Tangkap pemimpin Kerajaan Perpaduan jika curi duit rakyat

Tangkap pemimpin Kerajaan Perpaduan jika curi duit rakyat

ANWAR Ibrahim melawat pameran pada Program MADANI Rakyat 2025 Perak di Lumut hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap pemimpin yang melakukan rasuah dan tetap akan mengambil tindakan sekali pun mereka merupakam pemimpin Kerajaan Perpaduan 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak menghalang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan tangkapan setiap hari terhadap pemimpin jika mereka didapati melakukan rasuah.

“Saya tidak akan bertolak ansur (rasuah). Tatakelola kena betul, bagi projek tanpa tender kena berhenti, yang sakau sana sini tak boleh.

“Biar SPRM geledah habis, tangkap hari-hari pun saya tidak peduli, saya tak halang.  Ini kata nak tangkap di Sabah, tangkaplah, orang Kerajaan Perpaduan sekali pun tangkaplah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perasmian penutup Program Madani Rakyat 2025 Perak di Lumut Waterfront di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Perdana Menteri dalam pada itu mengulangi ketegasan untuk mendapatkan semula wang kerajaan yang dicuri termasuk daripada bekas pemimpin negara yang sudah bersara.

Menurutnya, usaha tetap akan dijalankan untuk mengutip semula wang negara yang hilang akibat perbuatan rasuah tanpa mengira siapa pun bekas pemimpin tersebut.

“Yang sudah pencen pun kalau betul dia curi, tangkaplah. Kalau betul dia curi, mantan-mantan menteri yang curi berbilion-bilion. 

“Mungkin ada yang kata kasihan kerana dia sudah tua. Ya, saya pun kasihan tetapi wang yang diambil dari rakyat, bagi baliklah.

“Kalau tidak macam mana saya hendak bina sekolah, kalau hak dia berniaga dengan baik, tidak mengapa tetapi kalau bukan hak dia, saya hendak kutip balik.

“Saya akan kutip balik daripada siapa sahaja yang curi dari negara ini. Itu dasar kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN