Mengejar merit Melayu tinggi - Utusan Malaysia

Mengejar merit Melayu tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARI kita orang Melayu, tidak kira apa saja status sosial, bertekad menjadikan Tahun Baharu 2023 suatu lonjakan diri untuk mengubah nasib diri ke arah lebih baik.
Tidak perlu susah-susah memikirkan istilah-istilah ‘memenangkan’ Melayu yang manis di bibir, sedangkan empunya diri tidak ada apa dapat dibanggakan.
Ya, yang perlu diingati ialah setakat mempunyai hak-hak keistimewaan yang terkandung pada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan atau setakat kedaulatan terhad Raja-Raja Melayu (Per. 38 dan 181), bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Per. 152), perkhidmatan awam yang majoriti Melayu serta agama Islam sebagai agama rasmi negara.
Ini semua belum menjamin kekuatan semula jadi, jauh sekali mendaftarkan ketuanan Melayu itu sendiri. Maka itu kita mesti kuat dari segi politik. Bila kuasa di tangan, harus pandai menggunakannya dengan bijak. Ketuanan akan datang dan kekal jika kuasa politik kukuh dan terus membela bangsa sendiri. Cuma malangnya kekukuhan dan ketuanan bukan komoditi yang mudah diperoleh dengan hanya laungan. Ia akan hanya datang dan berada di sisi apabila perjuangan itu luhur dan tidak kotor.
EGO POLITIK
Ketuanan sesuatu kaum atau supremacy sesuatu masyarakat tidak boleh dipergantungkan sangat lantaran sifat itu lebih merupakan perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan perlembagaan negara. Laungan ketuanan Melayu itu seharusnya dilihat dari sudut ilmu, kebolehan dan kemampuan merit. Misalnya, dedikasi terhadap tugas dan tanggungjawab dan disiplin politik. Kalau kita beli undi untuk jadi ketua bahagian atau hendak jadi pemimpin dalam parti, bagaimana kita boleh kata kita tuan?
Sebagai warga asal, orang Melayu dan peribumi memang boleh mendabik dada jika sifat-sifat tinggi peradaban tersebut terlengkap pada diri pemimpin dan yang dipimpin. Bila ini terbukti, dengan sendirinya orang Melayu dan kaum peribumi akan dilonjakkan oleh masyarakat Malaysia. Tetapi sekadar melaungkan Melayu tuan kepada sekalian yang lain, barang sudah tentu akan menyulitkan perjuangan itu sendiri.
Kita akui Melayu dan peribumi memang mempunyai kelebihan dari segi bilangan penduduk dan hak-hak tertentu di negara ini. Namun kekuatan politik orang Melayu sendiri sudah terhakis akibat berpecah belah dek terlampau banyak parti Melayu. Jika kekuatan politik orang Melayu dapat disatukan atau sekurang-kurangnya satu dua parti Melayu terbesar itu sendiri diperkasakan perjuangannya, Insya-Allah sudah tentu bangsa akan menjana kuasa yang lebih besar. Bila itu berlaku bolehlah ditepuk dada ditanya selera. Nanti orang lain yang akan mengatakan bahawa Melayu adalah tuan di negara mereka.
Ini bermakna keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera bukanlah tanpa sempadan dari segi realitinya. Justeru, keistimewaan itu harus dilampini dengan perolehan dan kepakaran ilmu secara berterusan. Ekonomi Bumiputera seharusnya kini melebihi paras 30 peratus dari segi perolehan aset. Malangnya Bumiputera masih dikatakan berada di tahap kurang dari 20 peratus. Mungkinkah kaedah dan cara kita membuat perkiraan silap? Mungkin juga kaedah pengumpulan data tidak memasukkan fakta-fakta wajib yang lain.
TERSINGGUNG
Sebagai warga Malaysia yang majoriti, tiada salahnya jika cita-cita politik parti Melayu terbesar tempoh hari ingin mencapai 50 peratus atau 60 peratus sejajar dengan populasi negara diwakili Melayu dan peribumi. Dari sudut ini jelas bahawa penggunaan kuasa politik selama ini telah kurang berjaya memperjuangkan kaedah atau mekanisme penyampaian dasar DEB itu walaupun dari segi pembangunan banyak kemajuan dicapai.
Ya, barangkali ada orang Melayu terasa tersinggung dengan luahan-luahan yang mempersenda bangsa mereka. Ada pula yang tak puas hati lantaran tiada tindakan setimpal yang diambil oleh pihak-pihak tertentu bila Melayu dipersenda sedemikian rupa. Tetapi ada pula yang terus dalam keadaan tak kisah dan lantas membiarkan sahaja polemik peribumi ini dipermainkan di arena politik kelompok masing-masing.
Dan dalam persekitaran inilah kita terus berpolemik hari ini. Ayuh! mari kita susur sejarah. Kemudian kita kaji undang-undang negara kita. Akhirnya kita rumuskan apa harus dibuat bagi pihak orang Melayu dan kaum peribumi agar masa depan anak cucu kita tidak kacau. Agar kita dan mereka tidak tercari-cari atau teragak-agak tentang haluan dan kedudukan bangsa.
Bila yang kita bicarakan semua ini dipersoalkan, sebanyak sedikit natijah tidak sempurna mungkin muncul. Orang Melayu dan peribumi akan terasa bahawa sesungguhnya terdapat banyak ketinggalan dan kekurangan yang ada pada diri mereka sendiri.
Maka sebelum dilaungkan ketuanan, keagungan dan sebagainya, muhasabah diri perlu dilaksanakan. Kejarlah merit Melayu itu – arasnya biarlah cita-cita yang melangit.
Dan pokok pangkalnya, kekuatan dalaman perjuangan mesti dicapai kembali supaya para pemimpin Melayu insaf bahawa mencapai dan mengekalkan kuasa harus tertumpu kepada bangsa sendiri terlebih dahulu. – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN