PENGUNDI di enam negeri yang bakal menghadapi pilihan raya negeri (PRN) pasti memerhati dengan mata tajam dan telinga gajah rentak Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bermula Rabu ini.
Apakah masih dengan cerita dan gaya lama dengan perbahasan usul terus berbaur humornya, Dewan Merdeka sekadar medan meraih tepuk sorai perwakilan dan pulangnya ke negeri masing-masing melepaskan batok di tangga? Atau sepanjang tiga hari berhimpun, cukup konkrit dihujani idea, kaedah dan jalan terbaik untuk bangkit semula?
Untuk pulih daripada kesuraman akibat sekadar meraih 26 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum (PRU) tempoh hari, UMNO kena berpijak di bumi nyata. Tidak perlu beretorik, segalanya perlu berlandaskan fakta dan data.
Enam dekad menempuh kejayaan yang panjang membangunkan negara yang dikecapi rakyat, UMNO tiba-tiba dibadai gelora bermula 2013 lagi. Berdikit-dikit jenama yang dibawanya kusam tanpa banyak dimajukan bersesuaian tuntutan zaman dan pola pengundian. Era pemimpin UMNO dalam kalangan guru sudah lenyap. Dalam kalangan profesional dan bijak pandai pun senyap.
Ada mendakwa, UMNO di peringkat tertentu dipimpin oleh ketua yang berlagak seorang ‘ahli perniagaan sekelip mata.’ Pernah ada ketua bahagian jual kuota pekerja asing. Ada ketua bahagian kaut projek mega kerajaan. Ada ketua bahagian dapat AP (permit import) kereta. Ada menyebut, budaya dalam UMNO percaya untuk menggerakkan parti mesti ada wang.
Bila ada keistimewaan menjadi wakil rakyat di kerusi Parlimen, Dewan Undangan Negeri, ketua bahagian atau ketua cabang, maka rasa mahu duduk lama. Tidak mahu lepaskan jawatan kepada muka baharu. Caranya dengan sekat orang lebih cerdik daripada dia. Maka dipilihlah hanya yang ‘suam-suam kuku’ menjadi ahli jawatankuasa bahagian. Semuanya kerana mahu menjamin kedudukannya kekal.
SISTEM ‘CHAI’
Akibatnya rakyat marah dengan ketua bahagian yang bukan lagi menjadi jentera rakyat turun ke padang. Sebaliknya mengejar projek untuk menyuap habuan ke setiap sayap cawangan. Mengecewakan lagi, ada sayap parti bukan lagi bertindak penggerak rumah ke rumah. Amalan khidmat bakti sudah dikesampingkan.
Yang sayap mudanya bukan lagi sebagai pendesak yang lantang di jalan raya. Bukan lagi sebagai pemikat anak muda yang menyertai kumpulan besar Undi18. Sebab ada yang gila duit, gila projek.
Secara tersurat, tulang pentadbiran parti tertentu disusun hingga secara materialistik. Sistem di peringkat tertentu akhirnya merosakkan parti. Struktur organisasi juga menggalakkan rasuah politik. Apatah lagi apabila sistem undian parti itu masih mengamalkan kaedah purba – mengizinkan sistem ‘chai’ yang kian lama berleluasa. Apa itu chai? Ia lebih kepada sistem undian yang cincai.
Perwakilan tidak tahu siapa yang mereka undi. Mereka sudah disiap-siagakan dengan senarai nombor yang harus mereka pilih. Siapa yang menentukan set chai ini? Bagaimana nama ingin dimasukkan dalam set chai ini? Pastinya lobi-melobi melalui ‘wang ringgit ke syurga.’
Bila ada pemilihan, maka adalah politik wang. Wang telah menewaskan ramai cerdik pandai yang ingin membantu parti-parti Melayu. Kerana itu, pemimpin perlu bersederhana dalam apa jua perilaku dan tindak-tanduknya.

ARUS BAHARU
Kesan sistem kebobrokan ini, parti hilang segalanya. Tiada lagi pemimpin orator. Tiada lagi cerdik pandai. Tiada lagi agamawan yang ikhlas di pentas. Tiada lagi pemimpin sejati. Tiada lagi apa-apa. Yang tinggal hanya pemimpin yang kurang serba-serbi.
Cuba belajar daripada parti-parti lain bagaimana mereka bertahan sebagai pembangkang. Hitungkan, berapa sangatlah ahli mereka? Berapa ramai pula undi mereka? Ahli mereka tidak sampai sejuta, tapi mereka dapat undi majoriti rakyat Malaysia.
UMNO perlu pandai merenangi arus baharu. Berpakat dengan kumpulan baharu menerusi kerajaan perpaduan antara pendekatan ‘ekstrem’ UMNO yang kesannya hanya boleh dilihat seawal setahun ini.
Tak mengapa, lakukanlah sesuatu yang melanggar tradisi kerana sudah tiba masanya perlu berani lakukan perubahan. Hatta, pakatlah dengan saluran-saluran baharu yang lebih segar.
Harus diakui, hari ini kelihatan tidak ada keazaman politik oleh parti-parti Melayu untuk satukan bangsanya. Semuanya ‘gebang besar.’ Ada parti Melayu yang tampak besar, malangnya berlaku pecahan dalaman pula. Pecah dua sehingga tiga pun. Soal perpaduan tidak dapat diperoleh oleh mana-mana parti Melayu.
Perahu UMNO ‘barangkali’ sudah berada di air. Dayung sudah di tangan, ayuh kayuhlah dengan cermat dan hati-hati supaya selamat sampai ke seberang. Bila berjalan, jangan sentiasa mendongak ke langit. Pandanglah sesekali ke bawah supaya tidak terhantuk kaki terkena akar kayu yang melintang. Bila sudah sampai ke seberang, jangan lupa pangkalan tempat mula berkayuh.
Jika parti-parti Melayu sedia ada hari ini lemah, yang ruginya nanti orang Melayu dan Malaysia keseluruhan. Ada benarnya akan kata-kata, orang Melayu kini menjadi ‘minoriti’ kerana berpecah kepada lima parti teras Melayu walaupun mereka adalah 60 peratus warga negara ini.
Justeru, PAU yang akan berlangsung dari Rabu hingga Jumaat ini harus dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para perwakilan. Antaranya, fokuskan perbahasan pasal kerjasama UMNO-DAP. Suatu pendekatan bijaksana atau percaturan politik semata-mata?
Pas dan Bersatu telah melakukan kerjasama dengan DAP, tetapi gagal. Mungkinkah lain pula ceritanya kali ini kerjasama DAP-UMNO atas faktor perpaduan kaum? Lantas juga atas bukti sokongan majoriti masyarakat Cina sebenarnya tertuju kepada DAP, bukannya kepada MCA. Cakap salah tak cakap salah, jadi semua serba salah. – UTUSAN











