Ikut nasihat kurangkan kalut politik - Utusan Malaysia

Ikut nasihat kurangkan kalut politik

MESEJ Anwar Ibrahim ketika Program Sambutan Hari Ponggal 2023 di Chemor, Perak, Ahad lalu ialah perlu dihentikan sengketa politik yang meresahkan rakyat berbilang kaum di negara ini. – UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA isyarat-isyarat negatif tentang persekitaran semasa dan masa depan dunia. Banyak sumber memperingatkan penghuni sejagat tentang perang dan sengketa, ekonomi yang meruncing, perihal sumber makanan yang terhad, penularan pandemik penyakit berjangkit dan pembiayaan penjagaan kesihatan yang dikhuatiri terbantut ekoran peningkatan kos serta perubahan iklim di luar jangkaan.

Jika direnung jauh, segalanya boleh meresah perasaan. Syukurlah, di Malaysia segala itu masih bertahan dan mampu dibendung. Tanah air yang awalnya dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu ini dianugerahkan tanah subur, hasil bumi yang kaya dan tadbir urus cekap berpaksikan konsensus, inklusif dan adil untuk semua.

Disokong pula oleh sikap rakyatnya yang mengutamakan perpaduan, bertoleransi dan bersederhana. Jangan remehkan hakikat ini meskipun berulang kali disebut dan diperkatakan kepada umum. Harga suasana yang dimiliki ini terlalu mahal untuk diperjudikan.

Sebenarnya, inilah hakikat yang ada di Malaysia. Masih banyak kelebihan, keistimewaan dan nikmat kesejahteraan yang berbaki. Cuma yang sering diiringi persoalan ialah sejauh mana dan selama mana suasana yang baik begini boleh terus bertahan?

Persoalan ini hanya boleh dijawab oleh para pemimpin dan pendukung politik, penjawat awam, pemimpin-pemimpin institusi, termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat umumnya.

Masih kelihatan sengketa politik yang seolah-olah sukar berkesudahan. Kemelut dalaman parti masih belum reda. Jangan katakan hanya tertumpu kepada UMNO, bahkan parti-parti lain juga lebih kurang sama. Bezanya isu dalaman UMNO terlalu terdedah kepada umum. Ramai yang mengambil kisah dan memberi tumpuan.

Pada satu sudut, mungkin kerana UMNO sebuah parti tersohor dan parti yang menjadi sandaran utama khususnya orang Melayu. Dan pada masa yang sama UMNO sebuah parti yang pernah terbukti boleh memayungi kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum di negara ini.

Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim: “Jangan resahkan rakyat, tak ada sesiapa untung bila bergaduh sesama kita”. Katanya, elak termakan hasutan pemimpin politik tertentu. Ini supaya masyarakat berbilang kaum di negara ini tidak bertelagah dan bergaduh.

Walaupun fokus ucapannya di khalayak masyarakat India ketika Program Sambutan Hari Ponggal 2023 di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Klebang, Chemor, Perak, Ahad lalu, mesej ucapannya itu boleh dilebarkan kepada konteks yang lebih jauh dan terbuka.

Bahawa semua pihak, baik di dalam kandang politik yang sama atau berlainan jenama, perlu berpadu meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai matlamat utama. Elak hanya mengutamakan kepentingan peribadi dan puak.

Mereka yang diberi mandat dan kuasa teruskan agenda merencana dan melaksanakan yang terbaik untuk rakyat dan negara. Seperti yang sering dikata, rakyat mahu rumusan berkesan, bukan disaluti pelbagai alasan. Jika semasa ketiadaan kuasa boleh menabur seribu janji, usahakan segalanya supaya boleh ditepati.

KERJASAMA

Sementara para peneraju politik yang sudah memegang kuasa, lakukan terbaik agar parti tidak dilihat sekadar di pinggiran, tetapi tegak bermaruah memacu kejayaan. Pasang surut lumrah alam. Apa yang penting ialah jujur dan keikhlasan.

Dunia sudah jauh berubah. Segala sesuatu yang berlaku mudah terpamer di depan mata umum. Tegasnya, segala gerak-geri dan kewibawaan sebenar seseorang yang bergelar pemimpin mudah diukur dan dinilai oleh masyarakat.

Meraih sokongan atas perbuatan melaga dan menghasut tidak bertahan lama. Mungkin ada kaitan seperti juga kata Perdana Menteri: “Elak hanya pemimpin yang merasa lega, tetapi rakyat dibiar merasa susah”.

Berpadulah menuju matlamat yang satu, iaitu agar rakyat dan negara berupaya melangkah maju. Malaysia tidak payah terikut-ikut dengan rentak gempita di beberapa buah negara dunia yang saban waktu mengadakan protes untuk menurunkan pemimpin, menukar kerajaan dan membuat pelbagai tuntutan. Sampai bila?

Para pelabur asing sentiasa melihat iklim politik negara, sejauh mana goyah atau stabil. Datangnya pelaburan, bermakna rakyat menumpang kesenangan. Jadi, manfaatkan segala sumber yang ada demi kemajuan. Beri peluang negara ditadbir urus tanpa banyak gangguan.

Seeloknya, gunalah konsep saling bekerjasama iaitu mengambil kira kelebihan dan keistimewaan sesiapa juga. Yakinlah, dengan menghimpunkan segala ini Malaysia menjadi kuat dan mempunyai banyak peluang untuk memacu kemajuan.

Di Malaysia terdapat ramai golongan terpelajar, profesional dan berkemahiran. Ramai cendekiawan, ilmuwan dan pakar dalam segala bidang. Sementara lebih tiga juta penduduknya berusia melebihi usia 60-tahun. Ramai dalam kalangan mereka merupakan bekas pegawai-pegawai tinggi kerajaan, mereka yang pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam kerajaan mahupun swasta.

Mereka boleh menyumbang sekurang-kurangnya idea dan pengalaman demi kebaikan bersama. Orang-orang politik boleh mendekati mereka tanpa bosan dan bimbang. Golongan veteran ini tidak berminat mencari kedudukan.

Terjemahkan rasa syukur. Ketua-ketua institusi boleh memainkan peranan untuk menceritakan perbandingan suasana di Malaysia dengan apa yang dihadapi oleh warga negara luar.

Misalnya, di sesetengah negara luar ada ketika sekolah dan pejabat terpaksa ditutup pada tempoh tertentu kerana kehabisan petrol untuk mengerakkan kenderaan, ada negara yang punca pendapatan rakyatnya tidak sampai pun RM10 sehari. Makan minum harian mereka tidak semewah di Malaysia.

Malah banyak lagi kalau mahu dibandingkan. Jadi bersyukurlah! Hargai yang ada, ketepikan yang tiada. Hidup bukan untuk menempah resah, jika resah carilah jalan menyelesai masalah. – UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×