KETIKA negara sedang menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, pembentangan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dalam sidang khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos lalu mencuri perhatian masyarakat dan mewarnai suasana semasa negara.
Hal ini segera menginsafkan kita bahawa selepas hampir tujuh dekad merdeka, kemerdekaan bukan sekadar mengenang detik negara bebas daripada penjajahan. Ia turut menuntut keberanian untuk membebaskan institusi negara daripada salah urus, ketirisan, konflik kepentingan, campur tangan tidak wajar dan budaya menyembunyikan kebenaran.
Negara mungkin telah lama merdeka secara politik. Namun, nilai kemerdekaan belum sempurna jika tata kelola institusi tidak diurus dengan amanah, teguran profesional diketepikan dan kelemahan institusi tidak diperbaiki.
RCI meneliti pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020. Laporan yang dinyahklasifikasikan pada 29 Julai lalu mengemukakan 25 syor penambahbaikan. Kerajaan memaklumkan kira-kira 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan.
Kedudukan semasa turut menunjukkan pemulihan apabila TH mengumumkan agihan keuntungan 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025.
Namun, masyarakat tidak seharusnya berhenti pada kadar keuntungan atau peratusan syor yang telah dilaksanakan. Persoalan lebih besar ialah apakah pengajaran yang perlu diambil agar institusi berkepentingan awam tidak berulang-ulang dirodok kelemahan serupa.
SIMPANAN RAKYAT ADALAH AMANAH
TH ialah institusi kewangan yang amat dekat dengan kehidupan rakyat. Khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Setiap ringgit yang disimpan membawa bersama pengorbanan dan harapan untuk menunaikan Rukun Islam kelima. Menyimpan hasrat untuk menyaksikan dan menatap sendiri Kaabah di hadapan mata.
Sebahagian besar pendeposit menabung sedikit demi sedikit daripada hasil bertani, berniaga, bekerja atau wang persaraan.
Oleh itu, pengurusan dana TH bukan hanya urusan pihak pengurusan, ahli lembaga atau kerajaan. Ia merupakan amanah umat yang menuntut kejujuran, kecekapan dan ketelusan pada tahap tertinggi.
Prinsip tersebut bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’, ayat 58 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.”
Ayat ini mengingatkan amanah awam hendaklah dipertanggungjawabkan kepada mereka yang layak, manakala setiap penilaian dan tindakan mestilah dilaksanakan secara adil.
Dalam hal ini masyarakat mempunyai hak untuk memahami dan mengetahui kedudukan kewangannya, asas keputusan pelaburan, risiko yang ditanggung dan tindakan pembetulan yang dilaksanakan.
Paling penting masyarakat perlu meningkatkan literasi kewangan dan tidak menilai prestasi TH berdasarkan kadar hibah semata-mata. Rupa-rupanya pulangan tinggi tidak semestinya mencerminkan kedudukan kewangan yang benar-benar kukuh.
Kita perlu bertanya sama ada keuntungan disokong oleh pendapatan sebenar? Aset nya sihat? Rizab nya mencukupi? Aliran tunai nya mampan? Adakah berbaloi pulangan menarik dalam jangka pendek tidak jika risiko besar sedang dipindahkan kepada masa depan?
CAKNA BUKAN BERERTI MENGHUKUM
Dalam membicarakan RCI TH, kita tidak berniat menghukum mana-mana individu atau mendahului keputusan pihak berkuasa. RCI ialah mekanisme pencarian fakta dan pengemukaan syor.
Namun, menghormati proses undang-undang tidak bermakna masyarakat perlu berdiam diri atau tidak mengambil tahu.
Cakna bukan bererti menuduh, bertanya bukan bermaksud memfitnah. Menuntut penjelasan pula tidak seharusnya membawa kepada kebencian atau penolakan terhadap institusi. Sebaliknya, semua itu merupakan sebahagian daripada proses mematangkan dan mencerdaskan masyarakat, meskipun ada kalanya kebenaran itu perit untuk diterima.
Sebagai warganegara yang matang, maju dan berpendidikan, kita wajar membaca laporan daripada sumber yang sahih, memahami fakta, mengikuti perkembangan siasatan dan mengambil pengajaran daripada kelemahan yang dikenal pasti.
Dalam menyatakan kebimbangan atau rasa tidak puas hati, masyarakat juga perlu kekal tenang, rasional dan menghormati undang-undang. Jalan kasar, tindakan radikal atau penghukuman melalui emosi tidak akan membantu proses pembaikan.
Malah boleh menjejaskan ketenteraman serta menghakis ruang perbincangan yang sihat. Kematangan warganegara terserlah apabila teguran disampaikan secara beradab, berfakta dan melalui saluran yang sah.
Laporan RCI juga tidak seharusnya dijadikan semata-mata bahan pertarungan politik. Masyarakat perlu menilai fakta secara rasional. Bukan memilih naratif berdasarkan kecenderungan kepartian. Sikap yang seimbang adalah menolak fitnah tetapi terus menuntut ketelusan, pembaharuan dan tindakan undang-undang sekiranya kesalahan dapat dibuktikan.
KEMERDEKAAN INSTITUSI
Masyarakat perlu menyokong prinsip bahawa institusi berkepentingan awam mesti dipimpin oleh individu yang berintegriti, bebas dan berkeupayaan. Keanggotaan lembaga bukan hadiah politik, kedudukan kehormatan atau tempat mengumpulkan jawatan.
Semangat kemerdekaan menuntut institusi negara turut ‘dimerdekakan’ daripada kepentingan sempit. Generasi terdahulu berjuang membebaskan tanah air daripada penguasaan asing. Tanggungjawab generasi hari ini pula ialah membebaskan institusi daripada rasuah, ketamakan, salah guna kuasa dan budaya membisu.
Patriotisme tidak seharusnya diukur hanya melalui kibaran Jalur Gemilang. Patriotisme perlu diterjemahkan melalui kibaran nilai-nilai integriti. Antaranya kesediaan mempertahankan wang rakyat, menolak ketirisan, menuntut ketelusan dan memastikan institusi negara dipimpin oleh mereka yang layak.
Hari Malaysia pula mengingatkan kita negara ini dibina atas semangat kebersamaan dan kepercayaan. Walaupun TH memberikan perkhidmatan khusus kepada umat Islam, prinsip amanah, integriti, profesionalisme dan pertanggungjawaban adalah nilai sejagat yang penting kepada seluruh rakyat Malaysia.
MALAYSIA YANG MAHU DIWARISKAN
Masyarakat boleh menarik sedikit nafas lega dengan kenyataan 75 peratus syor RCI telah dilaksanakan. Namun kita berhak mengetahui syor yang masih tertangguh, tempoh pelaksanaan dan pihak yang bertanggungjawab.
Tujuannya bukan untuk terus mempersoalkan siapa yang patut dipersalahkan. Yang lebih penting ialah memastikan kelemahan sama tidak berulang dan pembaharuan benar-benar berlaku serta mengubah budaya organisasi.
Kita tidak mengharapkan Malaysia yang tidak pernah melakukan kesilapan kerana tiada institusi yang sempurna. Sebaliknya, kita mengharapkan negara yang berani mengakui kelemahan, telus melakukan pembetulan dan bersungguh-sungguh mencegah kesilapan daripada berulang.
Di sebalik segala kelemahan yang dibincangkan, kita perlu terus meletakkan keyakinan terhadap masa depan Malaysia. Keyakinan itu bukan bererti menafikan masalah tetapi mempercayai bahawa negara ini mampu belajar, memperbaiki institusi dan menjadi lebih baik apabila rakyat serta pemimpinnya memilih jalan pembaharuan yang matang dan bertanggungjawab.
Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, RCI TH memberikan makna tambahan kepada kemerdekaan. Kita tidak berniat mendahului mahkamah atau menghukum sesiapa. Kita hanya mahu belajar daripada pengalaman lalu untuk membina masa hadapan yang lebih baik. -UTUSAN
PROFESOR Madya. Dr. Lutfan Jaes ialah Pensyarah (Profesor Madya) Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).










