Mereformasi sistem pemerintahan negara

Mereformasi sistem pemerintahan negara

SEMUA gabungan politik yang membentuk kerajaan perpaduan memeterai perjanjian persefahaman bagi mewujudkan masyarakat adil dan negara demokratik yang progresif, inklusif serta bersatu padu. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN dalam tempoh singkat sejak Presiden PKR merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 (PM10) di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 November lalu, sebenarnya sudah banyak perkara baharu dirancang dan dilaksanakan oleh pentadbiran kerajaan perpaduan sehingga menimbulkan suasana baharu yang lebih menjanjikan dalam kehidupan rakyat jelata.

Kerajaan perpaduan ini juga tidak mengganggu para penjawat awam, malah hubungan dieratkan, khususnya dengan lantikan Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr. Farizah Ahmad sebagai Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di mana lantikan Farizah yang terbukti berkesan selaku penjawat awam sekali gus ketua kepada semua pegawai dan staf di Pejabat Perdana Menteri pastilah akan melicinkan lagi perjalanan dan kebersihan kerajaan perpaduan berbanding lantikan politik yang dibuat sebelum ini.

Malangnya, ada dalam kalangan ahli Parlimen pembentuk kerajaan ini yang tiba-tiba berkata kononnya beliau ‘malu pada diri sendiri’ dan ‘berasa tewas ketika menang tanpa integriti seperti ini’ atas dakwaan bahawa kerajaan perpaduan ini kononnya ‘menggadai prinsip demi kuasa’ menyebabkan ‘perubahan hakiki yang kita panggil reformasi’ akan sukar dibawa.

KELIRU

Ada pula sesetengah daripada kita yang menganggap PKR adalah sebuah parti yang ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib Anwar yang dizalimi sejak dari beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 4 September 1998 dan perjuangan PKR dikira sudah tercapai sebaik sahaja beliau mengangkat sumpah jawatan PM10 pada 24 November lalu. Mereka semua adalah golongan yang keliru kerana pembentukan kerajaan perpaduan bukanlah sesuatu kemenangan tanpa integriti atau penggadaian ke atas prinsip, sebaliknya satu kemenangan penuh berintegriti selaras dengan tujuan utama penubuhan PKR, iaitu untuk mereformasikan sistem pemerintahan negara, bukannya memperjuangkan nasib seorang.

Sebenarnya walaupun PH hanya menang 82 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berbanding kemenangan 113 kerusi dalam PRU14, kemenangan PRU 15 ini adalah lebih hakiki sifatnya kerana ia digantungkan kepada kekuatan tarikan gerakan reformasi semata-mata, bukannya mana-mana tokoh lain.

Masih diingat pengalaman pahit PRU14 bilamana peranan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kejayaan PH diangkat terlalu tinggi disebabkan kedudukan beliau selaku Pengerusi PH waktu itu sedangkan parti beliau, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya memenangi kerusi Parlimen paling sedikit dalam PH, iaitu 10 dan beliau sendiri hanya menumpang kebangkitan rakyat pada saat-saat akhir.

Sedangkan jika diteliti secara lebih mendalam perkembangan politik Malaysia, kejayaan PH dalam PRU14 sebenarnya berakar umbi daripada pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Dr. Mahathir pada 4 September 1998 lagi di mana peristiwa ini menjadi titik tolak kepada tuntutan supaya sistem pemerintahan negara direformasi.

ZALIM

Begitupun, masih ada dalam kalangan pendukung gerakan reformasi waktu itu seperti Hishamuddin Rais yang terlalu terpesona dengan sosok tubuh Dr. Mahathir sehingga menyebut pada 22 Mei 2018 bahawa kemenangan PH dalam PRU 14 adalah kerana faktor Dr. Mahathir di mana anak semua bangsa beralih memilih PH apabila Dr. Mahathir menerajui pucuk pimpinan.

Atas kesilapan ini, maka Dr Mahathir diberi kuasa penuh sehingga pada akhirnya PKR dilihat tertipu dan dipergunakan untuk memenuhi impian peribadi beliau tanpa hasrat untuk mereformasikan sistem pemerintahan negara dengan memberikan terbatas dalam kerajaan kepada PKR dan dengan memungkiri janji peralihan kuasa sebagai Perdana Menteri kepada Anwar.

Sebab itulah bila Dr. Mahathir dan seluruh calon parti beliau, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kehilangan wang deposit dalam PRU15, manakala Anwar dan PH menjadi pemenang terbanyak kerusi, maka ini menjadi bukti jelas Dr. Mahathir bukanlah punca kemenangan PH dalam PRU14 sekali gus menjadi bukti tindakan zalim Dr. Mahathir dahulu kini terbukti sesuatu yang ditolak.

Pembentukan kerajaan perpaduan bukanlah sesuatu kemenangan tanpa integriti atau penggadaian ke atas prinsip kerana prinsip gerakan reformasi yang terkandung dalam cogan perjuangan PKR, iaitu ‘keadilan untuk semua’ serta tujuan dan matlamat perjuangan utama PKR, iaitu ‘mewujudkan masyarakat adil dan negara demokratik yang progresif serta bersatu’ itu kekal.

Selaras dengan prinsip demokratik, Anwar selaku Pengerusi PH yang memenangi kerusi terbanyak dalam PRU14 selayaknya diberi ruang utama untuk membentuk kerajaan, apatah lagi selepas Yang di-Pertuan Agong sendiri menitahkan supaya kerajaan perpaduan ini terbentuk, ditambah pula dengan mandat daripada perbincangan khas raja-raja Melayu pada 24 November lalu. Tidakkah ini selaras dengan prinsip PKR-PH yang menjunjung institusi beraja?

KPI

Jika dikatakan kerjasama dengan UMNO/BN itu adalah penggadaian ke atas prinsip, ia tidak begitu kerana jika dilihat di dalam manifesto PRU14, UMNO/BN sebenarnya yang kini telah mengakui keampuhan prinsip perjuangan PKR-PH dengan menyenaraikan bahawa ia juga kini akan memastikan keseimbangan dan keadilan sosial melalui peralihan daripada dasar berasaskan kaum kepada berasaskan keperluan (needs-based policy).

Lebih signifikan lagi, semua gabungan politik yang membentuk kerajaan perpaduan ini juga telah memeterai satu perjanjian persefahaman pada 16 Disember lalu yang sebahagian besarnya adalah berteraskan kepada inti pati perjuangan gerakan reformasi, termasuk untuk mewujudkan masyarakat adil dan negara demokratik yang progresif, inklusif serta bersatu padu berlandaskan acuan Malaysia dan berteraskan prinsip Rukun Negara.

Sehubungan itu, tindakan Anwar mengadakan sesi permukiman bersama barisan jemaah menteri bagi membincangkan soal hala tuju dan menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) setiap kementerian semalam adalah satu langkah tepat dalam memastikan agenda reformasi yang menjadi teras kepada perjuangan PKR-PH akan sentiasa terpelihara dan terlaksana. – UTUSAN

PENULIS ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau; bekas Penolong Setiausaha Agung PKR, dan pelajar ijazah doktor falsafah di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×