MUKADIMAH
SELEPAS UMNO menggantung keahlian bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), DATUK SERI TAJUDDIN ABDUL RAHMAN selama enam tahun, beliau dilihat mengambil tindakan berdiam diri. Namun, ramai pemimpin lain kemudiannya ditimpa nasib sama seperti Tajuddin.
Masing-masing cuba memikirkan strategi supaya kekal bertahan dalam dunia politik. Begitu juga dengan Tajuddin yang mengambil pendirian untuk terus kekal dengan UMNO.
Ikuti temu bual ringkas beliau bersama wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
UTUSAN: Sudah digantung selama enam tahun, apa perancangan Datuk Seri selepas ini?
TAJUDDIN: Saya takkan tinggalkan UMNO, UMNO sudah banyak jasa pada saya. Walaupun saya telah digantung UMNO, saya tetap bersama dengan UMNO untuk dapatkan kedudukan sebagai ahli yang tidak digantung.
Saya akan cari jalan supaya saya kembali menjadi ahli UMNO yang aktif. Jangankan enam tahun, enam bulan pun saya takkan tunggu (daripada dibiarkan digantung keahlian). Tetapi mungkin pada waktu itu, tindakan saya agak keras sikit. Untuk setakat ini, saya akan tunggu sampai pemilihan.
Ada berjumpa dengan mana-mana pemimpin UMNO lain yang sudah digantung mahupun dipecat?
Mereka ada mengajak, tetapi saya tidak berjumpa dengan mereka. Biarkan mereka dengan strategi masing-masing, saya akan kekal dengan UMNO.
Saya akan fight (lawan) dengan apa cara sekalipun supaya keputusan penggantungan itu ditarik balik, supaya saya dapat menjadi ahli aktif seperti biasa.
Bagaimana caranya?
Saya sudah hantar surat penolakan keputusan penggantungan yang dibuat MKT pada 12 Januari lalu. Saya menjelaskan yang keputusan itu tidak mengikut peraturan, ada kecacatan dan melanggar peraturan.
Saya kalau boleh nak selesaikan dengan cara baik. Saya sudah buat salah, saya pun sudah minta maaf. Paling kuat salah saya adalah tegur Presiden. Salahkah? Tidak salah, cuma teguran itu dikatakan salah sebab dibuat di luar mesyuarat MKT, bukan dalam mesyuarat MT, okeylah.
Datuk Seri ada memohon maaf kepada Presiden?
Sudah. Saya sudah minta maaf pada Presiden. Saya pergi ke Bagan Datuk dan salam dengan beliau. Waktu itu saya masih ketua bahagian. Pada saya, saya ada salah, dia pun ada salah, tetapi kita tidak mahu berlanjutan.
Masalahnya mungkin Presiden terpengaruh dan mendengar orang yang suka ‘mencucuk.’ Siapa yang ‘cucuk’, biasanya ada kepentingan diri, mungkin di peringkat bahagian atau di peringkat nasional.
Komen Datuk Seri mengenai pemilihan UMNO kali ini?
Kalau masih tidak berubah kepimpinan dan sayap-sayap, UMNO memang tidak boleh pergi ke mana. Masalah orang muda, apa yang Puteri dan Pemuda buat? Ada menambah ahli yang nak menyertai UMNO?
Puteri pula sekadar jadi dekorasi, bahan hiasan dan pergi ke majlis-majlis sahaja?
Pemuda pun begitu juga, cakap berdegar. Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi pun berpolitik seperti tahun 1950-an dahulu, main bola, main futsal, apa pendekatan baharu kepada golongan muda? Tidak ada. – UTUSAN










