SALAH satu topik hangat dibahaskan sejak minggu lalu ialah gesaan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwanya didominasi orang Melayu. Dalam situasi ini, saya memilih untuk melakukan renungan, apakah benar bukan Melayu khususnya kaum India dipinggirkan dari arus pembangunan dan pembinaan negara?
Renungan itu membawa saya kembali kepada Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (PTMIM) yang dilancarkan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri pada 22 April 2017. Ia merupakan satu usaha penting dan menjadi dokumen rasmi kerajaan untuk membangunkan komuniti India bagi tempoh 10 tahun seterusnya. Kita perlu juga bersikap rasional dan menerima hakikat Barisan Nasional (BN) yang memerintah pada waktu itu masih merupakan sebahagian kerajaan perpaduan sekarang.
Apabila saya meneliti kandungan PTMIM, didapati ia menggariskan pelbagai dasar kerajaan bagi meningkatkan taraf sosioekonomi kaum India, misalnya menerusi suntikan dana dan modal dalam bidang pendidikan dan ekonomi. Untuk rekod, MIC pernah mengemukakan beberapa pelan tindakan pada masa lalu tetapi PTMIM merupakan pelan tindakan rasmi pertama terus daripada kerajaan Pusat.
Secara umum, pendekatan, pemikiran dan inisiatif yang komprehensif dirangka berasaskan empat tonggak utama, iaitu keperluan asas, merealisasikan potensi setiap kanak-kanak, menambah baik kualiti hidup serta usaha meningkatkan penyertaan sosial kaum India. Saya juga sering merujuk PTMIM apabila menulis rencana berkaitan kaum India kerana ia penuh dengan pelbagai data dan maklumat yang amat berguna dan boleh dipercayai kerana datang dari sumber autoritatif.
Tiga cabaran utama digariskan untuk diberi tumpuan ialah ekonomi, pendidikan dan sosial. Sekiranya ketiga-tiga masalah yang membelenggu dan menjadi semacam ‘lingkaran syaitan’ (vicious circle) dalam masyarakat India dapat diatasi, maka mobiliti sosial akan berlaku dengan mudah dan pantas. Malah, Najib semasa berucap merasmikan PTMIM memaklumkan bahawa kerajaan sudah menetapkan sasaran meningkatkan penyertaan kaum India dalam sektor perkhidmatan awam kepada tujuh peratus.
Sejak PTMIM dilancarkan, memang ada pelbagai kritikan daripada pelbagai pihak. Misalnya, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Ahli Parlimen Kapar, G. Manivanan mendesak supaya pelan itu dibahaskan di Dewan Rakyat. Ahli Parlimen PKR itu berpendapat, walaupun selepas setahun dilancarkan, MIC masih gagal menjadikan dokumen itu sebagai dasar atau polisi untuk memperjuangkan nasib kaum India.
Manivanan berkata, Pakatan Harapan (PH) sudah menyediakan 25 manifesto khusus untuk kaum India. Antaranya, 10 peratus peluang pekerjaan bagi golongan belia, melahirkan lebih ramai usahawan, bantuan pengajian tinggi, menubuhkan sekolah Tamil dan meningkatkan ekuiti kaum India.
Umum mengetahui perubahan yang berlaku dalam kerajaan Pusat susulan PRU14. PH mendapat mandat rakyat dan Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik menjadi Perdana Menteri pada 10 Mei 2018.
Menjelang hujung Julai 2018, Naib Presiden MIC, Datuk T. Mohan menyelar para pemimpin kaum India dalam PH kerana kononnya gagal menjaga kebajikan masyarakat India.
COVID-19
Pada 24 Februari 2020, Dr. Mahathir mengemukakan surat peletakan jawatan, lalu Yang di-Pertuan Agong melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri pada saat seluruh dunia sedang berdepan ancaman Covid-19.
Kemudian, selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi Perdana Menteri pada 21 Ogos 2021 dan situasi Covid-19 lebih terkawal, isu berkaitan PTMIM kembali hangat.
Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran; Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar dan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto mengungkitkannya di Dewan Rakyat pada 23 November 2021 tetapi lebih menyentuh topik penyalahgunaan dana oleh Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Menurut kenyataan di portal rasmi Kementerian Perpaduan Negara, sesi taklimat PTMIM dan MITRA khusus bagi para ahli Parlimen diadakan pada 29 Mac 2022. Pelbagai isu dikupas dan beberapa cadangan penambahbaikan dikemukakan.
Pada Julai 2022, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr. Gunaraj George mengeluarkan kenyataan mendesak PTMIM dikaji semula kerana kedudukan ekonomi kaum India dikatakan semakin teruk. Menurut sebuah portal berita pada 10 Julai 2022, saranan itu turut disokong hampir 100 pemimpin kaum India mewakili 63 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam perbincangan khas diadakan.
Dalam sesi pertanyaan jawab lisan persidangan Dewan Negara pada 10 Ogos 2022, Mohan meminta Menteri Perpaduan Negara menyatakan secara terperinci perkembangan terkini PTMIM termasuk sama ada kerajaan pimpinan Ismail Sabri masih komited melaksanakannya.
Dewan Negara dimaklumkan PTMIM akan dilaksanakan dari 2022 hingga 2026 bagi memperkasa keperluan asas, meningkatkan kemenjadian setiap kanak-kanak, menaik taraf ekonomi dan keusahawanan, memperkasa keterangkuman sosial serta memperkasa golongan wanita ke arah kesamaan gender.
Pada September 2022, Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran memaklumkan, PTMIM yang tergendala hampir empat tahun kini berada pada peringkat akhir untuk dilaksanakan. Susulan PRU15, Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.
Dalam kenyataan akhbar pertama selepas itu, beliau turut memberi jaminan, kerajaan perpaduan akan menjaga hak semua rakyat.
Pada 2 Februari lalu, Anwar menulis di Twitter, “Saya mengusulkan Malaysia Madani sebagai jalan ke depan untuk Malaysia serta masyarakatnya yang rencam kaum dan budaya.”
Awal tahun ini, Jawatankuasa Tindakan Hal Ehwal Masyarakat India (IAAC) dibentuk untuk menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi kaum India, misalnya tiada dokumen pengenalan diri, isu tanah kuil, sekolah Tamil, kebajikan, kebudayaan, perumahan, kemiskinan dan peluang kerjaya. IAAC dianggotai sembilan ahli Parlimen kaum India dalam kerajaan perpaduan dan peranannya selaras konsep Malaysia Madani. Ia dalam proses mengumpul data dan maklumat sebelum memikirkan mekanisme terbaik mengatasi masalah dihadapi kaum India.
Suka saya menyarankan agar kandungan dan data PTMIM dimanfaatkan IAAC kerana BN dan MIC juga sebahagian kerajaan perpaduan pimpinan Anwar. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










