Kerjasama, jaga adab politik asas kestabilan Kerajaan Perpaduan

Kerjasama, jaga adab politik asas kestabilan Kerajaan Perpaduan

Tindakan Tengku Zafrul Abdul Aziz keluar daripada UMNO dan berhasrat mahu menyertai PKR akan menguji hubungan kedua-dua parti itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: UMNO negeri mengingatkan asas utama kestabilan Kerajaan Perpaduan ialah atas rasa hormat terhadap semangat kerjasama dan adab politik yang telah disepakati bersama.

Pengerusi Badan Perhubu­ngan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, budaya lompat parti, bersilang kesetiaan atau mencari peluang ketika gelombang berubah hanyalah mempamerkan kerapuhan prinsip dan kegagalan memegang amanah perjuangan.

Menurutnya, kestabilan tidak boleh diperdagangkan atas ke­pentingan peribadi atau nafsu politik jangka pendek.

“Dalam menghadapi cabaran dan godaan politik semasa, prinsip kesetiaan, disiplin dan integriti mesti kekal menjadi tiang seri kekuatan parti.

“UMNO Perlis kekal komited­ memperkukuh kekuatan dalaman parti, menjadi suara rak­yat yang konsisten serta menyokong kerajaan Perpaduan secara matang, beradab dan penuh tanggungjawab bukan menjadi pencatur agenda peri­badi merosakkan kestabilan yang sedang dibina bersama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sebelum itu, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dilapor­kan meninggalkan UMNO kerana mahu menyertai PKR sekali gus mencetuskan tidak puas hati dalam kalangan pemimpin dan akar umbi UMNO.

Berikutan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa beliau tiada masalah de­ngan keputusan Tengku Zafrul itu, namun adalah tidak beretika untuk mana-mana parti di dalam kerajaan Perpaduan menerima daripada parti sekutu yang lain.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pula menegaskan perkara sama adalah amat tidak wajar untuk mana-mana parti dalam kerajaan Perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti lain.

Kata Asyraf Wajdi, ia bagi mengelak berlakunya ketidakharmonian dalam kalangan parti dalam gabungan kerajaan Perpaduan sehingga tercetus prejudis dan prasangka berterusan mengenai tahap setiakawan, keikhlasan serta kejujuran dalam kalangan ahli akar umbi.

Tambah Rozabil, UMNO Perlis yakin selagi adab politik dipelihara dengan ikhlas bakal menjamin masa depan politik lebih stabil, bermaruah dan memberikan manfaat sebenar kepada rakyat.

Katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau, kestabilan yang dinikmati ketika ini penuh dengan pengorbanan dan jangan diruntuhkan hanya kerana kerakusan segelintir pihak.

“Kita juga menyeru seluruh ahli parti agar terus teguh, berjiwa besar dan tidak mudah terpedaya dengan janji manis yang bersifat sementara. Masa depan UMNO bergantung pada ketulenan kesetiaan, keikhlasan perjuangan dan keteguhan prinsip, bukan pada permainan licik politik berkepentingan diri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN