihak melihat SMART kurang berpengalaman kerana berasal Malaysia iaitu sebuah negara yang tidak pernah mengalami kejadian gempa bumi dan kerja penyelamatan dalam runtuhan. Apa reaksi tuan?
Walaupun negara kita tidak pernah dilanda gempa bumi tetapi pernah dikejutkan dengan tragedi Highland Tower pada 1993.
Rentetan daripada kejadian itu, Malaysia menubuhkan SMART gabungan antara Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPB) dengan terdiri pelbagai kepakaran antaranya Unit Bahan Bahaya (Hazmat), anjing pengesan (K9), kejuruteraan, perubatan dan penyelamat.
Jadi pengalaman-pengalaman di negara kita juga banyak membantu dalam aspek persediaan.
Adakah Malaysia sememangnya mempunyai kepakaran khas yang betul-betul dapat bersedia dalam kejadian runtuhan bangunan dan gempa bumi pada masa akan datang?
Kita sebenarnya mempunyai pasukan SMART iaitu pasukan khas dengan terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran khusus dalam pengurusan bencana. Malah apa yang membanggakan, kita juga mendapat pengiktirafan daripada Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarangsa (INSARAG) pada 2016 sebagai sebuah pasukan Heavy Urban Search and Rescue dan mampu melaksanakan sebarang misi SAR dengan bergerak sendiri di mana-mana negara yang dilanda bencana.
Jadi, kita sememangnya telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan lebih-lebih lagi dalam negara kita. – Mingguan Malaysia










