Menjelaskan dasar awam Kerajaan Perpaduan - Utusan Malaysia

Menjelaskan dasar awam Kerajaan Perpaduan

KERAJAAN Perpaduan diketuai Anwar Ibrahim. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hampir dua bulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan. Selepas keputusan PRU15 diperoleh, kemelut pembentukan kerajaan timbul. Segalanya terjawab apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan PM ke-10 pada 24 November lalu. Ekoran itu, pasaran saham tempatan melonjak ketara dan ringgit menunjukkan prestasi positif pada hari berkenaan.
Kelihatan ada sinar menanti hari esok. Ketika negara dilanda krisis kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan seperti telur ayam dan minyak masak, pengumuman senarai menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan yang mengangkat sumpah pada 3 Disember 2022 dilihat mempunyai tugas berat kerana di bahu mereka segala harapan rakyat perlu dipikul.
Kali ini saya cuba untuk membicarakan dimensi Kerajaan Perpaduan dalam konteks dasar awam. Apakah bentuk dasar dan rancangan yang sedang dirangka Anwar dan Kabinetnya dalam menangani krisis ekonomi, kenaikan harga dan kemelut bekalan makanan?
Persoalan utama di sini, bagaimana Kerajaan Perpaduan menterjemahkan manifesto PRU15 khususnya bagi Pakatan Harapan (PH) ke dalam bentuk dasar awam?
Terdapat 10 keutamaan dalam manifesto PH, iaitu (1) tangani isu kos sara hidup; (2) perangi rasuah dan kukuhkan institusi demokrasi; (3) perkasa peluang ekonomi belia dengan teroka sektor manusiawi; (4) selamatkan generasi tercicir; (5) bina ketahanan bencana dan mantapkan perlindungan; (6) tangani isu doktor kontrak dan jamin kebajikan penjawat kesihatan; (7) tangani isu ketaksamaan gender dan perkasa sosioekonomi wanita; (8) perkasa wilayah Sabah dan Sarawak; (9) tingkatkan daya saing setiap rakyat Malaysia khususnya golongan rentan; dan (10) pelihara khazanah alam demi anak cucu kita.
Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan menterjemahkan manifesto pilihan raya kepada dasar awam. Hal ini kerana dasar awam adalah suatu keputusan utama dalam proses melaksanakan pentadbiran negara. Dalam manifesto PH itu, perkara pertama dan ketiga perlu diberi keutamaan sebagai asas dalam pembentukan dan pembangunan semula ekonomi Malaysia.
Justeru, Kerajaan Perpaduan perlu ada kenyataan rasmi dalam bentuk dasar awam yang jelas untuk menangani isu sosioekonomi.
Bukan senang hendak membangun dan memulihkan ekonomi Malaysia yang sudah pun merosot sebelum ini dan terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Tidak perlu menunggu hari ke-100 pelantikan Anwar sebagai selaku PM baharulah pelbagai dasar dan program berkaitan pembangunan sosioekonomi dapat diumumkan.
Keresahan, kesulitan dan keraguan dalam kalangan rakyat perlu ditangani segera. Walaupun kerajaan mengumumkan untuk diawalkan tarikh pembayaran Bantuan Tunai Rakyat (BTR) 2023 Fasa 1 pada bulan ini, ia bukan jaminan rakyat yakin terhadap keberkesanan dan kecekapan kerajaan menangani masalah mereka.
Bagi menteri Kabinet – mewakili PH atau BN – segala kritikan dan tohmahan kepada kerajaan sebelum ini perlu diterjemahkan ke dalam bentuk dasar awam yang dapat memberi gambaran mengenai kesungguhan dan iltizam mereka membangunkan negara dari segenap sudut. Sudah tiba masanya mereka membuat kerja, kurangkan bercakap dan bukan hanya tahu menghentam.
Sudah sebulan Kabinet diumumkan, tidak ada kenyataan jelas dan bersifat komprehensif mengenai dasar-dasar yang bakal dilaksanakan dalam konteks sosioekonomi, fiskal dan kewangan daripada mana-mana menteri Kabinet.
Mereka masih berinteraksi dan memberi pernyataan dalam konteks yang sama berbanding kerajaan sebelum ini. Mereka masih berhujah atau berdebat seperti pembangkang.
Mentaliti jika sebelum itu perlu diubah kerana kini mereka adalah aktor utama dan rasmi pembuatan dasar awam dalam Kerajaan Perpaduan.
Oleh itu, menteri Kerajaan Perpaduan perlu keluar dari kepompong dan bayang-bayang kerajaan sebelum ini dengan memiliki tanda label atau trademarks tersendiri. Mereka perlu lebih kompeten dalam membawa cabaran dan tugas yang digalas di bahu mereka.
Ini adalah petunjuk prestasi utama (KPI) awal mereka kerana Kerajaan Perpaduan bakal mendepani cabaran dalam pilihan raya di beberapa negeri tahun ini.
Jika mereka gagal dan KPI tersasar, tidak mustahil Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan Negeri Sembilan jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN). Mereka juga sukar memberi cabaran kepada PN di di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Jika silap percaturan, PH boleh tumbang di Pulau Pinang.
Saya ingin melihat Kerajaan Perpaduan dapat mengetengahkan perancangan dasar yang komprehensif dan realistik untuk membangunkan negara. Tanpa perancanga sistematik, kualiti menteri Kabinet juga boleh dipertikai. Kita tidak mahu menang sorak, tetapi maruah tergadai.
Ini adalah ruang dan peluang terbaik dan kali kedua kepada PH selaku tulang belakang Kerajaan Perpaduan.
Kejatuhan PH setelah memerintah 22 bulan selepas PRU14 bukan disebabkan kualiti, tetapi konspirasi. Tetapi, PH kena ingat jangan sampai pisang berbuah dua kali. Awas! Siapa lawan dan siapa kawan.
Pengenalan dasar awam yang komprehensif dan realistik mampu mengubah persepsi terhadap PH dan kepimpinan Anwar.
Diharapkan selepas permukiman itu nanti, menteri Kabinet dapat menggariskan pelbagai perancangan dalam konteks dasar awam bersesuaian dengan orientasi keperluan pemegang taruh yang semakin mencabar.

Dr. Malike Brahim ialah Perunding Kanan MB Global Political Analysis and Academic Consultancy.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya