Wajarkah henti eksport minyak sawit ke EU?

Wajarkah henti eksport minyak sawit ke EU?

Kewujudan jawatan Pegawai Pemantau Harga di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membantu kementerian memantau harga barang. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKTOR pertanian memainkan peranan penting dalam ekonomi negara dengan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.9 peratus pada 2022. Sektor perladangan kelapa sawit khususnya menyumbang hampir 35 peratus kepada KDNK pertanian menjadikan industri minyak sawit penyumbang terbesar kepada sektor pertanian. Malaysia merupakan pengeluar serta pengeksport kedua terbesar minyak sawit dunia selepas Indonesia. Tujuh destinasi eksport minyak sawit Malaysia yang utama adalah India, China, Kesatuan Eropah (EU), Turkiye Kenya, Pakistan dan Filipina. Kesemua tujuh pasaran ini merangkumi hampir 62.2 peratus (9.68 juta tan) daripada jumlah keseluruhan eksport minyak sawit Malaysia.

India masih lagi mendahului sebagai destinasi utama eksport minyak sawit negara untuk tahun kesembilan (2022) semenjak 2014. China juga masih mengekalkan kedudukannya sebagai pasaran kedua terbesar bagi minyak sawit Malaysia sejak 2019 walaupun eksport pada 2022 mengalami sedikit kemerosotan.

EU dalam pada itu menjadi destinasi eksport minyak sawit ketiga terbesar Malaysia. EU menyumbang 9.4 peratus daripada eksport minyak sawit dari Malaysia, iaitu 1.47 juta tan pada 2022. Angka ini menurun pada 2022 dibandingkan tahun sebelumnya iaitu 10.5 peratus.

Eksport ke EU dijangka mengalami kemerosotan lagi akibat langkah terbaru EU memperkenalkan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan (EUDR) mengenai import komoditi terpilih termasuk minyak sawit yang dikaitkan dengan penebangan hutan dan degradasi hutan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Malaysia mempertimbangkan untuk menghentikan eksport minyak sawit ke EU sekiranya larangan itu diteruskan. Persoalannya sekarang, wajarkah kita menghentikan eksport minyak sawit ke EU tatkala negara sedang berusaha untuk memulihkan ekonomi dengan pelbagai strategi termasuk menangani isu kekurangan pekerja asing?

Sebelum mengambil keputusan agak tegas ini, Malaysia perlu merangka strategi lebih berkesan serta mencari jalan untuk meyakinkan EU bahawa negara mengamalkan dasar dan amalan pertanian (khususnya pengeluaran minyak sawit) yang tidak bertentangan dengan EUDR.

Untuk itu, pertama, kita perlu menangani segala sekatan dan kempen negatif oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab dan mempunyai kepentingan tertentu khususnya dari Amerika Syarikat (AS) dan EU.

Kita perlu proaktif dan melancarkan kempen untuk membetulkan persepsi salah dalam kalangan negara anggota EU dan tidak membiarkan industri minyak sawit terus diserang dengan dakwaan-dakwaan tidak berasas.

Kedua, Malaysia perlu memperkukuhkan lagi kerjasama dengan Indonesia untuk bersama-sama menangani kempen negatif dibawa oleh EU. Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia baru-baru ini merupakan suatu inisiatif yang baik di mana Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dalam industri minyak sawit khususnya dalam menangani serangan dan sekatan daripada pihak tertentu terutama dari EU dan AS terhadap produk berasaskan minyak sawit dari rantau ini.

SENSITIVITI

Seterusnya, Malaysia juga boleh memohon kerjasama Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO) untuk membantu menjelaskan keadaan sebenar kepada EU supaya sekatan ke atas produk minyak sawit dapat ditarik balik. Selain itu, penglibatan aktif dalam persidangan dan forum yang dianjurkan WTO adalah platform bersesuaian untuk memberikan kesedaran kepada negara peserta.

Keempat, Malaysia perlu bekerjasama dengan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) untuk mengetengahkan hasil kajian, penerbitan dan perundingan yang dijalankan oleh CPOPC. Perkongsian maklumat dan hasil dapatan penyelidikan ini di peringkat global amat penting untuk menangkis persepsi negatif berkaitan penebangan hutan.

Selain itu, kajian analisis sensitiviti atau dikenali what if perlu dibuat untuk menilai impak daripada dasar menghentikan eksport minyak sawit ke EU serta kesannya ke atas jumlah serta nilai eksport minyak sawit Malaysia. Analisa ini mampu memberi gambaran empirikal yang jelas kesan melaksanakan sekatan eksport minyak sawit ke EU.

Akhir sekali, satu kajian secara holistik berkenaan dagangan Malaysia dengan EU. Kajian ini bukan sahaja bagi minyak serta produk berasaskan sawit tetapi juga perkhidmatan lain melibatkan dagangan dengan EU.

Kajian ini mampu memberi gambaran jelas mengenai sejauh mana kebergantungan Malaysia kepada pasaran EU. Ia akan membantu Malaysia untuk membuat keputusan yang tepat dan rasional sebelum sebarang tindakan drastik diambil dalam perkara ini.

Kita tidak mahu tindakan tegas diambil memberi kesan negatif besar kepada ekonomi negara yang dalam proses pemulihan selepas pandemik Covid-19.

Selain kebergantungan kepada pasaran sedia ada, Malaysia juga perlu mempertingkatkan eksport ke pasaran-pasaran baharu. Langkah ini mampu memperluaskan lagi pasaran eksport minyak sawit ke negara-negara yang kita belum pernah eksport sebelum ini seperti Afrika Selatan dan Asia Tengah.

Perang Russia-Ukraine yang telah mengakibatkan gangguan kepada rantaian bekalan minyak bunga matahari dan biji sesawi global boleh membuka peluang untuk pasaran baharu dan meningkatkan permintaan minyak sawit. Usaha-usaha berterusan perlu dilaksanakan untuk meyakinkan pasaran EU bahawa kita telah memenuhi kehendak dan standard antarabangsa menerusi Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang menitikberatkan pematuhan kepada aspek alam sekitar dan kelestarian.

Namun, di sebalik segala usaha ini, sekiranya sekatan masih diteruskan, besar kemungkinan EU mahu melindungi produk mereka sendiri kerana minyak sawit sangat kompetitif, murah dan berkualiti. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Shri Dewi Applanaidu ialah Pensyarah di Jabatan Ekonomi & Perniagaan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan & Perbankan dan Felow Penyelidik di Institut Kajian Dasar Ekonomi & Kewangan (ECoFI), Universiti Utara Malaysia (UUM). Juga Penyelidik Bersekutu Interim di Laboratori Kajian Dasar Pertanian & Makanan, Institut Pertanian Tropika & Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×