DALAM bahasa Hokkien, cap goh bermakna lima belas dan mei pula bermakna malam. Jadi, capgome (Cap Goh Mei) bermakna malam hari ke-15 bulan pertama kalendar imlek, iaitu 15 hari selepas Tahun Baharu Cina (kelmarin). Hari itu disambut oleh masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk Malaysia dengan meriah.
Nama baku capgome ialah Pesta Yuan Xiao, juga dikenali sebagai Pesta Tanglung pada masa dahulu. Terdapat beberapa edisi yang berlainan berkenaan dengan asalnya pesta itu.
Antara cerita paling popular tercatat dalam sejarah China ialah pesta itu bermula lebih kurang 2,000 tahun lampau, iaitu sejak zaman Han Timur (tahun masihi 25-250). Dikatakan Maharaja Ming (memerintah tahun masihi 58-75) pernah menikmati pelbagai corak tanglung pada malam hari ke-15 bulan pertama kalendar imlek bersama-sama dengan maharani, dayang-dayang dan pegawai-pegawai kanan dalam istana. Aktiviti seperti ini tidak lain dan tidak bukan ada kaitan dengan fahaman agama Buddha.
Maharaja Ming menyokong dan berusaha dengan giat untuk mempopularkan agama Buddha semasa pemerintahannya. Sami-sami memasang pelita-pelita untuk menyembah relik Buddha secara rasmi pada malam tersebut.
Boleh dikatakan biasanya Pesta Yuan Xiao itu dirayakan pada waktu malam. Tanglung, pelita, bunga api ialah benda-benda yang harus disediakan. Hiasan dengan tanglung, ular-ular dan sebagainya tidak dapat tidak diadakan di rumah, tokong dan bangunan atau tempat-tempat peranginan tertentu.
Pada malam itu, rumah-rumah dihiasi dengan tanglung dan ular-ular berwarna-warni. Bunga api dimainkan oleh kanak-kanak di halaman rumah. Orang dewasa pula duduk bersama-sama di ruang tamu atau di halaman rumah. Di samping bersembang-sembang, mereka menikmati kecantikan tanglung terutama yang berpusing-pusing. Tidak juga terlupa mereka menghayati bulan purnama di langit.
Seperti pesta kuih bulan, capgome juga membimbing insan mendekati alam semula jadi dan menikmati indah permai segala makhluk yang dijadikan oleh tian atau Tuhan. Selain menyanyikan nyanyian yang ada kaitan dengan bulan dan memuji-muji bunga-bunga berwarna merah yang membawa implikasi ong, iaitu kemakmuran dan kejayaan, satu perkara yang selalu dilakukan orang Cina ialah meneka teka-teki yang dilekat terlebih dahulu oleh tuan rumah atau penganjur sesuatu organisasi atau persatuan. Kadang-kadang pemenang-pemenang diberi hadiah untuk memeriahkan suasana.
Meneka teka-teki tanglung menjadi salah satu cabang kebudayaan atau darah daging orang Cina di seluruh dunia. Teka-teki yang digubal itu mengandungi unsur-unsur budaya dan sastera Cina. Bukan teka-teki sembarangan yang dapat diteka atau dapat memberi jawapan dengan mudah.
MERCUN
Capgome mempunyai maksud tersirat. Malam itu merupakan bulan purnama yang pertama untuk suatu tahun baharu. Ia melambangkan permulaan sesuatu yang serba baharu dan juga pelanjutan sesuatu yang terus-menerus. Setiap orang seharusnya bersyukur kepada tian kerana membekali segala benda seperti bulan, matahari, udara, air dan lain-lain yang mencukupi kepada semua secara percuma.
Tradisi itu diamalkan turun-temurun di seluruh tempat yang dihuni atau dimastautin kaum Cina. Di Malaysia, mungkin di tempat-tempat lain, acara perayaan ditokok tambah atau diubah suai menurut perubahan dan keperluan zaman.
Sebagai contoh di Malaysia, pada siang hari, persatuan-persatuan orang Cina mempersembahkan tarian singa di tempat-tempat awam. Mercun dibakar bersama-sama iringan paluan gendang, gong dan simbal.
Perbuatan seperti ini dianggap perlu untuk mempertingkat tenaga manusia khususnya golongan muda-mudi.
Waktu senja, seisi keluarga makan bersama-sama dalam suasana mesra dan harmoni. Hal ini melambangkan semangat positif ahli-ahli keluarga bekerjasama dengan bersatu hati. Bagi masyarakat Cina tempatan, sesebuah keluarga harus bersatu padu terlebih dahulu sebelum masyarakat dan negara diamandamaikan dan dikayamakmurkan.
Menjelang senjakala, muda-mudi yang masih bujang berkumpul di tempat-tempat yang ada sungai kecil atau tasik, misalnya Klang dan Petaling Jaya. Pemuda yang berminat akan membawa oren dan dicampak ke dalam sungai kecil atau tasik. Di atas oren itu ditulis nama, nombor telefon atau alamat e-mel dirinya sendiri. Pemudi boleh mencuba nasib mengaut oren dengan galah atau tangan apabila menghampirinya di tebing sungai atau tasik. Keadaan menjadi seronok dan riang gembira di kawasan sekitar sehingga larut malam. Kononnya cara ini berjaya juga menolong muda-mudi mencari jodoh yang diidamkannya.
Pada fikiran saya, campak oren ke dalam anak sungai atau tasik untuk memancing pasangan berilhamkan dari amalan zaman dahulu. Pada zaman masih terikat kuat dengan sistem feudalisme, gadis atau wanita tidak dibenarkan keluar dari rumah kecuali pada malam Pesta Yuan Xiao. Pada malam itu, mereka boleh keluar dan berhubung dengan orang lain termasuk kekasih idamannya secara bebas. Patutlah Pesta Yuan Xiao itu bergelar hari kekasih (valentine’s day) ala China.
Golongan cendekiawan khususnya sasterawan China zaman dahulu banyak mendapat inspirasi bertemakan Pesta Yuan Xiao. Banyak puisi atau rencana ditulis oleh mereka. Antaranya sebuah puisi (jenis ci yang popular dalam Dinasti Song (tahun masihi 960-1279) yang ditulis oleh Ouyang Xiu (1007-1072) mengenai Pesta Yuan Xiao tetap dihafal oleh peminat-peminat puisi Cina di seluruh ceruk rantau hingga hari ini. Puisi itu kononnya ditulis untuk meratapi isterinya yang telah meninggal dunia. Terjemahannya berbunyi seperti berikut:
Teringat malam Pesta Yuan Xiao tahun lepas,
Pesta ria terang seperti siang dengan lampu-lampu,
Bulan mengambang di pangkal pokok willow,
Selepas senjakala kami berdua berjanji temu.
Waktu malam Pesta Yuan Xiao pada tahun ini,
Bulan dan lampu-lampu kekal sebagai dahulu,
Orang bersamaku tahun lalu tidak ku nampak,
Lengan baju telah dibasahi linangan air mataku. – UTUSAN
PENULIS ialah pendidik, pekamus dan penulis sastera Mahua. Juga penerima Anugerah Kesusasteraan Mahua pada 2018.










