MENATAP sinaran mentari 2023 yang redup menyimbah cahayanya, teringat saya kata-kata mutiara Hamka:
Bangunlah kasih umat Melayu,
Belahan asal satu turunan,
Bercampur darah dari dahulu,
Persamaan nasib jadi kenangan.
Jika rangkap pantun Di Atas Runtuhan Kota Melaka ini menjentik sanubari pembaca, ini kerana ia menyentuh soal yang sangat penting untuk dibincangkan. Itulah dia persoalan nasib bangsa Melayu di tanah air.
Malangnya, di zaman post-truth ini yang sarat dengan pemuja amalan sosialis-liberal songsang, kalau sahaja seseorang itu mula bercakap soal Melayu, maka berlegarlah segala gelaran buruk kononnya si penutur itu rasis, ekstremis dan supremacist.
Kita semua tidak boleh memesongkan hakikat kedudukan Melayu sekarang sedang terancam. Ancaman ini pula datang dari aspek kenegaraan paling penting, iaitu politik. Maksud di sini, kuasa politik orang Melayu sedang diancam.
Soalnya, benarkah kuasa itu sedang diancam? Siapa pula yang memberi ancaman? Apa kesannya jika kuasa politik Melayu diancam?
Bagi menjawab persoalan ini, kita wajar meneliti situasi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Suka atau tidak, hakikatnya adalah PRU15 merupakan perang ideologi. Di satu sudut, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menjulang ideologi nasionalisme, mereka menjadikan perjuangan Melayu-Islam sebagai agenda. Soal retorik atau tidak, itu kita letak ke tepi dahulu tapi begitulah realitinya.
Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) pula sebagai parti liberal-sosialis, mereka cenderung mengangkat perjuangan sama rata, sama rasa antara semua kaum tanpa mengambil kira keutamaan Melayu sebagai penduduk majoriti tanah air.
Buktinya? Dalam perlembagaan DAP, ada 18 matlamat. Dalam kesemua matlamatnya, langsung tidak disebut soal Melayu. Sebaliknya kata kunci mereka adalah demokrasi sosial; rangka kerja sekular; kebebasan beragama sebagai hak asasi; peluang saksama dalam pengagihan kekayaan ekonomi, memperjuangkan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), malah dalam isu pendidikan semuanya haruslah berdasarkan merit semata-mata.
Dalam PRU15, PH yang ada DAP di dalamnya menang 82 kerusi Parlimen. Daripada jumlah itu, PKR 31, DAP 40 dan Parti Amanah Negara (Amanah) lapan diikuti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dua dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) satu.
PN pula 73 kerusi Parlimen dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 30 manakala Pas menang 43.
BN menang 30 termasuk MCA (2), MIC (1) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) satu kerusi.
ETNIK
Baik, di atas adalah jumlah kerusi dimenangi setiap parti. Bagaimana pula jumlah rakyat yang memilih dan mengundi mereka? Berapa ramai orang Melayu yang merupakan kumpulan etnik terbesar mengundi setiap parti?
Menurut laporan portal, gabungan PH-BN yang membentuk kerajaan campuran sekarang cuma meraih 44 peratus sokongan pengundi Melayu. Pecahannya adalah 33 peratus Melayu mengundi BN, manakala cuma 11 peratus pengundi Melayu memangkah PH. PN pula menyaksikan 54 peratus orang Melayu menyokongnya.
Sekarang suara orang Melayu dalam Parlimen yang mana 54 peratus mereka mengundi PN beraliran kanan, kini cuma berada di blok pembangkang. Sedangkan PH yang ditolak Melayu dengan mendapat cuma 11 peratus undi mereka setelah membuat penjajaran dengan BN yang cuma mendapat 33 peratus undi Melayu, kini menjadi kerajaan.
Dengan keberadaan DAP dalam kerajaan sekarang yang jelas langsung tidak memberi keutamaan terhadap orang Melayu dalam perlembagaan parti itu, maka terjaminkah kedudukan dan hak Melayu seperti dipasak perlembagaan?
Tambahan pula dengan segala tawaran untuk memusatkan kuasa, maka Perdana Menteri kini mendapat sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat. Tidak mustahil dengan sokongan sebegitu, maka agenda-agenda yang meresahkan seperti gerrymandering serta perjuangan DAP mengadakan semula pilihan raya PBT akan disokong.
Apakah kesannya terhadap orang Melayu? Tepuk dada tanyalah selera. Dengan gerrymandering atau perubahan sempadan pilihan raya, maka pengundi-pengundi Melayu akan dicaturkan kawasan Parlimen masing-masing supaya selepas ini seberapa ramai pun pengundi Melayu keluar mengundi, kuasa politik tetap berpihak kepada PH.
Dengan pilihan raya PBT pula, Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu program Bicara Minda di Shah Alam pada 22 Oktober 2019, mengulas risiko perpecahan rakyat berasaskan kaum akibat pelaksanaan pilihan raya PBT.
Kata beliau, jika pilihan raya PBT dibuat, “Kita iktiraf bahawa bandar itu, kebanyakan penduduknya orang Cina. Jadi, kalau kita ada pilihan raya bagi bandar dan luar bandar, maka kita pecahkan negara kita pada dua pihak iaitu satu bandar dan satu lagi luar bandar. Kita nak supaya ada interplay antara bandar dan luar bandar. Masa belum tiba yang mana penduduk kita bercampuran dengan cara terbaik. Sekarang ini kita terasing antara satu sama lain. Bandar satu bangsa dan luar bandar lain bangsa. Ini tidak sihat bagi negara kita.”
Nah, tepuk dada tanya selera. Adakah parti-parti politik yang menjulang Melayu-Islam masih mahu berbalah itu dan ini sesama sendiri sedangkan nasib kaum majoriti di tanah air diambang risiko? – UTUSAN
DATUK Marzuki Yahya ialah Ketua Setiausaha Gerakan Tanah Air (GTA).










