MUKADIMAH
PELBAGAI ramalan nasib hala tuju UMNO masih diperkatakan biarpun tamat sudah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Malah perihal politik masih diperkatakan bermula daripada penubuhan Kerajaan Perpaduan sehinggalah kepada desas-desus kewujudan ‘Langkah London’ dan kemelut politik Sabah.
Terbaru mata rakyat tertumpu kepada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang mahu melihat hala tuju dan agenda parti tersebut dalam arena politik tanah air.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah pemimpin, TENGKU RAZALEIGH HAMZAH bagi mendapatkan perspektif beliau terhadap UMNO pasca PRU-15. Turut membantu jurufoto, MOHD. FARIZWAN HASBULLAH.
MAIN DUIT?
MINGGUAN MALAYSIA: Difahamkan Tengku ada memfailkan petisyen untuk mencabar keputusan PRU15. Adakah hanya sebab kalah dan pada pendapat Tengku adakah keputusan PRU15 menunjukkan cerminan demokrasi sebenar di negara ini ?
Saya mahu bercakap satu perkara ini bukan sebab saya kalah. Pada saya Perdana Menteri Britain, Winston Churchill dan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pun kalah. Tetapi ini soal main duit (politik wang dalam PRU15) dan bahaya pada kita semua terutama sekali orang Melayu.
Sebab, siapa ada duit dijamin boleh menang. Kali ini saya agak terkejut sebab bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pun boleh kalah.
Mungkin orang marah kita kerana tak nak belanja. Kalau macam itu demokrasi tidak ada harga. Bila-bila masa boleh berubah. Ini yang saya gelarkan subverte democracy. Jadi, kalau kita mula berubah awal lagi dari sekarang, Insya-Allah kita boleh baiki agar tidak menjadi alat kepada mereka yang terlibat dengan politik wang.
MERAJUK
Tengku merajuk atau berkecil hati selepas kalah dalam PRU15?
Tidak. Saya sedikit pun tidak berkecil hati. Orang masih sayang saya. Tengok undi dalam PRU15. Saya hanya kalah tipis. Tapi disebabkan mainan duit, saya tewas.
Tengku mahu buat kemunculan dan bertanding dalam PRU16 nanti ?
Saya rasa cukuplah. Kalau saya menang petisyen pilihan raya, boleh jadi akan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK). Apa pun saya serah kepada parti sama ada hendak bertanding semula atau tidak. Namun, saya fikir saya pun mahu berundur. Cukuplah, tua dah saya dalam politik.
SYARAT RELEVAN
UMNO masih relevan untuk Melayu?
UMNO relevan dengan syarat kita berpegang kepada nilai hidup Melayu dan nilai yang diterima masyarakat umum. Bukannya hendak rompak kemudian bagi duit kepada penyokong. Kalau berlumba-lumba beri duit apa harapan rakyat kepada parti nanti? Jadi yang ini UMNO wajib perbetulkan dahulu.
Ketika zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Tun Tan Siew Sin dan Tun V. T Sambanthan, mereka fokus kepada perjuangan kemerdekaan. Rakyat belakang mereka walaupun bukanlah 100 peratus semuanya.
Selepas merdeka menentang komunis dan berjaya, mereka fokus kepada pembangunan, pendidikan, infrastruktur dan pelbagai lagi.
Itu nikmat kita dapat sekarang walaupun ada orang tidak bersyukur dan mendakwa kita tiada apa-apa pun. Tapi perubahan itu ada. Jangan kita cuba nafikan. Ini semua perubahan kerana pemimpin kita tumpu pada asas-asas tersebut. Mana ada kita dengar cerita pemimpin dahulu mati tinggal harta dengan banyak?
LAGAK BAHARU PEMIMPIN UMNO
Jadi apa yang Tengku boleh bezakan antara UMNO dahulu dan sekarang?
Rakyat tidak senang dengan lagak pemimpin UMNO sekarang. Jadi sebab itu mereka mahu ubah sangat (kerajaan). Mereka (rakyat) bukan dengki tidak mahu pemimpin hidup dengan senang. Mereka pun hendak bermegah dengan pemimpin mereka tetapi janganlah melampau.
Berpada-padalah dan ini (kekayaan melampau) lagak baharu. Ia juga bukanlah Dasar Ekonomi Baharu (DEB). DEB mahu bantu orang berhijrah. Itu yang diasaskan oleh Tun Abdul Razak.
Mujurlah orang tidak tolak UMNO secara total. Di kampung dan ke mana kita pergi pun orang masih bercakap mengenai UMNO kerana perjuangan parti ini dahulu.
Akan tetapi perlu diingat orang benci dan marah kepada parti ini bagi mereka yang tinggal di bandar. Mereka meluat. Sepatutnya pemimpin UMNO sedar. Tahun 2008 sudah boleh rasa tetapi kita tidak boleh fikir benda ini. Kita perlu ingat bahawa kita boleh diangkat oleh rakyat dan dalam masa sama dibuang oleh rakyat.
Mungkin pemimpin UMNO tidak sedar lagi. Kita dengar pembongkaran duit berjuta-juta apabila kalah. Apa benda semua ini?
BALIK KE PANGKAL JALAN
Jadi bagaimana mahu pastikan UMNO kembali kepada rakyat?
Balik ke pangkal jalan. Kalau kita tidak tahu bertanya. Belajarlah. Kita ubah institusi dan pemimpin dalam itu.
Pemimpin kena sedar dia jadi pemimpin sebab diangkat untuk berkuasa. Kalau dia tidak layak untuk memimpin, dia akan diturunkan. Itupun rakyat kita baik, tidak senjah (jatuhkan) pemimpin ke bawah seperti negara lain. Di Filipina dan India sudah berlaku.
Sebelum ini laungan ‘No Dap No Anwar’ dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kuat bergema dan kini keadaan sudah berubah. Bagaimana Tengku melihat perkara ini?
Ini semua cakap kerana nafsu, bukan cakap cara berhemah. Pernahkah kita dengar pemimpin dahulu cakap dengan cara ‘boros’ macam ini? Sampai ke bawah taraf kedudukan (maruah) kita.
Lagi pun saya percaya PAU tidak buat keputusan begitu. Itu suara daripada salah seorang yang hadir, iaitu Presiden sendiri.
Dalam ayat keputusan PAU tiada perkara tersebut. Ia cuma retorik sahaja. Pada pendapat saya, kalau untungkan saya, ada Datuk Seri Anwar Ibrahim lagi bagus sebab boleh pilih saya. Perjuangan ini macam alat sahaja. Orang lain berkuasa dan kita tumpang sahaja.
JAWATAN DIPERTANDINGKAN
Adakah wajar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO wajar dipertandingkan?
Dalam demokrasi jawatan tersebut perlu dipertandingkan supaya ada pilihan untuk orang ramai menerusi dua tiga kaedah.
Ada sesetengah kumpulan sudah dibeli walaupun adanya pertandingan. Dia akan pilih orang sebab dapat sogokan atau bayaran. Tapi ada kumpulan yang berprinsip mahu lihat supaya parti disokong ini dipimpin orang yang betul-betul layak dan amanah.
Kalau kedua-dua jawatan tidak dipertandingkan apa ramalan Tengku?
UMNO akan habis. Tapi disebabkan ada 30 kerusi ahli Parlimen milik Barisan Nasional (BN) menyebabkan kita ada tempat. Cuba bayangkan, kalau PRN menang hanya menang 10 kerusi saja, di mana kedudukan kita?
Akan tetapi soalnya sekarang bukan 10, 20 , 30 atau 40 kerusi sekalipun. Soalnya perjuangan. Ke mana perginya sebab kita bukan bawa suara parti itu, tetapi kita bawa suara orang Melayu.
Jadi, apakah kita tidak boleh menilai perasaan orang Melayu? Saya bercakap bagi pihak orang Melayu. Tapi ini tidak bermakna saya rasis. Saya cuma mahu menjaga kepentingan bangsa saya sendiri. Kalau tidak buat apa hendak berjuang?
Siapa layak memimpin UMNO selepas ini?
Susah saya hendak kata. Terpulang kepada orang ramai. Kalau mahu meremajakan parti tidak semestinya orang muda. Ada orang tua berfikiran muda itu yang kahwin dua tiga. Ini cuma misalan sahaja. Sebenarnya susah hendak cari orang sekarang yang betul-betul boleh memimpin parti.
Dahulu lain, sebab dulu kita pergi kursus. Zaman saya disampaikan syarahan supaya kita abadikan apa yang dipesan dan diajar supaya ingat tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.
Sekarang ini berbeza. Siapa yang mahu masuk UMNO masuk saja macam mahu masuk kelab. Jadi, pengisian tidak berapa mendalam. Inilah keadaannya.
POLITIK MASIH TIDAK MENENTU
Adakah Kerajaan Perpaduan akan kekal sekalipun pucuk pimpinan UMNO berubah?
Akan berubah tampuk pemerintahan mengikut selera mereka. Keadaan sekarang masih tidak menentu. Sekarang ini walau Anwar mendapat sokongan dalam Parlimen sekalipun, beliau tetap bergantung kepada 30 ahli Parlimen BN.
Kalau mereka ubah maka segala akan ubah. Pertama, kalau kes Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak memihak kepadanya, keadaan berubah. Kerajaan sekarang stabil kalau ada sokongan yang bulat.
Sebelum ini Ahmad Zahid mendakwa Tun Dr. Mahathir menyemai doktrin membenci DAP dalam UMNO. Bagaimana Tengku melihat perkara ini?
Betul. Tun Dr. Mahathir pandang daripada sudut Melayu baru hendak bangun pada ketika itu. Dengan konsep Malaysian Malaysia, susah kita hendak percaya konsep sebegitu yang diterapkan oleh DAP.
Oleh itu, beliau semai perasaan kepada orang Melayu agar berwaspada. Malaysian Malaysia tidak bererti kita sama rata. Hendak kata Melayu sama rata dengan orang yang lebih maju dengan kita?
Siapa patut dipersalahkan dengan kekalahan UMNO dalam PRU15? Adakah Presiden UMNO, Poster Boy atau Pengarah Pilihan Raya?
Poster boy tiada apa. Kalau dia ikonik dan pemimpin yang diterima semua pihak, dia sendiri diterima.
Barangkali dalam sebahagian masyarakat dia pun tidak diterima sepenuhnya. Ikonik ini orang yang disukai ramai macam Tunku Abdul Rahman atau Tun Abdul Razak. Mana-mana pergi pun orang sebut nama dia. Begitu juga Tun Dr. Mahathir.
Tapi dengan kekalahan UMNO dalam PRU15 lalu. Biasanya, Presidenlah dipertanggungjawab. Orang nombor satu mesti bertanggungjawab. Kalau dia tidak bersalah pun dia mesti terima hakikat bahawa parti dia jatuh kerana dia di situ (mengetuai). Jika dia membiarkan keadaan jadi buruk maka dia tidak bertanggungjawab. Jadi dia mesti bertanggungjawab.
UMNO KEMBALI BERSAMA PAS
Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berpandangan UMNO perlu kembali kepada Islam selain bersama dengan Pas sebagai rakan untuk bangkit semula susulan tewas pada PRU15. Apa pandangan Tengku?
Mana boleh. Kita UMNO berjuang untuk Islam dan Melayu. Itu tak boleh hendak pisahkan kalau kita benar-benar faham apa itu perjuangan UMNO.
Berbeza dengan Pas yang kita tahu sememangnya berbeza. Jadi macam mana nak bersatu. Lagipun dia nak rebut kita punya pengaruh dan penyokong sebab itu tidak boleh bersama.
Sebab Pas dulu sebahagian daripada kita. Penyelesaiannya perlu bergabung semula kalau terpaksa bergabung. Itu penyelesaiannya. Kalau hendak buat apa yang dicadangkan tidak mungkin. Kerjasama tidak akan wujud.
Hari ini saya curi orang awak dan awak pula lakukan benda yang sama. Sebab itu, ia tidak akan selesai. Kecuali kalau kita sudah jadi adik beradik duduk dalam satu keluarga. Perpisahan dulu tidak cara yang baik semasa Pas keluar UMNO.
UMNO BERKUBUR?
Apakah jangkaan Tengku Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti. Adakah UMNO perlu berubah demi kemenangan?
Ya. Mesti ada perubahan. Kalau tidak UMNO tidak boleh hadapi PRN dan akan kalah teruk. Kalau ditolak terus oleh rakyat, lebih baik tutup sahaja parti dan segala cerita terkubur.
Sekarang ini bergantung kepada pimpinan apakah hendak tumpu pada pemilihan dalam UMNO dalam tempoh enam bulan ini atau mahu tumpu kepada rakyat bagi meraih semula sokongan mereka.
Selagi pimpinan tidak ubah cara, masa depan UMNO tidak baik apatah lagi hendak berdepan PRN nanti. Dan saya rasa kerajaan perlu bertindak segera bersabit dengan politik wang. Kalau diteruskan dengan cara bebas begitu susah hendak menang. Mahu pertahankan kedudukan sekarang pun susah.
LANGKAH LONDON
Ada ura-ura wujudnya ‘Langkah London’ sebelum ini. Komen Tengku?
Saya rasa apa yang rakyat mahukan sekarang ini adalah hidup dengan mudah terutama dalam menghadapi kenaikan harga barang.
Tidak lama lagi makanan pun mungkin susah dapat. Ini kerana kekurangan bekalan makanan di peringkat dunia memang berlaku. Dan Malaysia kini menghadapi hutang yang banyak di samping nilai ringgit kita mengecil. Susah rakyat hendak hidup.
Kalau boleh beri kelegaan kepada kehidupan rakyat ini lebih penting. Tak usahlah fikir mahu ‘langgar’ orang atau sebaliknya. Fikir hal rakyat dulu.
Apa harapan Tengku terhadap UMNO selepas PAU?
Saya harap orang yang memimpin ini adalah orang yang sabar dan insaf. Tuhan tidak akan bagi peluang kedua atau ketiga. Ini penghabisan dan UMNO sudah kalah sejak tahun 2008 lagi. Selepas itu, kita betul-betul kalah sehingga dibuang daripada memegang tampuk kerajaan pada 2018.
Kali ini kedudukan kita di Tanah Melayu di tangga bawah nombor tiga atau empat. Malah saya rasa rendah lagi daripada itu. Tetapi UMNO cakap mewakili Melayu. Macam mana? Kita tidak boleh dabik dada dan kata kita wakil Melayu. Buat malu saja. – Mingguan Malaysia










