Rancang kecilkan skop, pengaruh kita?

Rancang kecilkan skop, pengaruh kita?

RAMAI pemikir global mengesyorkan penubuhan sebuah kerajaan global bagi menyelesaikan masalah dunia. Antaranya, John Adair Carroll Jr. dalam bukunya, Solving Major World Problems Through The Formation of a One-World Government.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKUMPULAN elit dunia dalam kalangan anggota kerajaan Amerika Syarikat (AS), saintis, ahli industri kewangan, teknologi maklumat serta keselamatan didakwa merancang untuk mewujudkan sistem global yang mengecilkan kuasa negara-negara bangsa termasuk Malaysia. Rancangan itu dilakukan bertujuan mewujudkan sebuah kerajaan dunia tunggal yang akan disertai syarikat-syarikat konglomerat global bagi menghadapi ancaman kemusnahan dunia.

Perkara ini didedahkan oleh satu sumber agensi keselamatan luar negara ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini yang berkata, pada Ogos 2018, Agensi Keselamatan Negara AS (NSA) mengadakan satu persidangan sulit dan tertutup di pusat penyelidikan terkemuka dunia bagi sistem sains yang kompleks, iaitu Institut Santa Fe, New Mexico, AS.

Sumber mendedahkan, persidangan itu tidak membenarkan media menyertainya, malah tiada rakaman dan laporan pembentangan dibenarkan untuk penerbitan umum. Namun katanya, pihaknya menghantar seorang ahli akademik sebagai wakil yang diberikan akses ke dalam persidangan itu.

Ahli akademik tersebut menyiapkan satu laporan sulit tentang agenda persidangan serta tokoh-tokoh yang menyertainya dan perkara-perkara dibincangkan. Akhbar ini juga telah menerima satu salinan laporan persidangan tersebut dan menyemak isi kandungannya. Pada masa sama, akhbar ini juga menyemak laporan sama kepada tiga agensi perisikan tanah air, namun masing-masing berkata tidak mengetahui kewujudan persidangan pada 2018 itu.

Dalam laporan yang diterima, difahamkan agenda persidangan itu merancang untuk mengehadkan kedaulatan negara-negara kecil bagi memberi laluan kepada sebuah kerajaan supranasional dalam menghadapi ancaman kemusnahan global yang diramalkan berlaku dalam masa terdekat.

Menurut laporan itu, antara tokoh dunia yang didakwa terlibat merancang persidangan tersebut adalah bekas Penasihat Keselamatan Negara AS, H.R. McMaster; bekas Setiausaha Negara AS, Rex Wayne Tillerson dan bekas Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Mike Pompeo.

Kata sumber, agenda utama yang dibincangkan dalam persidangan itu adalah mengenai kemungkinan berlaku kemusnahan berskala global yang menjejaskan populasi dunia serta teori dan kaedah mendepani ancaman kemusnahan tersebut.

“Walaupun persidangan itu tidak mempunyai sebarang nama rasmi, namun salah satu pembentangannya berjudul Risk of A Vulnerable World. Ia membincangkan masalah terburuk yang diramal melanda dunia dalam masa terdekat.

“Peserta terdiri daripada wakil NSA, saintis-saintis iklim, pakar sains sosial, perbankan, tenaga serta pakar bidang keselamatan dan persenjataan. Isu ekonomi, kewangan, tenaga, demografi dan iklim telah dibincangkan,” ujarnya.

Akhbar ini yang menyemak laporan itu mendapati antara ramalan kemusnahan dunia yang dibincangkan dalam persidangan tersebut merangkumi kemusnahan ekonomi, demografi dan iklim yang secara mendadak dijangka meningkatkan masalah sosial serta krisis sosiobiologi dan semula jadi.

BAYI YANG MENYUSU IBUNYA

Laporan itu turut menyebut bahawa persidangan membangkitkan soal manusia kelas bawahan digelar ‘bayi yang mengeringkan susu ibunya’, merujuk kepada pertambahan populasi penduduk dunia yang mengguna pakai banyak sumber alam semula jadi.

Menurut laporan tersebut, susulan pertambahan penduduk yang drastik di kebanyakan negara mengakibatkan dunia kekurangan sumber dan mendorong kepada krisis makanan, ekonomi serta tenaga malah menjejaskan kestabilan iklim.

Justeru, bagi mengelak ancaman-ancaman ekonomi, demografi serta iklim yang dijangka memusnahkan dunia, maka pakar pelbagai bidang yang hadir ke persidangan itu telah mengemukakan lima teori, namun cuma empat yang didebatkan. Ini termasuk teori pengoptimuman manusia; teori revolusi manusia; teori peralihan antropologi serta terakhir adalah teori malapetaka.

Pada masa sama, menurut laporan tersebut, ada teori kelima yang diutarakan Pengerusi Forum Ekonomi Dunia (WEF), Klaus Schwab untuk mengelakkan kemusnahan dunia, iaitu melalui Revolusi Industri Keempat (IR 4.0). Namun, laporan itu menjelaskan bahawa teori yang dikemukakan oleh Schwab ditolak oleh kebanyakan peserta.

Laporan itu mendedahkan, 25 peratus daripada peserta persidangan bersetuju bahawa teori peralihan antropologi dunia merupakan kaedah paling sesuai dan selamat bagi mengelakkan malapetaka global.

Hal ini menurut laporan itu hanya boleh dicapai apabila masyarakat seluruh dunia diasingkan kepada dua lapisan kasta berbeza. Pertama, kasta golongan elit yang digelar ultra-globalis terdiri daripada manusia dengan tahap intelektual dan kehormatan yang tinggi, dan kedua merangkumi seluruh umat manusia selain kategori pertama.

“Untuk mewujudkan sistem baharu kerajaan dunia, adalah perlu untuk memastikan pengaruh yang terjamin ke atas setiap kerajaan seluruh dunia. Untuk ini, adalah perlu mewujudkan enklaf atau pemisahan kelas masyarakat di setiap negara bangsa. Ini memerlukan dana yang besar, yang akan dilaburkan oleh golongan ultra-globalis.

“Kerajaan setiap negara akan mendapat sokongan dalam bentuk mekanisme mewujudkan enklaf dan pelaburan besar dalam ekonomi masing-masing. Golongan ultra-globalis akan mempunyai kuasa dunia yang kukuh dan pelaburan yang dijamin oleh kerajaan setiap negara yang menerima dana mereka.

“Para peserta dalam persidangan itu merumuskan perkara berikut – tiada negara sama ada besar atau kecil di muka bumi yang mampu menghadapi ancaman yang bakal memusnahkan dunia.

“Jadi, pihak yang mempunyai kapasiti mengelakkan kemusnahan hanyalah struktur supranasional seperti konglomerat global atau sebuah kerajaan dunia tunggal. Oleh sebab itu, kuasa dan pengaruh negara-negara bangsa haruslah diperkecilkan,” kata sumber. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN