KEDATANGAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perlis, Isnin lalu disambut penuh mesra oleh Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli. Di kesempatan sama, Mohd. Shukri menaiki kereta bersama Anwar selepas menjemput Perdana Menteri di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar.
Mohd. Shukri juga bersama Anwar dalam pertemuan dan sembah mengadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau sebelum menghadiri Majlis Amanat Perdana Menteri bersama penjawat awam negeri di Dewan 2020, di Kangar.
Pendekatan lebih terbuka, sederhana dan lembut ditunjukkan Menteri Besar yang mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri itu cukup positif dalam mengeratkan lagi hubungan kerajaan negeri dan Pusat.
Malah, Anwar sendiri mengakui Mohd. Shukri seorang Menteri Besar yang lebih sederhana dan lembut selain memberi jaminan akan memberi lebih tumpuan kepada negeri itu khususnya dari aspek membantu mengukuhkan ekonomi.
Perdana Menteri dalam ucapannya di hadapan penjawat awam turut memaklumkan bahawa mesyuarat Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) akan diadakan di negeri ini sekali gus memberi kesempatan kepada kerajaan negeri berhubung dengan lebih dekat mengenai pelaksanaan projek-projek sekali gus membantu merancakkan ekonomi Perlis.
Anwar juga meminta kerajaan negeri menggunakan kesempatan pada mesyuarat tersebut agar jentera negeri dan Pusat berunding mengenai potensi-potensi projek yang boleh dilaksanakan di negeri ini.
Kata Perdana Menteri, beberapa projek seperti Pelabuhan Sanglang, Pelabuhan Darat Perlis (PIP) dan projek sekuriti makanan iaitu antara hal-hal yang akan diberikan tumpuan.
“Hubungan Kerajaan Persekutuan dan negeri boleh dieratkan meskipun berlainan fahaman dan parti politik. Kerjasama tersebut akan memberi tumpuan kepada program-program yang memberi kepentingan kepada rakyat dan negeri,” kata Anwar.
PROJEK MEGA
Perkembangan tersebut dilihat sangat positif di mana kerajaan Pusat dan negeri mengetepikan perbezaan politik dengan fokus diberi kepada perkara yang memberi kepentingan kepada rakyat melalui kerjasama erat itu. Di pentas politik mungkin boleh bertembung, namun dari aspek pengurusan membabitkan kerajaan Pusat dan negeri, hubungan erat perlu dijalin.
Malah, Tuanku Syed Sirajuddin ketika menerima sembah mengadap Anwar juga berharap sokongan dan komitmen tinggi daripada Kerajaan Persekutuan untuk menyokong kerajaan negeri dalam segala aspek terutama sekali berhubung soal kebajikan dan pembangunan negeri serta rakyat. Selain itu, baginda juga berbincang bersama Anwar berhubung perancangan pembangunan negeri ini khususnya berkaitan projek mega seperti Kawasan Perindustrian Projek Pembangunan Lembah Chuping (CVIA), PIP di Padang Besar dan Jeti Sanglang yang mampu menjadi tonggak pemangkin untuk menaik taraf kesejahteraan rakyat dan sosioekonomi negeri.
Mohd. Shukri dalam ucapannya berkata, Perdana Menteri telah menyatakan komitmen untuk membantu negeri ini semasa pertemuan mereka sebelum ini dan menunaikan janji untuk berkunjung ke negeri ini.
“Bagi sebuah negeri yang keluasannya hanyalah 819 kilometer persegi dengan penduduk seramai 284,000 orang, projek bernilai ratusan juta ringgit sudah boleh dianggap sebagai projek mega.
“Oleh itu, kerajaan negeri sangat mengharapkan pertimbangan dan kelulusan Kerajaan Persekutuan dalam menjayakan projek berimpak tinggi yang dirancangkan,” katanya.
Di akhir ucapan, Mohd. Shukri menjelaskan, beliau percaya Perdana Menteri akan kerap datang ke negeri ini kerana asyik teringat kemesraan dan keramahan orang Perlis.
Begitulah orang Perlis, mesra dan ramah. Sifat tersebut juga ada pada Menteri Besar yang cukup low profile dan sederhana. Semoga hubungan Pusat dan negeri ini terus dieratkan demi kepentingan rakyat.
Sebelum pulang, Anwar sempat menikmati laksa Kuala Perlis yang cukup sinonim dan popular di negeri ini. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.










